Rocket si kucing ‘kaki bersosial’

Rocket si kucing ‘kaki bersosial’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Gemar berkawan dengan kucing lain antara telatah Rocket yang mencuri perhatian pengikutnya di TikTok, terutama ketika kucing itu keluar bermain di sekitar rumah.

Kucing jantan berusia lima tahun itu bukan sahaja aktif bermain bersama kucing lain, malah gemar meniarap dan bergolek di atas simen atau tanah ketika berada di luar.

Pemiliknya, Rashida Abdul Rashid, 33, berkata, Rocket mula dipeliharanya sejak Mei 2022 selepas kucing jalanan itu sesat dan datang ke rumahnya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurutnya, Rocket merupakan kucing yang aktif apabila bermain bersama kawan-kawannya, selain tidak nakal dan mudah mendengar kata.

“Rocket manja bila lapar. Aktif bila bermain dengan kawan. Tidak nakal dan mendengar kata,” katanya kepada Seri.

Rutin bermain pagi dan petang

Rocket mempunyai rutin harian tersendiri, termasuk keluar bermain pada waktu pagi dan petang.

Menurut Rashida, Rocket biasanya keluar dari pukul 7 hingga 9 pagi sebelum pulang untuk makan ayam rebus, kemudian tidur dari pukul 9 pagi hingga 4 petang.

Pada sebelah petang, Rocket akan keluar semula dari pukul 4 hingga 7 petang sebelum kembali untuk makan.

“Gelagat Rocket yang pengikut suka antaranya ialah bila ia bermain di luar dan berinteraksi dengan kucing-kucing lain.

“Ia juga suka duduk meniarap dan bergolek atas simen atau tanah bila di luar,” jelasnya.

Beberapa kali pulang cedera

Kegemaran Rocket bermain di luar rumah turut menyebabkan dia beberapa kali bergaduh dengan kucing lain.

Malah, baru-baru ini, Rocket pulang dalam keadaan bulu tertanggal dan mengalami kecederaan parah sehingga Rashida membawanya ke veterinar untuk mendapatkan rawatan.

“Ia beberapa kali bergaduh dengan kucing luar dan balik dalam keadaan bulu tertanggal dan cedera parah sehingga perlu dibawa ke veterinar dan mendapatkan rawatan,” katanya.

Rocket juga pernah pulang dengan luka selepas terpijak kaca atau mengalami kecederaan akibat bergaduh.

Bagaimanapun, Rocket tidak pernah mengalami demam atau selesema dan Rashida akan memberi perhatian kepada selera makan kucing itu sekiranya berlaku perubahan.

“Dulu ia suka makan ikan rebus, sekarang selera ia hanyalah ayam rebus. Kalau ia tak selera makan, saya akan ubah menu,” ujarnya.

Dulu susah mahu balik

Sepanjang menjaga Rocket, tiada cabaran besar kerana kucing berkenaan mudah dijaga.

Namun, sebelum dimandulkan, Rocket agak sukar diajak pulang kerana tidak mahu kembali ke rumah sehingga lewat malam.

“Waktu ia sebelum dimandulkan agak mencabar sebab ia tak nak balik rumah sehingga lewat malam.

“Saya terpaksa mencari dan membawa ia balik hari-hari dan ia akan bertindak agresif,” katanya.

Selepas semakin besar, Rocket mula bermain di kawasan berdekatan rumah dan sudah pandai pulang sendiri.

Manja apabila malam

Di sebalik sifatnya yang aktif di luar, Rocket turut mempunyai sisi manja terutama apabila tiba waktu malam.

Ujarnya, Rocket akan tidur di atas katil walaupun hanya seketika dan akan mencari orang lain untuk ditemani sekiranya pemiliknya tiada di rumah.

“Rocket manja bila waktu malam. Ia akan tidur atas katil walaupun sekejap.

“Kalau saya tak ada di rumah, ia akan cari orang lain pada waktu malam. Ia nak ada orang juga waktu malam. Ia akan memanggil dengan suara manjanya,” ujarnya.

Rocket juga gemar makan ayam rebus secara bersuap dan hanya mahu makan apabila disuap oleh Rashida.

“Rocket juga makan ayam bersuap. Jadi dia sangat manja dan hanya makan bila saya suap dia ayam rebus,” katanya.

Bagi Rashida, sifat Rocket yang tenang dan mudah mendengar kata menjadi antara perkara paling istimewa tentang kucing berkenaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×