Ramai pemilik kucing menganggap pernafasan laju atau tercungap-cungap sebagai perkara biasa, terutama selepas haiwan itu aktif bermain atau ketika cuaca panas.
Ada juga yang beranggapan keadaan tersebut hanya bersifat sementara dan akan pulih dengan sendirinya tanpa memerlukan rawatan.
Namun, perubahan corak pernafasan itu sebenarnya boleh menjadi petanda awal kepada masalah kesihatan serius yang memerlukan perhatian segera.
Pegawai veterinar dari Hospital Veterinar Universiti (UVH), Dr. Nor-Alimah Rahman berkata, kadar pernafasan normal bagi kucing dewasa adalah sekitar 16 hingga 40 nafas seminit bergantung kepada tahap aktiviti dan keadaan persekitaran.
“Kucing yang sihat biasanya akan bernafas lebih laju ketika aktif bermain atau berada dalam cuaca panas, manakala kadar pernafasan menjadi lebih perlahan ketika tidur atau berehat dalam keadaan tenang,” katanya kepada Seri.
Pemilik perlu lebih peka sekiranya kucing bernafas terlalu laju, menggunakan tenaga berlebihan untuk bernafas, bernafas melalui mulut atau tercungap-cungap kerana keadaan itu boleh menandakan gangguan serius pada sistem pernafasan.
Pelbagai penyakit jadi punca
Menurut beliau, masalah pernafasan pada kucing boleh berpunca daripada gangguan saluran pernafasan seperti selsema, sinusitis dan lelehan hingus yang menyebabkan saluran udara tersumbat.
Selain itu, penyakit seperti asma serta jangkitan virus, bakteria dan fungus juga boleh menjejaskan paru-paru dan sistem pernafasan.
“Terdapat juga kes bendasing yang tersangkut dalam saluran pernafasan atau ketumbuhan yang menghalang aliran oksigen dengan baik,” katanya.
Kecederaan akibat kemalangan seperti paru-paru bocor (pneumothorax), trakea cedera dan hernia diafragma turut boleh menyebabkan kesukaran bernafas yang serius.
Tambahnya, selsema yang berpanjangan boleh memburukkan keadaan kerana menyebabkan pengeluaran hingus berlebihan sehingga mengganggu pernafasan dan menjejaskan deria bau kucing.
“Jika hingus bertukar hijau kekuningan, ia mungkin menandakan jangkitan sekunder daripada bakteria yang memerlukan rawatan segera,” jelasnya.
Pemilik disaran memerhatikan perubahan tingkah laku harian kucing kerana haiwan ini mempunyai rutin yang konsisten.
Kucing yang tidak sihat lazimnya menjadi lebih pasif, menyendiri dan kurang aktif dalam melakukan aktiviti harian.
Selain itu, pernafasan pada bahagian abdomen juga akan menjadi lebih ketara.
“Perhatikan pergerakan dada dan abdomen ketika kucing bernafas. Jika abdomen bergerak dengan jelas atau kucing kelihatan tercungap-cungap, segera dapatkan rawatan veterinar,” katanya.
Katanya, warna gusi boleh menjadi petunjuk penting tahap kesihatan kucing.
Kucing yang sihat mempunyai gusi berwarna merah jambu, manakala gusi yang kebiruan atau pucat menandakan kekurangan oksigen.
Pemeriksaan segera penting
Menurutnya, diagnosis awal amat penting bagi memastikan rawatan yang sesuai dapat diberikan dengan cepat.
Pada peringkat awal, doktor akan menilai sejarah kesihatan, perubahan tingkah laku dan simptom yang diperhatikan pemilik sebelum menjalankan pemeriksaan lanjut.
Kucing yang mengalami kesukaran bernafas akan diberikan bantuan oksigen terlebih dahulu sebelum pemeriksaan lain dilakukan.
Pemeriksaan fizikal termasuk mendengar bunyi paru-paru dan jantung, memeriksa warna mukosa serta mengenal pasti kecederaan yang boleh dilihat secara luaran.
Bagi mengenal pasti punca sebenar, pemeriksaan x-ray dan ultrasound mungkin diperlukan untuk menilai keadaan paru-paru, jantung dan organ berkaitan.
Obesiti beri tekanan kepada jantung
Menurut Dr. Nor-Alimah, obesiti juga boleh meningkatkan risiko masalah pernafasan kerana jantung perlu bekerja lebih kuat untuk mengepam oksigen ke seluruh badan.
Akibatnya, kucing yang obes cenderung bernafas lebih laju berbanding kucing dengan berat badan normal.
Dalam masa yang sama, beberapa baka kucing lebih berisiko mengalami masalah pernafasan atau penyakit jantung seperti British Shorthair (BSH), Maine Coon, Ragdoll, Sphynx, Persian dan Chartreux.
“Baka seperti Persian lebih mudah mengalami masalah saluran pernafasan kerana bentuk muka yang pendek atau brachycephalic,” jelasnya.
Pemilik dinasihatkan supaya tidak memberi makanan atau minuman kepada kucing yang sedang tercungap-cungap.
Tindakan itu boleh menyebabkan makanan atau air memasuki saluran pernafasan dan mengakibatkan aspiration pneumonia yang boleh membawa maut.
Sebaliknya, kucing perlu ditempatkan di kawasan yang tenang, kurang panas dan jauh daripada haiwan lain sementara menunggu rawatan.
“Perhatikan kadar pernafasan ketika kucing berehat dengan mengira pergerakan dada selama 15 saat dan darabkan empat untuk mendapatkan jumlah nafas dalam masa seminit,” katanya.
Bagi memastikan kesihatan pernafasan kucing sentiasa baik, pemilik perlu menyediakan persekitaran yang bersih, selamat.
Penggunaan penghawa dingin atau kipas boleh membantu ketika cuaca panas, namun suhu yang terlalu sejuk atau aliran angin terlalu kuat juga boleh menyebabkan tekanan kepada kucing.










