Daripada sekadar aktiviti mengisi masa lapang di rumah, hobi menghasilkan adjustable phone strap kini atau tali telefon bimbit boleh laras menjadi ruang untuk Azliana Jaini, 36, mengekspresikan kreativiti, menenangkan emosi serta menjana pendapatan sampingan.
Minat yang bermula daripada kebiasaan menonton video kraf tangan dalam media sosial akhirnya berkembang menjadi sebuah perniagaan kecil yang dikenali sebagai Ajtheastroknot.
Berasal dari Kuala Lumpur, Azliana merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sistem Pejabat dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam.
Selepas menamatkan pengajian, dia sempat bekerja seketika sebelum mengambil keputusan untuk berhenti bagi menemani arwah bapanya yang ketika itu kerap mendapatkan rawatan di hospital.
Pemergian bapanya tidak mengubah tanggungjawab yang dipikul apabila Azliana memilih untuk terus berada di rumah bagi menjaga dan menemani ibunya sehingga kini.
Dalam kesibukan menguruskan ibunya, dia mula mencari aktiviti yang bukan sahaja dapat mengisi masa terluang, malah memberi ruang untuk dirinya berkarya dan melakukan sesuatu yang diminati.
Pencarian itu akhirnya menemukan Azliana dengan dunia kraf tangan dan DIY yang kini menjadi sebahagian daripada rutin hariannya.
“Saya banyak menghabiskan masa di rumah dan suka tengok video kraf tangan dan DIY melalui media sosial. Dari situ saya mula tertarik untuk mencuba sendiri,” katanya kepada Seri.

Bermula dengan video DIY
Penglibatan Azliana dalam dunia pembuatan tali telefon bermula sekitar tahun 2022 ketika dia banyak meluangkan masa melayari media sosial.
Menurutnya, perjalanan tersebut tidak bermula dengan penghasilan tali telefon boleh laras seperti yang menjadi fokusnya hari ini.
Sebaliknya, dia terlebih dahulu bereksperimen dengan menghasilkan beg buatan tangan sebelum mengembangkan kemahiran kepada pelbagai aksesori lain.
Antara produk yang pernah dihasilkan termasuk lanyard, wristlet, keychain dan pelbagai aksesori kraf tangan yang dibuat sendiri.
Semakin banyak produk dihasilkan, semakin mendalam minatnya terhadap dunia kraf tangan.
Daripada pelbagai produk yang pernah dihasilkan, tali telefon boleh laras akhirnya menjadi produk yang paling diminati untuk dihasilkan.
Menurut Azliana, minat terhadap seni kraf dan DIY sebenarnya sudah lama wujud dalam dirinya.
“Kalau nampak video orang buat sesuatu yang comel dan kreatif, memang saya suka tengok dan cuba ikut proses mereka sampai habis,” katanya.

Belajar sendiri melalui media sosial
Berbeza dengan sesetengah pengusaha kraf yang mengikuti kelas atau kursus khas, Azliana mempelajari kemahiran menghasilkan tali telefon secara sendiri.
Platform seperti Instagram, Pinterest dan YouTube menjadi sumber rujukan utama sepanjang proses pembelajarannya.
Melalui video-video tutorial yang ditonton, dia belajar sedikit demi sedikit sehingga berjaya menghasilkan produk yang kemas dan berkualiti.
“Memang banyak proses kaedah cuba jaya sampai jumpa cara yang paling sesuai,” katanya.
Hasil pertama yang dihasilkannya ialah braided lanyard dan wristlet yang ringkas dengan pelbagai pilihan warna.
Walaupun rekaan tersebut jauh lebih sederhana berbanding hasil sekarang, Azliana tetap menganggapnya sebagai permulaan yang bermakna.
Dia masih mengingati perasaan gembira apabila berjaya menyiapkan hasil pertamanya itu.
“Benda yang kita tengok dalam video tutorial, bila cuba buat sendiri dan hasil dia menjadi, rasa seronok sangat,” katanya.
Namun, perjalanan untuk menguasai teknik penghasilan phone strap bukanlah sesuatu yang mudah.
Cabaran terbesar yang dihadapinya pada peringkat awal adalah memastikan setiap ikatan dibuat dengan kemas serta mendapatkan ukuran yang tepat.
Ada kalanya dia terpaksa membuka semula hasil yang dibuat dan mengulang proses yang sama beberapa kali sebelum berpuas hati.
“Bila tengok tutorial nampak mudah, tapi bila buat sendiri baru tahu banyak benda kena belajar dan cuba berkali-kali,” katanya.
Menurutnya, tempoh untuk benar-benar mahir bergantung kepada individu dan kesungguhan mereka untuk terus berlatih.

