Bina identiti rumah guna barangan terpakai

Bina identiti rumah guna barangan terpakai

RUMAH ini menampilkan gabungan enam idea individu berbeza yang mempunyai pesonaliti berbeza.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Penggunaan barangan terpakai dalam dekorasi kediaman kini semakin mendapat tempat dalam kalangan generasi muda yang melihat rumah sebagai ruang untuk mengekspresikan kreativiti mereka.

Ia bukan sahaja dapat menjimatkan kos malah pendekatan tersebut memberi peluang kepada mereka menghasilkan ruang yang unik, peribadi serta sarat dengan nilai sentimental.

Selari dengan trend ini, enam sahabat mengambil pendekatan untuk menggabungkan barangan terpakai, hasil buat sendiri (Diy) dan idea kreatif dalam mengubah dekorasi rumah sewa mereka agar lebih berkarakter.

Mohamad Izzul Haqim Ismail berkata, rumah ini menampilkan gabungan enam individu berbeza yang mempunyai pelbagai personaliti serta gaya yang berbeza bagi setiap penghuninya.

Katanya, dekorasi rumah yang hadir hari ini adalah hasil gabungan pengalaman hidup, minat, kreativiti serta perjalanan yang dilalui bersama oleh enam individu yang berkongsi ruang yang sama selama bertahun-tahun.

“Rumah kami menampilkan gabungan beberapa elemen dekorasi yang saling melengkapi antara satu sama lain jadi terdapat sentuhan asal yang mengetengahkan tekstur asal bahan binaan selain elemen rustic yang memberikan suasana lebih hangat dan santai.

“Malah, beberapa sudut turut menampilkan pengaruh punk yang lebih berani serta avant-garde yang eksperimental. Elemen mid-century pula digunakan bagi mewujudkan keseimbangan melalui rekaan yang lebih ringkas dan praktikal,” katanya.

Keputusan untuk tidak mengikut trend semasa turut menjadi faktor utama dalam membentuk identiti kediaman itu selain mereka memilih untuk membina ruang yang benar-benar mencerminkan diri sendiri.

Pendekatan itulah yang menjadikan setiap sudut Dalam 17 Studio mempunyai karakter tersendiri tanpa kelihatan bercelaru.

Walaupun terdiri daripada pelbagai gaya, keseluruhan ruang masih mempunyai kesatuan yang menjadikannya terasa hidup dan selesa didiami.

Dalam 17 Studio

Pada asalnya rumah sewa ini hanyalah didiami oleh enam sekawan yang mengikuti latihan praktikal pada 2018 namun pada sekitar September 2022 mereka mula mengambil pendekatan untuk membangunkan rumah studio bersama.

“Angka 17 tersebut merupakan nombor rasmi rumah kami jadi dari situlah lahirnya identiti rumah studio kami.

“Penjenamaan semula dan proses untuk mendekorasi rumah ini muncul secara semula jadi tanpa memperuntukkan bajet yang banyak sebaliknya kami menggunakan apa sahaja yang terdapat di depan mata kami termasuk menggunakan barangan terpakai,” ujarnya.

Izzul berkata, perabot dan item yang terdapat di rumah ini sebahagian besarnya dibina sendiri secara Diy selain ada juga yang diselamatkan daripada timbunan bahan buangan.

Selain itu, mereka juga turut menyedari bahawa objek yang pernah digunakan orang lain sering membawa nilai sentimental yang lebih mendalam berbanding barang baharu.

Kos keseluruhan yang diperuntukkan dianggarkan kurang daripada RM10,000 namun masa yang diperuntukkan untuk menyiapkan dekorasi ini jauh lebih besar daripada nilai wang tersebut.

“Jika dikira masa, tenaga, pengorbanan dan malam-malam yang kami habiskan untuk membinanya selama hampir enam tahun, nilainya jauh lebih besar daripada kos wang yang dikeluarkan,” katanya.

Meskipun sebahagian besar rumah dibina menggunakan pendekatan Diy namun terdapat satu komponen yang memerlukan perbelanjaan lebih tinggi berbanding yang lain.

Iaitu sistem penghawa dingin menjadi aspek yang menyumbang kepada kos terbesar dalam proses dekorasi rumah studio ini.

Meja Mesyuarat Penghubung Silaturahim

Secara peribadinya mereka menyukai keseluruhan perjalanan ruang dari dapur sehingga ke bahagian hadapan rumah kerana di situlah paling banyak cerita berlaku.

Tetapi bagi kebanyakan tetamu yang datang, kawasan ruang tamu dan meja mesyuarat biasanya menjadi tumpuan selain hampir keseluruhan ruang tersebut direka dan dibina sendiri.

Meja besar yang dibina sendiri turut menjadi elemen utama yang menghubungkan keseluruhan ruang.

“Di sinilah tempat kami berbincang, menghabiskan masa malah turut menjadi ruang untuk menyelesaikan masalah serta ruang damai sekiranya berselisih pendapat,” ujarnya.

Menurut Izzul, mereka tidak pernah menjadikan platform seperti Pinterest sebagai rujukan utama dalam membentuk identiti rumah sebaliknya inspirasi datang daripada kehidupan yang berlaku setiap hari di dalam rumah itu sendiri.

Seperti penghuninya, dekorasi dan susun atur Dalam 17 studio akan sentiasa berubah mengikut pengalaman serta masa selari dengan perjalanan kehidupan enam sekawan ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN