KUBANG PASU: Seorang murid tahun tiga sebuah sekolah di sini, bukan sekadar retak tulang tangan tetapi turut alami dua kecederaan lain dipercayai akibat dibuli rakan sekelas sejak tahun lepas.
Ibu kanak-kanak berusia sembilan tahun yang ingin dikenali sebagai Fatin, 32, mendakwa, kesemua kecederaan itu dilakukan tiga murid dalam insiden berasingan pada 17 Mei 2025 serta 26 Mac dan 17 Mei lalu.
Lebih malang katanya, kejadian berulang itu mengakibatkan anak lelakinya takut untuk ke sekolah berkenaan lagi sehingga mereka memutuskan untuk memindahkannya ke sekolah lain.
“Insiden pertama berlaku pada 17 Mei tahun lepas anak mengadu dia ditolak sehingga jatuh. Pada hari kejadian saya bawa dia menjalani pemeriksaan di sebuah hospital swasta kerana dia menangis kesakitan dan disahkan ada keretakan pada lengan kanan. Suami terpaksa tanggung kos rawatan sehingga RM5,000.
“Luluh hati apabila mendapat tahu perkara ini dan akibatnya anak terpaksa cuti sakit selama dua minggu. Saya masih berdiam dan beranggapan positif tentang insiden ini,” katanya ketika ditemui di Jitra, di sini semalam.
Katanya, kejadian kedua berlaku sebelum Hari Raya Aidilfitri lalu apabila anaknya ditampar sehingga lebam pada bahagian pipi dan mata.
“Kejadian berlaku sebelum hari raya menyebabkan anak rasa tertekan kerana malu ingin beraya dengan lebam pada mukanya. Saya mula mempersoalkan tindakan pihak sekolah kenapa tiada apa-apa tindakan.
“Namun baru-baru ini berlaku lagi insiden apabila seorang murid mencucuk muka anak dengan pensil sehingga mengenai bawah matanya. Nasib baik tidak kena mata. Doktor di sebuah klinik kesihatan mengesahkan kecederaan itu,” katanya.
Kata suri rumah kepada tiga anak itu, dia bersama suami dipanggil dalam satu majlis muafakat pada 18 Mei lalu namun penyelesaiannya sangat mengecewakan.
“Anak saya turut dipersalahkan dalam hal ini dan pihak sekolah dilihat tidak mengambil apa-apa tindakan untuk menyelesaikan perbuatan murid berkenaan yang boleh dianggap membuli.
“Pada hari sama saya dan suami membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu. Kami turut membuat keputusan untuk memindahkan anak ke sekolah lain. Saya risau kalau dia bersekolah di situ lagi lebih banyak kecederaan akan dialaminya,” ujarnya.
Katanya, walaupun terpaksa berpindah sekolah yang lebih jauh dari rumah mereka, namun dia reda demi keselamatan anak sulung mereka dan pada masa sama mengharapkan pihak terlibat melakukan sesuatu demi keselamatan lebih 1,000 murid sekolah berkenaan.
Menyentuh tentang perkembangan anaknya, murid tersebut kini lebih ceria apabila akan memulakan pembelajaran di sekolah lain selepas cuti persekolahan selama dua minggu ini. – UTUSAN










