Adha, biri-biri comel penghibur keluarga Rusli

Adha, biri-biri comel penghibur keluarga Rusli

ANAK biri-biri ini diberi nama Adha sempena kelahirannya pada Hari Raya Haji yang lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bagi kebanyakan orang, biri-biri biasanya sinonim dengan haiwan ternakan yang dibesarkan di kandang atau kawasan ladang.

Namun, di rumah Mohd Rusli Awang, seorang pesara Padiberas Nasional Bhd, seekor anak biri-biri kini menjadi sebahagian daripada kehidupan harian di dalam rumah.

Bermula daripada satu tragedi kecil pada Hari Raya Aidiladha, kehadiran seekor anak biri-biri yang kehilangan ibunya akhirnya membuka satu kisah penuh kasih sayang yang tidak disangka.

Anak biri-biri itu dilahirkan pada hari istimewa tersebut, namun kegembiraan bertukar pilu apabila induknya meninggal dunia tidak lama selepas melahirkan.

Keadaan itu menyentuh hati Mohd Rusli sekeluarga, lantas mereka mengambil keputusan untuk membesarkan anak biri-biri tersebut di dalam rumah.

Daripada rasa kasihan, lahirlah satu ikatan yang semakin erat hari demi hari. Anak biri-biri itu kemudian dinamakan Adha, bersempena Hari Raya Aidiladha yang menjadi titik mula kisahnya.

“Ia masih kecil pada masa itu, masih mencari ibunya. Jadi kami mengambil keputusan untuk menjaganya di dalam rumah. Isteri saya bantu beri susu dan pakaikan lampin pada waktu malam,” katanya kepada Seri.

Seperti anak sendiri

Sejak hari pertama dibawa masuk ke dalam rumah, Adha dijaga dengan penuh perhatian seolah-olah sebahagian daripada ahli keluarga sendiri.

Ia bukan sekadar dibesarkan sebagai haiwan peliharaan, malah turut menjadi sebahagian daripada rutin harian isi rumah yang menceriakan suasana rumah.

Menurut Mohd Rusli, ini bukanlah pengalaman pertama buat keluarganya.

Sebelum ini, mereka juga pernah membesarkan beberapa ekor anak biri-biri lain yang kehilangan ibu dengan cara yang sama sebelum dilepaskan semula ke kandang apabila sudah besar dan mampu berdikari.

“Bila sudah biasa, kami tahu cara nak jaga. Ia akan diberi susu beberapa kali sehari dan sekarang memang sangat aktif,” jelasnya.

Dari hari ke hari, Adha membesar dengan sihat dan semakin lincah. Setiap kali melihat penjaganya, haiwan itu akan berlari dan mengembek, seolah-olah sudah memahami rutin makan dan waktu meluangkan masa.

Mempunyai gelagat manja

Walaupun dibesarkan dalam persekitaran rumah, Adha tetap menunjukkan sifat semula jadinya sebagai biri-biri yang aktif, lincah dan suka bergerak.

Keadaan itu menjadikan suasana rumah lebih hidup dan penuh dengan gelagat mencuit hati.

Antara gelagat yang paling mencuit hati ialah apabila ia me-lompat-lompat kegembiraan setiap kali melihat anak lelakinya mengeluarkan motosikal. Itu menjadi isyarat bahawa sudah tiba waktu untuk bersiar-siar pada waktu petang.

“Bila nampak motosikal, ia terus melompat-lompat sebab tahu nak ikut jalan-jalan,” katanya.

Selain itu, Adha juga gemar mengejar haiwan lain seperti ayam dan angsa yang berada di sekitar rumah, menjadikan suasana rumah lebih meriah dan tidak pernah sunyi.

Menjaga kebersihan dan rutin harian

Walaupun membela haiwan di dalam rumah kedengaran mencabar, keluarga ini berjaya menyesuaikan keadaan dengan baik melalui disiplin dan penjagaan yang rapi.

Penggunaan lampin serta penjagaan kebersihan yang konsisten menjadikan persekitaran rumah kekal selesa.

Isteri Mohd Rusli memainkan peranan penting dalam memastikan kebersihan sentiasa terjaga, termasuk rutin harian menyapu, mengemas dan membersihkan lantai setiap hari.

“Setakat ini tiada masalah bau. Semua bergantung pada kebersihan dan disiplin,” katanya.

Dari segi rutin harian pula, Adha kini sudah mengenali waktu makan dan waktu minum susunya, termasuk waktu petang yang biasanya diisi dengan aktiviti bersiar-siar bersama keluarga.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN