Nur Liyana cakna dunia maritim

Nur Liyana cakna dunia maritim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bagi Nur Liyana Rahim, 26, kerjaya dalam logistik maritim bukan sekadar mengurus data, tetapi memastikan kapal mematuhi peraturan antarabangsa demi keselamatan, kecekapan dan kelestarian industri.

Peluang jelajah pelabuhan antarabangsa

Setiap kali keluarga terdekat, rakan mahupun orang baru dikenali bertanya mengenai kerjayanya, Nur Liyana Rahim mengakui ramai yang keliru dengan tugasannya dalam bidang logistik maritim.

Antara persoalan dan tanda tanya yang sering ditimbulkan oleh mereka adalah apakah kerja-kerja yang dijalankan Nur Liyana di atas kapal dan adakah kerjaya itu sesuai untuk gadis muda sepertinya.

Nur Liyana berkata, sebagai Eksekutif Global HSEQ Data Quality, antara bidang utama yang menjadi fokusnya adalah setiap kapal perlu mematuhi standard peraturan antarabangsa.

Ini termasuk European Union Monitoring, Reporting and Verification (EU MRV), International Maritime Organization Data Collection System (IMO DCS), European Union Emissions Trading System (EU ETS) serta proses pengesahan data yang dijalankan oleh Det Norske Veritas (DNV).

“Pematuhan setiap peraturan ini memainkan peranan yang sangat penting dalam industri perkapalan kerana ketiga-tiga sistem ini menjadi asas kepada usaha mengurangkan pelepasan gas rumah hijau di peringkat global.

“Dalam industri maritim, data yang tepat dan berkualiti tinggi adalah elemen yang sangat penting kerana setiap keputusan yang dibuat bergantung pada maklumat yang diterima daripada kapal. Sebarang kesilapan atau ketidakselarasan data boleh memberikan kesan kepada operasi kapal, pematuhan peraturan antarabangsa serta reputasi syarikat, “katanya.

Walaupun ketiga-tiga sistem ini lebih tertumpu kepada aspek alam sekitar, kepentingannya turut berkait rapat dengan aspek keselamatan dan kecekapan operasi. Sebagai contoh, pemantauan penggunaan bahan api secara berterusan dapat membantu syarikat mengenal pasti sebarang ketidaknormalan dalam operasi kapal serta mengambil tindakan yang sewajarnya.

Kegagalan mematuhi peraturan yang ditetapkan boleh mengakibatkan tindakan undang-undang, kerugian kewangan dan gangguan terhadap operasi syarikat.

Nur Liyana percaya pengurusan data yang tepat bukan sekadar memenuhi keperluan pematuhan, malah adalah satu bentuk tanggungjawab terhadap industri maritim dan alam sekitar.

Nur Liyana berkata, secara umumnya, industri maritim sememangnya lebih sinonim dengan golongan lelaki, terutamanya dalam sektor operasi kapal dan pekerjaan di laut.

Katanya, persepsi wanita tidak sesuai dengan kerjaya maritim wujud kerana industri ini sering dikaitkan dengan cabaran fizikal, tempoh bekerja yang panjang dan persekitaran kerja yang mencabar.

“Namun, perkembangan teknologi telah membawa perubahan yang besar kepada industri ini. Kini, semakin ramai wanita menceburi bidang analisis data, pematuhan peraturan antarabangsa, teknologi maklumat dan pengurusan operasi maritim.

“Berdasarkan pengalaman saya sendiri, bidang ini sangat sesuai untuk wanita kerana ia memerlukan ketelitian, daya analisis yang tinggi, kemahiran menyelesaikan masalah serta kebolehan untuk berkomunikasi dengan pelbagai pihak dari seluruh dunia,” katanya.

Pada Nur Liyana, jantina bukanlah penghalang untuk berjaya dalam bidang ini. Sebaliknya, kesungguhan, keazaman dan keinginan untuk terus belajar adalah faktor yang paling penting

Perlu faham peraturan antarabangsa

Antara cabaran terbesar yang dihadapi Nur Liyana pada permulaan kerjaya ialah proses menyesuaikan diri dengan pelbagai peraturan antarabangsa, termasuk EU MRV, IMO DCS dan EU ETS. Dia juga perlu memahami pelbagai istilah teknikal, jenis kapal dan kaedah pelaporan data yang digunakan dalam industri maritim.

“Saya bertanggungjawab untuk memastikan data yang diterima daripada kapal sentiasa lengkap, tepat dan selaras dengan dokumen sokongan yang berkaitan. Tanggungjawab ini memerlukan tahap ketelitian yang tinggi kerana setiap maklumat yang direkodkan boleh memberikan kesan kepada proses pengesahan data.

“Semangat untuk belajar, sokongan daripada rakan sekerja dan kesediaan untuk menerima pengalaman baharu, memudahkan saya untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran kerja antarabangsa dan memperoleh banyak ilmu yang berharga, “katanya.

Nur Liyana turut berpeluang menjejakkan kaki ke negara-negara Eropah yang tidak dinafikan memiliki teknologi canggih dalam pengurusan perkapalan.

Perjalanan kerja ke Hamburg, Jerman, selama lebih dua minggu bermula 18 hingga 1 Ogos 2026 lalu adalah pengalaman yang sangat bermakna sepanjang kerjaya sebagai Global HSEQ Data Quality Executive di BestShip.

Lawatan itu bukan sahaja memberikan peluang untuk Nur Liyana menimba ilmu dan pengalaman baharu, malah membolehkannya memahami dengan lebih mendalam operasi syarikat di peringkat antarabangsa.

