Langit saksi perjuangan Kapten Antasha

Langit saksi perjuangan Kapten Antasha

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sebagai juruterbang wanita TUDM yang menerbangkan pesawat Airbus A400M, Kapten Nur Antasha Zulkarnain bukan sahaja berdepan cabaran di udara, malah perlu bijak mengimbangi tuntutan tugas dengan tanggungjawab sebagai ibu.

PERNAH SUSUKAN BAYI PALESTIN

Naluri seorang ibu tidak mengenal sempadan. Ketika berada jauh dari rumah untuk melaksanakan tugasan negara, hati seorang wanita tetap tersentuh apabila melihat bayi yang memerlukan perhatian.

Itulah pengalaman paling menyentuh hati seorang juruterbang wanita Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Kapten Nur Antasha Zulkarnain TUDM, 33, apabila dia menyusukan seorang bayi Palestin ketika menyertai misi membawa rakyat Palestin yang cedera ke Malaysia pada Ogos 2024.

Ketika itu, dia bersama kru dua buah pesawat Airbus A400M terlibat dalam penerbangan yang mengambil masa kira-kira 14 jam. Misi tersebut bukan sekadar mencabar dari sudut operasi, malah meninggalkan kesan mendalam kepadanya sebagai seorang ibu kerana anaknya sendiri ketika itu baru berusia sembilan bulan dan masih menyusu.

Dalam perjalanan tersebut, dia melihat seorang bayi menangis kerana kelaparan. Tersentuh dengan keadaan itu, dia meminta izin daripada ibu bayi berkenaan untuk menyusukannya.

Permintaannya mendapat keizinan dan dia dapat berkongsi rezeki yang dimiliki bersama bayinya dengan seorang bayi yang sangat memerlukan.

Peristiwa itu menjadi antara kenangan paling bermakna sepanjang kerjayanya sebagai juruterbang tentera.

Baginya, pengalaman tersebut mengingatkan tugas seorang juruterbang bukan semata-mata menerbangkan pesawat dari satu lokasi ke lokasi lain, sebaliknya membawa amanah yang jauh lebih besar kepada manusia dan negara.

“Lebih menyentuh hati apabila selepas penerbangan yang panjang dan mencabar itu, pesawat akhirnya selamat mendarat di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang. Melihat bantuan yang dibawa akhirnya sampai kepada mereka yang memerlukan membuatkan saya semakin memahami makna sebenar tugas yang digalas,” katanya kepada Seri.

Dilahirkan di Kluang, Johor dan dibesarkan di Bandar Baru Bangi, Selangor, dia membesar dalam keluarga yang cukup dekat dengan dunia ketenteraan.

Ayah dan arwah datuknya merupakan pesara tentera darat, manakala ibunya seorang suri rumah. Dia turut mempunyai seorang kakak yang bekerja sebagai auditor di sebuah syarikat swasta.

Walaupun datang daripada keluarga yang mempunyai latar belakang ketenteraan, kerjaya sebagai juruterbang sebenarnya bukan cita-cita asalnya. Ketika di bangku sekolah, dia pernah menyimpan impian untuk menjadi seorang peguam.

SERTAI TUDM

Namun, selepas tamat persekolahan, hala tuju hidupnya berubah apabila dia memilih untuk menyertai TUDM dan meneruskan pengajian di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Antasha kemudiannya memperoleh Ijazah Sarjana Muda Elektrik Elektronik (Komunikasi) dari UPNM pada 2016. Minat terhadap bidang penerbangan mula berkembang ketika menjalani latihan tahun akhir di Sekolah Latihan Pegawai, Kolej Tentera Udara Alor Setar.

“Selama enam bulan menjalani latihan, saya setiap hari melihat pesawat PC-7 MK II dan menyaksikan sendiri kehidupan para pegawai yang menjalani latihan sebagai juruterbang.

“Daripada situ, timbul rasa kagum terhadap dunia penerbangan, khususnya cabaran dan tanggungjawab yang perlu dipikul oleh seorang juruterbang tentera,” katanya.

Pada 2017, dia menjalani Kursus Asas Penerbangan di Institut Penerbangan (INSPEN) 1 di Alor Setar sebelum ditauliahkan sayap penerbangan pada 6 April 2019.

Dia kemudian mengikuti Multi Engine Conversion Course di Pusat Latihan Terbang Taktikal (PLTT) pada tahun sama sebelum ditempatkan di No 8 Skuadron sebagai pembantu juruterbang pesawat Airbus A400M pada 2020 sehingga kini.

DISIPLIN TINGGI, MENTAL KUAT

Sepanjang menjalani latihan dan membina kerjaya, Antasha menyedari menjadi juruterbang tentera bukan hanya berkaitan kemahiran menerbangkan pesawat. Ia turut menuntut disiplin tinggi, kepimpinan, ketahanan mental serta keupayaan membuat keputusan dalam pelbagai keadaan.

Sebagai antara wanita yang menerbangkan Airbus A400M dalam TUDM, dia tidak melihat jantina sebagai penghalang untuk mencapai kejayaan.

Baginya, profesion tersebut bukan soal lelaki atau wanita, sebaliknya kemampuan, disiplin dan kesungguhan dalam melaksanakan amanah yang diberikan.

Dia mengakui dunia penerbangan tentera mempunyai cabarannya tersendiri, namun setiap cabaran dilihat sebagai peluang untuk membuktikan bahawa wanita juga mampu memberikan prestasi yang sama baik apabila diberikan peluang serta latihan yang mencukupi.

“Persepsi kerjaya juruterbang tentera lebih sesuai untuk lelaki juga semakin berubah. Hari ini, semakin ramai wanita berjaya menceburi bidang yang suatu ketika dahulu didominasi lelaki.

“Dalam dunia penerbangan tentera, perkara yang dinilai adalah kompetensi, profesionalisme dan kemampuan melaksanakan tugas, bukannya jantina,” katanya.

TERPAKSA TINGGALKAN ANAK

Namun, di sebalik kejayaan itu, dia tidak menafikan kerjaya sebagai juruterbang tentera memerlukan pengorbanan yang besar, khususnya dari segi masa bersama keluarga.

Sebagai seorang ibu, antara cabaran terbesar yang pernah dihadapinya ialah terpaksa meninggalkan anak yang masih menyusu untuk tempoh tertentu kerana tuntutan tugas. Tempoh paling lama dia berjauhan daripada anak adalah lebih dua bulan.

Sudah tentu keadaan itu menimbulkan rasa rindu dan kerisauan, namun Antasha bersyukur mempunyai sistem sokongan yang kuat.

Suaminya menjadi antara individu paling penting yang membantunya mengimbangi kerjaya dan keluarga. Sikap bertolak ansur suami dalam urusan penjagaan anak dan rumah tangga banyak membantunya untuk terus melaksanakan tanggungjawab sebagai anggota TUDM.

Selain suami dan keluarga, warga No 8 Skuadron turut dianggap sebagai keluarga kedua yang sentiasa mengambil berat kebajikan anggota, khususnya ketika mereka bertugas di luar pangkalan.

Baginya, keseimbangan antara kerjaya dan keluarga bukan bermaksud membahagikan masa secara sama rata, tetapi memastikan masa yang diluangkan bersama keluarga benar-benar berkualiti.

Apabila berada di rumah, dia akan cuba memberikan perhatian sepenuhnya kepada keluarga. Antara aktiviti yang gemar dilakukan ialah membawa anak berjalan-jalan atau melakukan aktiviti ringkas bersama.

Baginya, perkara yang kelihatan kecil sebenarnya mampu menjadi memori paling bernilai buat seorang anak.

KENDALI PENERBANGAN TAKTIKAL

Dalam kerjaya, antara pengalaman yang paling menguji dirinya ialah mengendalikan penerbangan taktikal pesawat A400M ketika menyertai eksesais Air Mobility Tactical Operation (AMTOP).

Penerbangan taktikal memerlukan persediaan dan prosedur yang kompleks, selain tahap fokus yang lebih tinggi. Ia turut melibatkan koordinasi dengan pelbagai pihak dan agensi serta keperluan memastikan setiap time on target (TOT) dipatuhi.

Pengalaman tersebut mengajarnya untuk sentiasa tenang tetapi teliti, kekal fokus serta memahami kepentingan kerja berpasukan.

“Kejayaan dalam dunia penerbangan bukan hasil usaha individu semata-mata, sebaliknya bergantung kepada kerjasama seluruh kru dan pasukan sokongan.

Dalam tempoh perkhidmatan akan datang, saya berharap dapat terus meningkatkan kelayakan profesional, memimpin lebih banyak operasi dan suatu hari nanti berkongsi pengalaman dengan juruterbang muda sebagai jurulatih penerbangan,” katanya.

Baginya, sekiranya pengalaman yang dimiliki dapat membantu melahirkan generasi juruterbang yang lebih baik, ia merupakan satu pencapaian yang sangat bermakna.

TENTUKAN KEMAMPUAN SENDIRI

Kepada anak muda, khususnya wanita yang bercita-cita menjadi juruterbang tentera, Antasha berpesan supaya tidak membiarkan orang lain menentukan had kemampuan diri.

Katanya, mereka yang benar-benar berminat perlu bermula dengan belajar bersungguh-sungguh, menjaga kecergasan fizikal serta sentiasa bersedia menghadapi cabaran.

Kerjaya tersebut sememangnya mencabar, tetapi pada masa sama memberikan kepuasan apabila seseorang mampu melaksanakan amanah dengan baik.

“Impian tidak mengenal jantina. Jika kita berpegang dengan niat yang betul, sanggup berusaha dan sentiasa memperbaiki diri, insya Allah peluang itu akan datang,” katanya.

Daripada seorang gadis yang suatu ketika dahulu bercita-cita menjadi peguam, dia akhirnya memilih langit sebagai medan perjuangan. Kini, Airbus A400M menjadi sebahagian daripada perjalanan hidupnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×