Mulut celupar lebih memalukan

Mulut celupar lebih memalukan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Baru-baru ini, tular beberapa video yang memaparkan segelintir rakyat Malaysia mengkritik dan mengutuk bau badan yang didakwa kurang menyenangkan dalam kalangan sebahagian rakyat China ketika melancong ke negara itu.

Kumpulan pelancong itu bertutur dalam bahasa Melayu dengan harapan tiada orang akan memahami apa yang mereka cakap, namun tidak pula segan memuat naik video berkenaan dalam media sosial sehingga dikecam netizen.

Setiap negara mempunyai budaya, cara hidup dan norma masyarakat yang berbeza. Apa yang dianggap biasa di sesebuah tempat mungkin kelihatan asing kepada pelancong dari negara lain.

Sebagai tetamu di negara orang, kita seharusnya datang dengan sikap terbuka untuk memahami dan menghormati perbezaan tersebut, bukannya menjadikan ia bahan sindiran atau ejekan.

Sudah tentu setiap individu berhak mempunyai pendapat sendiri. Jika terdapat perkara yang tidak disenangi sepanjang perjalanan, tidak salah untuk meluahkan rasa tidak selesa.

Namun, cara dan tempat untuk menyuarakannya juga perlu diambil kira. Tidak semua perkara perlu dirakam, dimuat naik dan dikongsikan.

Kita juga tidak suka jika orang luar datang ke negara ini lalu memperlekehkan rakyat Malaysia di media sosial.

Kita pasti mengharapkan mereka menghormati masyarakat tempatan.

Tindakan culas segelintir individu sering kali menyebabkan seluruh rakyat Malaysia menerima tempiasnya. Walaupun perbuatan itu dilakukan seorang atau dua individu sahaja, masyarakat luar mungkin melihatnya sebagai gambaran sikap rakyat negara ini secara keseluruhan.

Hakikatnya, rakyat Malaysia dikenali di banyak negara sebagai masyarakat yang mesra, dan menghormati budaya setempat.

Reputasi baik yang dibina sejak sekian lama tidak sepatutnya tercalar hanya kerana tindakan tidak bertanggungjawab segelintir pihak.

Sebagai pelancong, kita membawa bersama nama keluarga, masyarakat dan negara. Setiap tindakan yang dimuat naik ke media sosial mencerminkan siapa diri kita.

Jika berasa marah, kecewa atau tidak selesa, luahkanlah dengan cara yang berhemah dan pada tempat yang sesuai. Ada masa untuk menegur, ada ruang untuk mengadu dan ada cara untuk menyampaikan pandangan tanpa menghina orang lain. Kebebasan bersuara bukan lesen untuk berkata apa sahaja.

Adab ketika bermusafir bukan sekadar tentang mematuhi undang-undang negara yang dikunjungi, tetapi juga menjaga akhlak.

Adlinahani Khalil ialah Pengarang Berita Gaya Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN