Bagi mewujudkan sebuah kediaman yang selesa, pemilihan elemen dekorasi bukan sekadar untuk mencipta keindahan visual malah memainkan peranan dalam membentuk suasana serta memberi kesan terhadap emosi penghuninya.
Gabungan warna, tekstur serta sentuhan peribadi pemilik rumah menjadikan sesebuah ruang itu lebih hidup selain turut mempunyai karakternya yang tersendiri.
Bagi Nur Syakila Khaleeda Abdullah Sani atau lebih dikenali sebagai Syakila Sani, kediaman impiannya dibina berasaskan keseimbangan antara estetika dan keselesaan menerusi gabungan elemen alam, tona warna neutral serta dekorasi yang mempunyai nilai sentimental.
Katanya, konsep kediamannya banyak mencerminkan dirinya dan suami yang gemar akan unsur semula jadi seperti tumbuh-tumbuhan serta warna lembut bagi mewujudkan suasana damai.
“Bagi saya, rumah bukan hanya cantik untuk dipandang tetapi juga selesa untuk didiami selain saya mahu setiap ruang terasa tenang tanpa kehilangan karakternya,” katanya.
Syakila Sani berkata, dia juga turut mengimpikan sebuah rumah yang kekal indah merentas peredaran masa tanpa terikat pada mana-mana perubahan trend.

Ruang Di Hati
Ditanya mengenai ruang pilihannya, Syakila Sani sukar untuk memilih hanya satu ruang kegemarannya berikutan setiap sudut di rumahnya mempunyai keistimewaan yang tersendiri.
Namun, galeri dinding di ruang tamu menjadi antara elemen yang paling menarik perhatiannya kerana ia berjaya menjadikan televisyen sebahagian daripada dekorasi bukannya menjadi fokus utama ruang tersebut.
Menurutnya, galeri dinding tersebut antara yang digemarinya kerana ia berjaya mengubah fungsi televisyen daripada sekadar hiburan kepada sebahagian daripada keseluruhan dekorasi.
“Saya juga sangat menyukai ruang makan terutamanya dengan pothos yang berjuntaian sehingga kelihatan seperti chandelier semula jadi.
“Sentuhan itu membawa elemen alam yang menjadikan ruang tersebut terasa lebih hidup, lembut dan mengundang,” ujarnya.
Selain tumbuhan hijau, pemilihan warna neutral turut memainkan peranan penting dalam mencipta suasana yang nyaman dan tidak mudah lapuk dek perubahan zaman.

Sofa Arwah Nenek Penuh Nilai Kenangan
Di sebalik dekorasi yang tersusun indah terdapat beberapa barangan dalam kediaman Syakila Sani yang mempunyai nilai sentimental tersendiri.
Antaranya ialah sebuah meja sisi yang diletakkan di antara sepasang kerusi goyang iaitu perabot warisan daripada arwah neneknya yang berasal dari Itali.
Dia berkata, nilai perabot tersebut bukan hanya terletak pada reka bentuknya sahaja sebaliknya pada memori dan kisah yang dibawanya.
Perabot peninggalan tersebut sentiasa mempunyai tempat istimewa kerana ia mengingatkannya kepada arwah neneknya selain mungkin menjadi pencetus kepada minatnya terhadap rekaan yang bersifat klasik dan tidak lapuk.
“Kebanyakan perabot dan dekorasi di rumah ini dibeli serta dikumpulkan sedikit demi sedikit mengikut kesesuaian ruang dan konsep yang saya inginkan.
“Saya lebih gemar mengambil masa mencari sesuatu yang benar-benar sesuai daripada membeli sekadar untuk memenuhi ruang yang kosong,” katanya.

Filem jadi inspirasi
Syakila Sani memberitahu, dia tidak hanya bergantung kepada trend dekorasi semasa sahaja sebaliknya turut mendapatkan inspirasi daripada pelbagai sumber termasuk filem.
Baginya, inspirasi daripada visual dalam filem membantu membuka perspektif baharu terhadap susunan ruang, pemilihan warna serta suasana yang ingin diwujudkan dalam rumah.
“Saya banyak mendapatkan inspirasi daripada filem-filem arahan Nancy Meyers kerana aya tertarik dengan suasana rumah yang dipaparkan dalam filem-filem beliau yang terasa begitu indah, selesa dan penuh karakter,” katanya.
Pendekatan itu selari dengan impiannya untuk menghasilkan kediaman yang bukan sahaja menampilkan estetika tersendiri tetapi turut mempunyai jiwa dan cerita tersendiri.

Dalam pada itu, ruang dapur menjadi antara kawasan yang menerima pelaburan terbesar kerana melibatkan pemasangan kabinet serta kelengkapan elektrik.
Walaupun memberi perhatian kepada aspek praktikal, Syakila Sani tetap memastikan ruang tersebut tidak kelihatan terlalu keras dengan menambah elemen tumbuhan hijau.
Malah, perubahan kecil pada setiap ruang juga mampu memberi nafas baharu kepada kediaman, sama ada melalui susunan perabot mahupun elemen dekorasi yang dipilih.
Baginya, sebuah rumah tidak pernah benar-benar siap kerana ia sentiasa berkembang mengikut perubahan kehidupan penghuninya.










