Konsep rumah moden hari ini bukan hanya sekadar soal estetik sahaja namun ia juga tentang bagaimana sesuatu ruang mampu memberi kesan emosi kepada penghuninya.
Salah satu gaya yang semakin mendapat perhatian ialah dopamine iaitu pendekatan dekorasi yang menekankan elemen warna ceria, suasana positif dan rasa gembira setiap kali berada di rumah.
Konsep itu turut menjadi pilihan Ikhsan Yusop di kediamannya.
Katanya, konsep itu sangat dekat dengan personalitinya yang sukakan warna-warna terang dan ceria
Inspirasi utama dekorasi rumahnya datang daripada platform Instagram dan Pinterest.
“Saya tidak tiru bulat-bulat, sebaliknya diolah semula mengikut cita rasa sendiri agar rumah ini mempunyai identiti yang lebih peribadi dan tidak tampak biasa,” ujarnya.
Pemilihan warna terang
Dekorasi dalam rumahnya menggabungkan pelbagai elemen warna berani tetapi masih seimbang menjadikan setiap ruang mempunyai mood tersendiri yang berbeza.
“Ada ruang yang lebih ceria dan riang manakala ada juga ruang yang lebih tenang untuk berehat dan mengurangkan tekanan selepas seharian bekerja,” katanya.
Ikhsan berkata, walaupun dekorasi rumahnya berkonsepkan bajet yang tinggi namun keseluruhan rumah ini dibina dengan pendekatan mampu milik.
“Dekorasi cantik tidak semestinya memerlukan kos besar tetapi bagaimana kita menyusun dan faham ruang tersebut,” katanya.
Tambahnya, proses menghias rumah memakan masa hampir setahun berikutan setiap sudut dirancang dengan teliti dan teratur.
“Setiap sudut rumah diubah secara berperingkat bermula daripada pemilihan warna asas, perabot utama sehinggalah ke aksesori kecil yang melengkapkan keseluruhan suasana,” katanya.

Piring hitam jadi terapi
Ruang tamu merupakan bahagian paling digemari kerana mencerminkan keseluruhan identiti rumah.
“Ruang tamu adalah wajah rumah kerana itulah kos dekorasinya paling tinggi.
“Selain itu, saya juga gemar bersantai di sudut piring hitam yang menjadi ruang terapi dirinya sambil mendengar muzik,” katanya.
Keseluruhan barangan dekorasi di rumah ini dibeli di kedai dan platform dalam talian.
Pemilihannya disesuaikan mengikut warna, bentuk, mood dan ia tidak tertakluk pada jenama atau harga semata-mata.
Peranan cahaya
Minat menghias rumah lahir sejak kecil dan diterjemahkan apabila sudah mempunyai kediaman sendiri.
“Situasi itu memberi kebebasan untuk bereksperimen dengan gaya sendiri tanpa terlalu terikat dengan pandangan orang lain,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, aspek pencahayaan juga memainkan peranan penting dalam keseluruhan konsep rumah itu kerana ia memberi impak besar terhadap mood ruang.
Katanya, cahaya adalah elemen yang sering dipandang ringan tetapi sebenarnya sangat penting bagi proses dekorasi.
Dalam pada itu, katanya, setiap sudut rumahnya membawa cerita tersendiri sama ada melalui warna, susunan atau pemilihan perabot.
“Saya percaya rumah adalah refleksi diri malah setiap orang mempunyai cara tersendiri untuk mengekspresikannya,” ujarnya.










