Serasi dalam hijau sage

Serasi dalam hijau sage

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Hijau sage yang melatari seluruh dinding ruang tamu menjadikan kediaman semi-D, Casa Mi Amor di Gong Badak, Terengganu ini terasa lebih nyaman dan menenangkan.

Malah, rona lembut itu serasi digandingkan dengan pelbagai elemen dekorasi.

Pemiliknya, Muhammad Hafizuddin Razali, 37, berkata, pada awalnya dia kurang menggemari rona pilihan isterinya, Dr. Maryuni Omar, 34, kerana lebih menyukai warna gelap.

Namun, pandangannya berubah selepas ruang itu mendapat pujian tetamu ketika sambutan Aidilfitri, tiga tahun lalu.

“Sebelum ini, dinding ruang tamu diwarnakan dengan kelabu tetapi atas cadangan isteri, saya tukar kepada hijau sage.

“Walaupun jarang digunakan pada kediaman, warna ini sebenarnya mudah masuk dengan pelbagai perabot dan aksesori.

“Di ruang tamu ini, saya pilih kerusi rehat biru navy, sofa kelabu, langsir biru lembut dan meja berkemasan emas,” katanya kepada Seri baru-baru ini.

Sentuhan dekorasi yang kemas turut dapat dilihat pada setiap sudut rumah, daripada panel moulding di dinding, chandelier kristal hinggalah koleksi lukisan, bingkai gambar dan bunga-bungaan.

Menariknya, bapa kepada dua anak berusia dua dan enam tahun ini yang melakukan sendiri seluruh proses dekorasi sepanjang sembilan tahun mendiami rumah berkenaan.

“Saya memang minat dekorasi dan landskap sejak dulu, jadi bila ada rumah sendiri, saya terus hias ikut cita rasa.

“Konsepnya menggabungkan gaya klasik dan moden, dengan sentuhan elegan serta romantik,” katanya.

Dia yang juga penolong pegawai perubatan cukup teliti dalam memilih perabot dan aksesori, terutama dari segi warna, saiz serta fungsi.

Ini bagi memastikan susunan rumah kekal kemas, seimbang dan tidak kelihatan terlalu sarat.

Dalam masa sama, kualiti turut menjadi keutamaan supaya setiap perabot boleh digunakan untuk tempoh lama tanpa perlu kerap ditukar.

Gubahan sendiri

Bunga-bungaan dan tumbuhan hijau memenuhi segenap ruang, sekali gus menyerikan rumah ini.

Lebih istimewa, setiap gubahan dihasilkan sendiri oleh Muhammad Hafizuddin mengikut kesesuaian ruang dan dekorasi sekeliling.

Untuk kegunaan harian, bunga tiruan dipilih kerana lebih praktikal, manakala bunga segar pula digunakan ketika mengadakan majlis.

Selain itu, dia turut mengekalkan beberapa barangan lama milik keluarga sebagai sebahagian daripada dekorasi, termasuk set tembaga peninggalan arwah datuk.

Ruang makan hotel butik

Ruang makan pula tampil dengan suasana lebih intim dan elegan, seakan-akan membawa pengalaman menjamu selera di hotel butik.

Meja makan dihiasi alas bermotif floral daripada batik Terengganu, lengkap dengan pinggan mangkuk bermotif lembut dan kutleri rona keemasan.

Katanya, susunan rumah turut berubah dari semasa ke semasa mengikut keperluan, termasuk bahagian dapur yang pernah menempatkan mesin basuh.

Mesin basuh itu kemudiannya dipindahkan ke bahagian belakang rumah untuk mewujudkan ruang dobi khusus.

Ruang tersebut turut dilengkapi meja dan kerusi yang menjadi tempat pasangan suami isteri ini bersantai sambil menikmati kopi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×