Ibu tunggal diuji anak-anak lupa diri

Ibu tunggal diuji anak-anak lupa diri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ujian seorang ibu tunggal bukan sekadar kehilangan suami yang menjadi teman dan tempat bergantung.

Namun ada ujian lain yang kadang kala lebih menyedihkan menanti mereka. Ini apabila anak-anak yang dibesarkan dengan kasih sayang itu mula dewasa dan mendirikan rumah tangga berubah sikap.

Perubahan yang berlaku perlahan-lahan itu bukan kerana pergaduhan atau kebencian, tetapi kegagalan menyimbangkan keutamaan hidup, kesibukan dan pengaruh pasangan.

Minggu ini saya kongsikan ujian seorang ibu tunggal, Jun (bukan nama sebenar) yang terpaksa menerima hakikat anak-anak yang dibesarkan dengan sayang dan pengorbanan itu kini sedang membina dunia sendiri.

Keutamaan hidup mereka mula berubah selepas berkahwin dan fokus beralih kepada pasangan dan anak sendiri.

Tanpa disedari, si ibu berasa terpinggir dan apa yang menjadi kebahagiaan seorang ibu selama ini semakin menjauh.

Kisah Jun dikongsikan sahabat baiknya, Rahimah (bukan nama sebenar) dalam kiriman emel baru-baru ini.

Dalam emelnya, Rahimah menulis, dia tidak berniat untuk membuka aib sesiapa, bukan juga untuk mencari salah mana-mana pihak, tetapi mungkin boleh dijadikan pengajaran.

Tulis Rahimah, sahabatnya itu seorang ibu tunggal yang kehilangan suami akibat kemalangan jalan raya pada pertengahan Jun 1995.

Sejak hari itu, sahabatnya itu terpaksa memikul dua peranan sekaligus, sebagai ibu dan bapa kepada dua anak yang masih kecil. Dalam usia yang masih muda, Jun membesarkan dua anak Salim dan Ainina ,(bukan nama sebenar) masing-masing ketika itu berusia 10 dan lima tahun sendirian.

Siang malam dia bekerja melakukan pelbagai pekerjaan demi memastikan Salim dan Ainina mendapat pendidikan yang baik dan kehidupan sempurna. Bagi sahabatnya itu, anak-anak adalah sumber kebahagiaan yang tiada galang ganti.

Jun yang sebelum itu seorang surirumah, terpaksa bekerja untuk meneruskan kehidupan. Setiap hari, Jun bangun pagi menyiapkan keperluan anak-anak sebelum ke sekolah. Selepas menghantar anak-anak ke sekolah, Jun bekerja di sebuah kedai makan berhampiran.

Pada sebelah petang pula, Jun bekerja dengannya yang ketika itu mengusahakan perniagaan kecil-kecilan membuat dan mengambil tempahan kuih-muih sejuk beku.

Tidur Jun hanya beberapa jam sehari. Kata Rahimah, apa yang dikagumi, walaupun kehidupan sahabatnya itu tidak mudah, dia tidak pernah mengeluh dan tetap bekerja keras. Jun tidak pernah berkahwin lagi kerana bimbang kasih sayang anak-anak terabai.

Setiap keputusan dalam hidupnya dibuat dengan terlebih dahulu memikirkan masa depan mereka. Tahun demi tahun berlalu.

Berkat usaha dan doa dengan izin Allah, Salim dan Ainina berjaya menamatkan pengajian, mendapat pekerjaan yang baik dan akhirnya mendirikan rumah tangga.

Jun adalah orang paling gembira melihat kejayaan anak-anaknya. Dia bersyukur kerana segala penat lelahnya selama ini membuahkan hasil. Hari perkahwinan Salim dan Ainina, menjadi antara hari yang paling membahagiakan Jun.

