Sentuhan warna cipta kediaman menenangkan jiwa

Sentuhan warna cipta kediaman menenangkan jiwa

PROSES ubah suai kediaman ini menelan belanja RM200,000
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kediaman yang sempurna bukan diukur melalui kemewahan atau hiasan yang memenuhi setiap ruang sebaliknya sebuah rumah yang mampu memberi ketenangan kepada penghuninya setiap hari.

Bukan hanya sekadar cantik dipandang sebaliknya sesebuah kediaman perlulah menjadi ruang untuk berehat, mengembalikan tenaga dan mencipta momen bermakna bersama keluarga.

Bagi Wany Muhamad, dia percaya persekitaran yang selesa mampu memberi kesan besar terhadap emosi dan kesejahteraan seisi keluarga.

Oleh sebab itu, setiap sudut kediamannya dirancang dengan teliti bermula daripada pemilihan warna sehinggalah kepada susunan perabot di dalam rumahnya.

“Memandangkan saya seorang suri rumah, saya sememangnya memerlukan warna-warna yang ceria dan tenang agar sentiasa gembira ketika berada di rumah sepanjang hari,” katanya.

Wany turut menambah dia tidak mendekorasi rumahnya berasaskan satu konsep yang khusus sebaliknya dia lebih gemar menggabungkan elemen yang disukai mengikut cita rasanya sendiri.

Hal ini kerana, pendekatan tersebut berjaya menghasilkan ruang yang harmoni di samping menyerlahkan identiti tersendiri yang mencerminkan kreativiti Wany dalam menghias setiap sudut kediamannya.

Kurang Barang, Lebih Lapang

Wany juga turut mengamalkan konsep dekorasi secara sengaja atau intentional decorating di mana dia mengehadkan ruang penyimpanan kerana tidak mahu rumah dipenuhi dengan barangan yang tidak digunakan.

ANTARA perabot ringkas yang digunakan di kediaman Wany.

“Saya memilih untuk kurangkan ruang menyimpan barang sebab saya tidak mahu menyimpan terlalu banyak benda yang akhirnya saya sendiri lupa saya ada.

“Pendekatan ini menjadikan rumah saya sentiasa kemas, lapang dan lebih mudah diurus di samping lebih kelihatan harmoni untuk didiami,” ujarnya.

Katanya, warna juga turut memainkan peranan yang jauh lebih besar daripada sekadar mencantikkan sesebuah ruang.

Sebelum memilih sesuatu rona, dia akan membuat pelbagai rujukan bagi memastikan setiap kombinasi mampu menyerlahkan seri rumah tanpa kelihatan terlalu sarat.

“Saya memang rancang dahulu setiap kombinasi warna supaya rumah ini tidak nampak terlalu sarat dengan warna yang banyak walaupun saya suka warna-warna yang ceria.” katanya.

Pemilihan warna yang lembut dan menenangkan membantu mewujudkan suasana yang lebih damai sekaligus menjadikan rumah tempat terbaik untuk berehat selepas menjalani rutin harian.

Bagi Wany, rumah perlu mempunyai fleksibiliti supaya susun atur boleh diubah mengikut perubahan keperluan dan cita rasa.

“Memandangkan saya suka ubah perabot dan dekorasi rumah dari semasa ke semasa, saya memilih untuk tidak mempunyai banyak built-in furniture bagi mengurangkan penggunaan ruang yang banyak bagi sesebuah perabot,” katanya.

Proses renovasi dan menghias rumahnya mengambil kira-kira empat bulan dengan anggaran kos RM200,000.

Ujar Wany, sebahagian besar perbelanjaan bukan datang daripada kabinet dapur atau sistem penyaman udara, sebaliknya daripada pemilihan perabot.

“Untuk rumah saya, kos paling tinggi sebenarnya ialah perabot kerana saya memilih designer furniture dan kebanyakannya ditempah terlebih dahulu supaya sesuai dengan keseluruhan konsep rumah.” ujarnya.

Malah, dia juga turut menggabungkan elemen thrifted bersama dengan perabot baharunya bagi menghasilkan dekorasi yang lebih unik dan mempunyai karakter yang tersendiri.

Ditanya mengenai ruang paling istimewa, Wany memilih dapur sebagai nadi kediamannya kerana kebanyakkan konsep bagi setiap ruang dalam rumahnya berpaksikan konsep di kawasan dapur terlebih dahulu.

Katanya, selepas konsep dapur ditetapkan, barulah pemilihan warna, material, tekstur dan perabot di ruang lain diselaraskan supaya keseluruhan kediaman mempunyai kesinambungan yang harmoni.

Melalui pendekatan itu, setiap ruang di dalam rumah saling melengkapi antara satu sama lain menjadikan dapur bukan hanya tempat menyediakan hidangan malah titik permulaan kepada sebuah kediaman yang selesa.

“Oleh sebab itu, dapur menjadi tempat yang paling kerap digunakan setiap hari justeru suasananya perlu selesa, praktikal dan menyenangkan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN