Kadangkala almari mungkin sudah penuh, tetapi ayat ‘Saya tak ada baju nak pakai’ masih muncul hampir setiap hujung minggu. Bukan sebab baju tak cukup. Kadang-kadang sebab kita mahukan sesuatu yang nampak bergaya tanpa perlu berfikir terlalu lama.
Sebab itulah saya percaya setiap wanita patut ada sekurang-kurangnya satu Oversized Top dengan Palazzo Pants. Percayalah, ini adalah gaya yang membuatkan orang fikir, ‘Eh, macam effortless je dia bergaya’.
Minggu ini saya jatuh hati dengan koleksi Spring Summer 2026 Ready-to-Wear daripada Raeesa, yang baru sahaja dilancarkan pada 15 Jun lalu. Jenama ini sebenarnya sudah lama berada dalam radar saya.
Ditubuhkan pada tahun 2012 oleh Erny Yusmiarty Erizal, Raeesa lahir daripada kecintaan beliau terhadap batik, kemudian diberi nama sempena anak perempuannya. Apa yang menarik, batik di tangan Raeesa tidak pernah kelihatan ‘terlalu tradisional’. Sebaliknya, ia diberikan nafas moden yang kekal sopan, feminin dan sangat relevan untuk wanita hari ini.
Koleksi kali ini diinspirasikan daripada alam semula jadi dengan rona lembut yang menenangkan mata. Motif dedaunan, warna bumi dan potongan yang longgar menjadikan keseluruhan koleksi terasa begitu mahal walaupun tidak menjerit meminta perhatian. Saya paling suka Oversized Top with Palazzo Pants – Shell dan Melayu Top with Palazzo Pants – Riveria.

Kedua-duanya mempunyai karakter berbeza, tetapi berkongsi satu persamaan, iaitu elegan dan kelihatan mahal.
Apa yang membuatkan saya benar-benar menyukai potongan oversized ialah siluetnya. Ia tidak cuba mengikut bentuk badan, sebaliknya membiarkan pemakai bergerak dengan selesa dan yakin.
Dipadankan pula dengan seluar palazzo yang jatuh cantik, keseluruhannya memberi ilusi badan yang lebih tinggi dan lebih kemas. Kadang-kadang fesyen yang paling bijak bukanlah yang paling ketat, tetapi yang paling pandai bermain dengan proportion badan.
Bagi wanita berhijab, set seperti ini memang mudah digayakan. Tudung bawal polos atau selendang satin dalam tona krim, sage, mocha atau dusty pink sudah cukup menyerlahkan corak pakaian.
Tambahkan beg tangan berstruktur dan kasut slingback atau loafer, terus nampak kemas untuk makan tengah hari bersama keluarga, menghadiri majlis kecil atau temu janji minum kopi bersama rakan.
Kalau anda bertubuh kecil molek, jangan takut dengan perkataan ‘oversized’. Rahsianya ialah pastikan bahagian depan baju dimasukkan sedikit ke dalam pinggang atau pilih kasut bertumit rendah supaya kaki nampak lebih panjang.
Untuk wanita bertubuh curvy pula, potongan longgar seperti ini sebenarnya sangat membantu kerana fabriknya jatuh cantik tanpa melekap pada badan. Bagi yang tinggi dan langsing, anda antara yang paling bertuah kerana boleh bermain dengan aksesori yang lebih berani seperti rantai panjang atau anting-anting bersaiz besar tanpa kelihatan berlebihan.

Satu lagi yang saya suka ialah rekaan ini menggunakan kemasan berlapik penuh. Ramai sangka pakaian berlapis akan terasa panas, tetapi apabila potongan dan fabrik dipilih dengan betul, hasilnya jauh lebih kemas dan selesa dipakai sepanjang hari. Rekaan ini boleh dipakai dari mesyuarat pagi, terus ke makan malam tanpa rasa perlu pulang menukar pakaian.
Saya selalu percaya gaya setiap wanita bukanlah tentang mengejar trend setiap minggu. Ia tentang memiliki beberapa helaian yang membuatkan kita sentiasa nampak kemas walaupun hanya mengambil lima minit untuk bersiap. Dan bagi saya, potongan longgar seperti blaus atau top bersama palazzo pants ialah salah satu daripadanya.
Lagipun, hidup sudah cukup sibuk. Kalau ada pakaian yang boleh membuatkan orang bertanya, ‘Eh, kurus nampak hari ini’ walhal anda cuma sempat minum kopi dan berlari keluar rumah, rasanya itu sudah boleh dikira sebagai satu kemenangan kecil. Kadang-kadang, rahsia bergaya bukanlah almari yang penuh.
Cukup sekadar memilih helaian yang tahu membuatkan anda tampil yakin setiap kali melangkah keluar.