Kedua-duanya berkahwin dengan pilihan masing-masing. Pada awalnya semua kelihatan baik-baik sahaja. Anak menantu menghormati Jun dan mereka kerap pulang ke kampung.
Jun gembira melihat keluarganya semakin membesar. Namun kebahagiaan yang dirasai tidak bertahan lama.

Selepas berkahwin dan mempunyai anak, Salim dan Ainina mula berubah sedikit demi sedikit. Pada mulanya mereka masih kerap menghubungi dan pulang menziarahi, tetapi lama-kelamaan keadaan itu mula berubah perlahan-lahan. Setiap keputusan Salim dan Ainina banyak dipengaruhi oleh kehendak pasangan mereka.

Setiap kali Salim menyebut tentang rancangan untuk menjenguk ibunya, ada sahaja alasan yang diberi isteri. Pada awalnya Salim cuba memujuk, tetapi lama-kelamaan dia mula mengalah. Jika menantunya tidak mahu pulang, Salim juga tidak akan pulang.

Sedikit demi sedikit, hubungan rapat antara Salim dan ibunya mula renggang. Jun sebenarnya dapat merasakan perubahan itu, namun dia memilih untuk berdiam diri. Selepas hubungan Jun dengan Salim semakin renggang, dia masih cuba memujuk hati.

Dia mencari kekuatan pula pada anak bongsunya Ainina. Namun ia tidak seperti diharapkan. Menantunya, Rizal, (bukan nama sebenar) sangat mengawal Ainina. Pada mulanya tidak begitu ketara, tetapi lama-kelamaan Jun mula perasan.

Jika dahulu, Ainina datang tanpa perlu dipanggil, kini setiap pertemuan perlu dirancang berminggu-minggu lebih awal. Bagi Rizal selepas berkahwin, keutamaan seorang isteri adalah suami dan anak-anak. Sedikit demi sedikit Ainina mula menjauh.

Sambung Rahimah, selepas hubungan dengan anak-anak semakin renggang, dia melihat sahabatnya itu lebih banyak memendam rasa. Dia tidak banyak mengadu atau bercerita lagi tentang anak menantunya.

Tulis Rahimah, dalam usia yang semakin lanjut seperti mereka, apa yang diharapkan bukan kemewahan atau wang ringgit. Sahabatnya itu rindukan perhatian, kasih sayang dan mengharapkan sedikit masa daripada anak-anak yang dibesarkan bagai menatang minyak penuh.

Menurut Rahimah, sahabatnya itu pernah meluahkan, walaupun hatinya terluka, dia tetap mendoakan kebahagiaan anak-anaknya. Cinta dan kasihnya terhadap Salim dan Ainina tidak pernah berkurangan.

Tulis Rahimah lagi, sejak setahun lalu, dia mula melihat perubahan besar pada sahabatnya itu. Jika sebelum ini banyak perkara dipendam, terutama selepas hubungan dengan anak-anaknya tidak seperti dahulu. Sahabatnya itu mula menjalani kehidupan dengan lebih tenang. Lebih gembira dan bahagia.

Paling jelas kata Rahimah, perubahan itu terjadi selepas sahabatnya itu dia tidak lagi meletakkan harapan dan kebergantungan hidupnya kepada anak-anak. Dalam emel terakhir itu Rahimah menulis, dia sangat bersyukur kerana sahabatnya itu telah menemui kebahagiaan sendiri dengan lebih mendekatkan dan meletakkan kebergantungan hidup kepada Allah SWT.

Sesungguhnya, kebergantungan kepada manusia, hanya akan menimbulkan rasa kecewa kerana manusia boleh berubah, sebaliknya apabila bergantung sepenuhnya kepada Allah, hati jadi lebih tenang.

Antara ayat al-Quran yang sesuai dengan maksud kebergantungan kepada Allah SWT ialah, “ Dan barang siapa yang bertawakal kepada Allah, maka cukuplah Allah baginya,”-`(Surah at-Talaq 65:3)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN