Dunia rel jadi pilihan Nur Atiqah

Dunia rel jadi pilihan Nur Atiqah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERGELAR juruteknik tren memerlukan ketelitian serta kesungguhan demi memastikan keselamatan pengguna setiap hari dan Nur Atiqah Norhaizad memikul cabaran itu dengan penuh tanggungjawab.

‘KESELAMATAN PENUMPANG TANGGUNGJAWAB SAYA’

BILA tren tergelincir dari landasan, kebanyakan penumpang mungkin hanya memikirkan satu perkara iaitu bila mereka boleh meneruskan perjalanan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Namun, di sebalik insiden itu, ada pasukan teknikal yang perlu turun padang, bekerja dalam keadaan tertekan dan memastikan tren kembali selamat untuk digunakan.

Bagi Nur Atiqah Norhaizad, 28, pengalaman mengendalikan insiden sedemikian menjadi antara kenangan paling mencabar sepanjang tiga tahun bergelar juruteknik dalam industri pengangkutan rel.

Dia masih mengingati bagaimana dirinya bersama pasukan perlu berada di lokasi sehingga pagi bagi menyelesaikan masalah sebelum tren dapat dikeluarkan dan dibawa kembali ke depoh untuk menjalani penyelenggaraan.

Situasi itu bukan sahaja memerlukan kemahiran teknikal, tetapi juga kesabaran dan kekuatan mental kerana mereka perlu terus mencari jalan penyelesaian walaupun berdepan keletihan.

“Kalau tak jadi hari ini, kita buat esok. Kalau esok tak jadi, kita cari lagi jalan. Kita kena terus berusaha sampai semuanya kembali stabil dan selamat,” katanya kepada Seri.

MINAT MEKANIKAL

Berasal dari Selangor, Nur Atiqah mempunyai minat terhadap bidang teknikal sejak dia memilih mengikuti pengajian dalam kejuruteraan mekanikal.

Selepas menamatkan diploma, dia mula membina pengalaman dalam bidang tersebut dan pernah bekerja sebagai teknisyen di beberapa sektor termasuk Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta industri pembuatan beg kertas.

Pengalaman berkenaan sedikit sebanyak membiasakannya dengan suasana kerja yang kebanyakannya didominasi lelaki.

Justeru, ketika mula menyertai industri rel tiga tahun lalu, dia tidak mengambil masa lama untuk menyesuaikan diri meskipun menyedari bidang itu masih didominasi kaum lelaki.

“Sebelum ini pun saya bekerja dalam bidang yang kebanyakannya lelaki. Jadi, tak janggal sangat. Cuma bila masuk ke persekitaran baharu, memang ada rasa kekok sedikit,” katanya.

Kini, Nur Atiqah bertugas sebagai juruteknik di bahagian depoh peralatan Kompleks Rapid Rail Subang dengan tanggungjawab memastikan pelbagai peralatan sentiasa berada dalam keadaan baik dan selamat untuk digunakan.

Dalam subunitnya yang mempunyai lima anggota, Nur Atiqah merupakan satu-satunya juruteknik wanita.

TIADA BEZA LELAKI ATAU WANITA

Menjadi satu-satunya wanita dalam subunit tidak pernah membuatkan wanita muda itu berasa dirinya perlu dilayan berbeza atau diberikan tugasan yang lebih ringan.

Menurutnya, tiada perbezaan tugasan antara teknisyen lelaki dan wanita kerana semua perlu melaksanakan tanggungjawab yang sama mengikut keperluan operasi.

“Apa yang mereka buat, saya buat. Apa yang saya buat, mereka pun buat. Tak ada perbezaan tugasan,” katanya.

Namun, dia mengakui terdapat cabaran tertentu apabila bekerja dalam bidang yang memerlukan kekuatan fizikal.

Katanya, secara semula jadi terdapat perbezaan dari segi tenaga antara lelaki dan wanita, terutama apabila berdepan mesin atau peralatan yang besar dan berat.

Namun, dia tidak melihat perkara itu sebagai alasan untuk wanita menjauhkan diri daripada bidang teknikal.

Sebaliknya, kekuatan fizikal perlu disertai ketahanan mental kerana seseorang teknisyen perlu mampu berfikir dan mencari penyelesaian apabila berlaku masalah.

JANGAN TAKUT HADAPI KECEMASAN

Pengalaman menjadi sebahagian daripada pasukan penyelamat turut memberikan Nur Atiqah peluang untuk menguji kemampuan dirinya dalam situasi kecemasan.

Sekiranya berlaku kejadian seperti tren tergelincir dari landasan, dia bersama pasukan perlu turun padang bagi membantu menyelesaikan masalah. Dalam situasi sebegitu, soal jantina bukan lagi perkara utama.

Apa yang penting ialah setiap anggota memahami peranan masing-masing dan bekerjasama sehingga masalah dapat diselesaikan.

BREK KECEMASAN BUKAN SUKA-SUKA

Antara perkara yang sering menjadi persoalan penumpang ialah tindakan tren melakukan brek kecemasan secara tiba-tiba.

Bagi penumpang, situasi tersebut mungkin menyebabkan perjalanan terganggu, malah ada yang menganggapnya sebagai sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku.

Namun menurut Nur Atiqah, brek kecemasan sebenarnya boleh menjadi satu daripada langkah keselamatan apabila sistem mengesan sesuatu yang tidak normal.

