Bapa tinggal hutang, anak-anak nyaris bermusuhan

Bapa tinggal hutang, anak-anak nyaris bermusuhan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kehilangan seorang bapa menjadi ujian cukup besar bagi anak-anak. Namun ujian itu terasa lebih berat apabila ada hutang yang ditinggalkan arwah tanpa pengetahuan ahli keluarga sehingga akhirnya menguji hubungan adik-beradik.

Minggu ini saya kongsikan kisah Munir, (bukan nama sebenar) yang pada awalnya menyangka selepas pemergian bapa, ujian terbesar mereka hanyalah menerima kehilangan, tetapi yang lebih besar adalah sebaliknya.

Ini apabila arwah bapa meninggalkan hutang mencecah puluhan ribu ringgit sehingga membuatkan mereka adik-beradik hampir bermusuhan. Memulakan cerita kata Munir, dia merupakan anak ketiga daripada lima beradik.

Dia dilahirkan dalam sebuah keluarga yang sederhana dan bahagia. Bapa membuka kedai runcit di sebuah kampung di utara tanahair, manakala ibu seorang suri rumah.

Menurut Munir, sepanjang hayat arwah bapa, Sulaiman (bukan nama sebenar) tidak pernah bercerita tentang hutang yang ditanggung. Menyambung cerita kata Munir, belumpun hilang kesedihan kehilangan bapa, mereka dikejutkan pula dengan hutang yang ditinggalkan.

Segala-galanya bermula sebaik selesai urusan pengebumian bapa, beberapa orang muncul datang menuntut hutang. Ibu sendiri terkejut, apalagi mereka sendiri sebagai anak-anak.

Mereka tidak pernah tahu berapa jumlahnya dan dengan siapa bapa berhutang. Apabila mengetahui arwah bapa mempunyai hutang, anak-anak mula memikirkan bagaimana urusan tersebut boleh diselesaikan dengan penuh amanah.

Di situlah konflik keluarga mula timbul. Abang sulung Munir, Shamsuddin, (bukan nama sebenar) meminta mereka menyelesaikan hutang bapa dengan segera.

Namun ada antara adik-adik tidak bersetuju dan mengganggap hutang arwah bapa bukan bebanan peribadi yang perlu ditanggung mereka. Ini termasuklah dirinya sendiri yang berkeras dan tidak bersetuju anak-anak menanggung beban hutang yang dibuat arwah bapa.

Bukan kerana dia tidak sayang atau tidak menghormati arwah bapa, tetapi dia berasakan hutang itu bukan tanggungjawab anak-anak.

Perasaan kecewa dan keliru membuatkan dia mengambil keputusan untuk tidak mahu campur tangan.

Dia memilih untuk berdiam diri, malah cuba menjauhkan diri. Selepas tiada sebarang kata putus, hubungan mereka adik beradik yang selama ini rapat semakin menjauh. Hampir tiga bulan mereka adik-beradik tidak berhubung.

Sehinggalah pada suatu hari, ibu mereka jatuh sakit. Mereka menyangkakan ibu bersedih kerana kehilangan suami yang selama ini menemaninya bertahun-tahun.

Sebaliknya ada kesedihan yang lebih besar ibu pendamkan selama ini.

“Ibu sedih melihat anak-anaknya yang dibesarkan dengan penuh kasih sayang sudah tidak lagi sehaluan. Saya mula sedar, bahawa kematian bapa bukan bermakna semua urusannya terhenti begitu sahaja.

“Ada amanah sebagai anak-anak yang kami perlu selesaikan. Saya sendiri, mula memahami bukan siapa yang perlu membayarnya semata-mata tetapi bagaimana menguruskan perkara tersebut dengan betul dan adil,” ujarnya.

Sambung Munir, dia sendiri memilih untuk membuka semula perkara itu. Dia sedar, terlalu lama kami mempertahankan pendirian masing-masing, lebih memburukkan keadaan.

“Saya sendiri mengajak adik -beradik berkumpul dan membincangkan perkara tersebut.

“Perkara pertama saya lakukan meminta maaf kepada ibu, abang sulung dan adik-beradik yang lain kerana sikap keras saya selama ini,” ujarnya.

Akhirnya, masing-masing mula mengetepikan ego, kembali berbincang dan sepakat untuk merujuk kepada pihak yang lebih arif tentang urusan hutang arwah dan harta pusaka.

Menurut Munir, kemarahannya kepada arwah bapa juga perlahan-lahan berkurangan.

Katanya, dia bukan marah kerana bapa berhutang, tetapi terkilan kerana tidak pernah diberi peluang untuk mengetahui dan membantu bapa semasa masih hidup.

“Sekiranya anak-anak tahu lebih awal, mungkin mereka boleh berbincang. Mungkin ada hutang yang boleh disusun semula. Mungkin ada masalah yang boleh diselesaikan bersama.

“Tetapi apabila ayah telah pergi, perkara yang tidak pernah dibicarakan menjadi jauh lebih sukar untuk dirungkai,” ujarnya.

Banyak pengajaran yang boleh diambil daripada kisah keluarga Munir ini.
Kadang-kala kematian bukan sahaja meninggalkan kesedihan kepada keluarga, tetapi juga urusan yang boleh selesai. Hutang bukan perkara kecil.

Jika seseorang mempunyai hutang, seboleh-bolehnya catat, simpan dokumen dan maklumkan kepada orang yang dipercayai dalam keluarga. Bukan untuk membuka aib, tetapi supaya urusan dapat diselesaikan dengan tertib sekiranya sesuatu berlaku.

Bagi anak-anak yang berdepan situasi seperti ini, jangan terus menganggap semua hutang ibu atau bapa secara automatik menjadi hutang peribadi anak.

Kenal pasti dahulu jenis hutang, dokumen, harta pusaka dan tanggungjawab undang-undang yang sebenar. Dalam Islam juga, hutang merupakan perkara yang sangat berat dan perlu diberi perhatian.

Bagi anak-anak yang sedang berdepan situasi sama, Munir sempat menitip pesan, agar tidak terus menyalahkan antara satu sama lain. Sebaiknya, dibincang dengan hati terbuka
bagaimana masalah dapat diselesaikan.

Terdapat banyak ayat al-Quran yang membahaskan tentang hutang, bermula dari kewajiban membayar tepat pada waktunya dan menulis perjanjian.

Sebagaimana Firman Allah SWT, “Wahai orang-orang yang beriman!, Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan hutang-piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu, maka hendaklah kamu menulisnya” – Surah al-Baqarah 282

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×