“Di sana, saya menghadiri beberapa sesi latihan, mesyuarat dan perbincangan berkaitan pengurusan data maritim. Ini adalah pengalaman yang amat berharga apabila berpeluang melihat sendiri cara kerja pasukan global yang selama ini hanya dikenali melalui emel dan mesyuarat dalam talian saja.

“Setibanya di Hamburg, saya dapat melihat sendiri keunikan bandar itu yang terkenal sebagai salah satu pusat perdagangan dan maritim terpenting di Eropah. Suasana bandar yang tersusun, bersih dan cekap memberikan pengalaman yang sangat berbeza berbanding persekitaran kerja yang saya lalui sebelum ini, “katanya.

Pada hari pertama di pejabat BestShip, Nur Liyana diperkenalkan kepada beberapa ahli pasukan dari pelbagai negara. Dia juga berpeluang untuk memahami dengan lebih mendalam struktur organisasi syarikat, peranan setiap jabatan serta kaedah komunikasi yang digunakan dalam memastikan kelancaran operasi harian.

Sepanjang lawatan kerja itu, Nur Liyana terbabit dalam pelbagai sesi perbincangan yang berkaitan dengan proses pengurusan data kapal, pengesahan data serta penambahbaikan proses kerja.

Dia juga berpeluang mempelajari cara pasukan lain mengendalikan cabaran yang dihadapi dalam memastikan ketepatan dan kesempurnaan data yang diterima daripada kapal.

“Sepanjang berada di Hamburg, saya berpeluang untuk melihat sendiri bagaimana pasukan antarabangsa bekerjasama dalam mencapai matlamat yang sama. Pada mulanya, saya berasa sedikit gementar kerana perlu berinteraksi dengan individu yang mempunyai pengalaman yang luas dalam industri ini.

“Namun, pengalaman itu memberikan saya keyakinan yang lebih tinggi untuk berkongsi pandangan dan mempelajari perkara baharu,” katanya.

Nur Liyana berkata, pengalaman yang paling tidak dapat dilupakan sepanjang berada dalam industri ini apabila dia diberikan peluang untuk terbabit dalam pralawatan bagi operasi kapal sebelum kapal berkenaan memulakan operasi di bawah pengurusan baharu.

Pengalaman itu menjadi lebih istimewa kerana kapal yang terbabit adalah Seri Balhaf dan Seri Balqis, yang sebelum ini berada di bawah pengurusan MISC sebelum beralih kepada pemilik baharu. Pada masa yang sama, Wilhelmsen melalui BestShip dipertanggungjawabkan untuk menguruskan kedua-dua kapal ini.

“Bagi saya, peluang ini memberikan pengalaman yang amat berharga kerana kebanyakan tugas harian saya lebih tertumpu kepada pengurusan data, semakan dokumen, pematuhan peraturan antarabangsa serta komunikasi dengan pelbagai pihak yang terlibat dalam operasi kapal.

“Oleh itu, peluang untuk melihat sendiri keadaan sebenar di lapangan membolehkan saya memahami dengan lebih mendalam bagaimana setiap data yang direkodkan berkait secara langsung dengan operasi kapal,” katanya.

Pengalaman itu memberikan perspektif baharu kepada Nur Liyana mengenai betapa pentingnya ketepatan data dalam memastikan operasi kapal berjalan dengan lancar, cekap dan selamat.

“Sebagai seorang wanita yang masih berada pada peringkat awal kerjaya dalam industri maritim, pengalaman ini juga telah meningkatkan keyakinan diri saya. Saya berasa amat bersyukur kerana diberikan peluang untuk mempelajari sesuatu yang baharu serta menyaksikan sendiri bagaimana pelbagai aspek operasi maritim saling berkait antara satu sama lain.

“Pengalaman ini akan sentiasa menjadi satu kenangan yang paling saya hargai kerana ia mengingatkan saya bahawa setiap data yang saya semak dan setiap keputusan yang saya buat memainkan peranan penting dalam keseluruhan operasi sesebuah kapal, ” katanya.

Kemahiran baharu, pelajari bahasa asing

Antara kemahiran baharu yang paling dihargai Nur Liyana aalah keupayaan untuk melihat sesuatu perkara daripada perspektif yang lebih menyeluruh. Sebelum ini, dia lebih banyak menumpukan perhatian kepada aspek data, dokumen dan pematuhan terhadap peraturan antarabangsa.

Namun sepanjang berada di Hamburg, Nur Liyana dapat memahami dengan lebih mendalam bagaimana setiap jabatan saling berkait antara satu sama lain dalam memastikan kelancaran operasi sesebuah kapal.

“Saya juga berpeluang meningkatkan kemahiran dalam bidang analisis data, pengurusan risiko, penyelesaian masalah serta komunikasi dalam persekitaran kerja antarabangsa. Pengalaman ini membantu saya memahami bahawa setiap data yang dianalisis mempunyai kesan yang besar terhadap operasi syarikat secara keseluruhannya.

“Bagi saya, pengalaman ini bukan sekadar latihan tetapi juga adalah peluang untuk membentuk cara berfikir yang lebih kritis, sistematik dan berpandangan jauh. Pengalaman berada di Hamburg juga mengajar saya bahawa komunikasi adalah salah satu elemen terpenting dalam sesebuah pasukan global.

“Walaupun kami berasal dari negara, budaya dan latar belakang yang berbeza, matlamat kami tetap sama, iaitu memastikan setiap operasi dapat dijalankan dengan lancar dan cekap. Dalam industri maritim, kami sentiasa berhubung dengan pelbagai pihak dari seluruh dunia., “katanya.

Bahasa Inggeris adalah bahasa utama yang digunakan dalam kebanyakan urusan kerja.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×