Sebelum tren dilepaskan ke stesen, pemeriksaan akan dilakukan bagi memastikan ia berada dalam keadaan baik dan selamat.

Jika terdapat sesuatu yang dikesan sebagai berisiko, tindakan menghentikan tren boleh dilakukan bagi mengelakkan kejadian yang lebih buruk.

Antara masalah teknikal yang boleh menyebabkan keadaan sedemikian ialah berkaitan sensor.

Sensor yang terlalu sensitif boleh mengesan keadaan tertentu dan seterusnya menyebabkan sistem mengaktifkan brek kecemasan.

“Kalau sensor mengesan sesuatu yang tak kena, ia boleh menyebabkan emergency brake. Itu antara langkah keselamatan juga,” jelasnya.

Begitu juga apabila penumpang diminta turun dari tren sekiranya berlaku kerosakan ketika perjalanan.

Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas sistem mengesan masalah yang boleh menjejaskan keselamatan.

Dalam keadaan sedemikian, penumpang akan diarahkan menggunakan tren lain yang berada dalam keadaan lebih baik.

Bagi penumpang, mungkin hanya nampak tren berhenti atau petugas meminta mereka turun.

Namun, di belakang tindakan itu sebenarnya ada proses pemeriksaan dan kawalan yang perlu dilakukan bagi memastikan keselamatan semua pihak.

ADA ‘ORANG DALAM’ PANTAU TREN

Malah, terdapat petugas yang ditempatkan dalam tren sebagai pasukan ‘standby’ sekiranya berlaku kecemasan.

Kewujudan mereka kadangkala disalah anggap penumpang apabila ada yang melihat petugas duduk atau berehat dalam tren.

Menurut Nur Atiqah, petugas tersebut sebenarnya perlu sentiasa bersedia dan peka terhadap komunikasi radio.

Jika berlaku masalah, mereka akan segera menuju ke bahagian kawalan untuk mengenal pasti kerosakan dan mengambil tindakan yang diperlukan.

Sistem kawalan dan pemantauan dari jarak jauh pula membantu pasukan teknikal memantau keadaan tren.

Ini bermakna operasi tren sebenarnya mempunyai beberapa lapisan kawalan bagi memastikan keselamatan penumpang sentiasa menjadi keutamaan.

WANITA PUN ADA TEMPAT DALAM BIDANG TEKNIKAL

Dalam bidang rolling stock pula, Nur Atiqah mengakui jumlah juruteknik wanita masih kecil.

Di sesetengah bahagian, daripada 10 juruteknik, hanya dua atau tiga daripadanya mungkin wanita.

Namun, dia percaya peluang sentiasa terbuka kepada wanita yang benar-benar berminat.

Baginya, seseorang tidak sepatutnya menolak bidang teknikal hanya kerana memikirkan pekerjaan tersebut terlalu berat atau didominasi lelaki.

Dia sendiri pernah berasa ragu-ragu ketika mula mencari pekerjaan selepas tamat pengajian.

“Saya pun pernah rasa macam, ‘aku dapat kerja ke? Susah ni untuk perempuan dalam kejuruteraan.’ Tapi saya cuba. Kalau saya boleh, orang lain pun boleh,” katanya.

Bagi wanita yang mahu mengikuti jejaknya, Nur Atiqah berpesan supaya minat disertai kemahuan untuk belajar.

Menurutnya, bidang teknikal memerlukan seseorang yang kuat dari segi fizikal dan mental kerana cabaran tidak akan berhenti selepas mendapat pekerjaan.

Antara pengalaman paling mencabar sepanjang kerjayanya ialah ketika perlu membaiki mesin pemotong roda yang besar.

Proses pembaikan mesin itu bukan sesuatu yang boleh diselesaikan dengan cepat.

Ada kalanya ia mengambil masa sehingga empat atau lima hari kerana pasukan perlu mengenal pasti punca masalah dan memastikan mesin benar-benar boleh digunakan semula.

Jika satu cara tidak berhasil, mereka perlu mencari cara lain. Jika hari ini belum selesai, usaha diteruskan pada keesokan harinya.

HOBI BERLARI

Dalam tempoh tiga tahun berada dalam industri rel, pengalaman pahit dan manis datang silih berganti.

Antara yang paling manis ialah mempunyai rakan sekerja yang baik serta peluang mempelajari sesuatu yang baharu setiap hari.

Di luar waktu kerja, Nur Atiqah pula gemar melakukan aktiviti yang mungkin tidak jauh daripada imejnya sebagai seorang wanita yang lasak iaitu berlari.

Dia aktif berjoging dan menyertai marathon, malah mampu berlari antara 10 hingga 20 kilometer mengikut keadaan dan mood.

Baginya, aktiviti itu bukan sahaja membantu mengekalkan kecergasan, tetapi turut menjadi cara untuk melepaskan tekanan selepas bekerja.

SOKONGAN KELUARGA

Sokongan keluarga juga menjadi antara kekuatan utama Nur Atiqah untuk terus berada dalam bidang tersebut.

Ibu bapanya sentiasa menyokong minatnya terhadap bidang mekanikal dan teknikal serta menggalakkannya supaya terus belajar.

Katanya, ibu bapanya tidak pernah mempersoalkan keputusannya memilih kerjaya yang mungkin dianggap tidak biasa bagi wanita.

Sebaliknya, mereka sentiasa mengingatkannya supaya terus menimba ilmu dan tidak mudah berputus asa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×