Setiap ikatan perlukan ketelitian
Katanya, menghasilkan sebuah tali telefon boleh laras memerlukan kesabaran dan ketelitian bagi memastikan hasil akhir bukan sahaja menarik, malah kukuh untuk digunakan.
Proses tersebut biasanya bermula dengan pemilihan warna dan rekaan yang ingin dihasilkan.
Selepas itu, tali akan diukur dan dipotong mengikut panjang yang diperlukan sebelum proses mengikat dan membentuk corak dilakukan.
Apabila siap, setiap bahagian akan diperiksa semula bagi memastikan hasil tersebut benar-benar kemas sebelum diserahkan kepada pelanggan.
“Kadang-kadang kesilapan kecil pun boleh menyebabkan saya kena buka dan buat semula dari awal,” jelasnya.
Antara bahan asas yang digunakan termasuk tali cord, pita pengukur, gunting, hook dan gam.
Tempoh untuk menyiapkan satu tali telefon pula bergantung kepada jenis rekaan yang dihasilkan. Dia biasanya mengambil masa antara 30 minit sehingga satu setengah jam.
Sebagai individu yang menjaga ibunya di rumah, Azliana sering memanfaatkan waktu malam untuk menghasilkan produk.
Suasana yang lebih tenang pada waktu malam membolehkan dia memberi tumpuan sepenuhnya terhadap setiap hasil yang dihasilkan.
“Bila dah terlalu fokus, kerja jadi lebih laju dan strap lebih cepat siap,” katanya.

Utamakan kekemasan dan ketahanan
Bagi Azliana, dua elemen paling penting dalam setiap hasil yang dihasilkan ialah kekemasan dan ketahanan.
Walaupun reka bentuk yang menarik menjadi perhatian, dia mahu memastikan setiap strap yang dihasilkan benar-benar selesa digunakan dan mampu bertahan untuk kegunaan harian.
Bagi mendapatkan idea rekaan baharu, Azliana banyak merujuk media sosial terutama Instagram dan Pinterest.
Dia gemar melihat kombinasi warna, corak dan reka bentuk yang sedang menjadi trend sebelum menghasilkan versinya sendiri.
“Ada masa saya suka rekaan yang ringkas dan minimalis, ada masa saya suka bereksperimen dengan warna yang lebih menarik dan ceria,” katanya.
Seperti penggiat kraf lain, Azliana juga pernah menghasilkan produk yang tidak menjadi seperti yang dirancang.
Kebiasaannya, perkara itu berlaku akibat kesilapan pada ikatan atau ukuran yang kurang tepat.
“Kalau jadi macam itu, saya akan buka semula perlahan-lahan dan betulkan balik. Kadang-kadang saya ketepikan dulu dan sambung semula bila dah ada idea atau mood,” jelasnya.
Hobi berkembang menjadi sumber pendapatan
Perkara paling menyeronokkan tentang hobi ini ialah melihat tali yang pada awalnya kelihatan biasa bertukar menjadi sesuatu yang cantik dan berfungsi.
Selain itu, dia juga seronok mencuba kombinasi warna dan rekaan baharu yang kadangkala menghasilkan sesuatu yang lebih menarik daripada jangkaannya.
Namun, kepuasan sebenar hadir apabila hasil kerjanya digunakan dan dihargai oleh orang ramai.
“Bila orang memuji hasil itu cantik dan kukuh, memang rasa gembira. Ada pelanggan yang pernah cakap tali boleh laras yang dia beli jadi ‘lifesaver’ sepanjang dia travel,” katanya.
Pelanggan pertama yang menyokong hasil kerjanya terdiri daripada ahli keluarga dan rakan-rakan terdekat.

Selepas mula berkongsi hasil karya di media sosial sekitar tahun 2022 hingga 2023, tempahan daripada pelanggan lain mula diterima secara beransur-ansur.
“Saya tak sangka juga sebenarnya hobi ini boleh mendatangkan pendapatan,” katanya.
Katanya, media sosial memainkan peranan penting dalam memperkenalkan hasil kerja kepada lebih ramai orang.
Kini, tali boleh laras menjadi antara produk yang paling mendapat sambutan kerana sifatnya yang praktikal dan boleh digunakan sebagai lanyard atau crossbody.
Impian besarkan Ajtheastroknot
Walaupun bermula sebagai hobi, Azliana berharap suatu hari nanti Ajtheastroknot dapat berkembang menjadi jenama buatan tangan yang lebih dikenali ramai.
Dia juga mahu terus menghasilkan lebih banyak rekaan baharu dan memperkenalkan produk-produk kreatif yang sesuai digunakan dalam kehidupan harian.










