Produk kosmetik, kopi pracampur dari Malaysia ancam kesihatan

Produk kosmetik, kopi pracampur dari Malaysia ancam kesihatan

BIRO Siasatan Pusat dan Bahagian Perlindungan Pengguna Polis Wilayah 4 merampas pewarna rambut dari Malaysia yang didakwa mengandungi bahan berbahaya kepada pengguna dalam operasi di Phatum Thani, Thailand minggu lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NARATHIWAT: Thai­­land me­ngeluarkan amaran kesihatan terhadap beberapa produk kosmetik dan kopi pracampur dari Malaysia selepas dikesan mengandungi bahan berbahaya seperti merkuri, steroid dan sibutramine yang boleh mengancam nyawa pengguna.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan Wilayah Narathiwat berkata, penjualan kosmetik dan kopi mengandungi bahan terlarang secara haram dikesan menerusi beberapa operasi di wilayah ini.

Katanya, pemeriksaan mendapati produk kosmetik itu di­dakwa menggunakan formula asli kunyit dan halia.

“Bagi produk kopi pracampur keluaran sebuah syarikat dari Malaysia, pemeriksaan mendapati ia mengandu­ngi ubat penahan selera makan yang diharamkan di kebanyakan negara kerana risiko kom­plikasi kardiovaskular.

“Semakan lanjut mendapati, produk itu mengandungi ubat terkawal yang hanya boleh digunakan dengan preskripsi doktor bertauliah. Ia boleh menyebabkan gangguan fungsi hati dan buah pinggang selain mening­katkan risiko tekanan darah rendah, kegagalan jantung dan serangan jantung,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Sumber itu berkata, Biro Sia­satan Pusat dan Bahagian Per­lindungan Pengguna Polis Wilayah 4 turut merampas kira-kira 2,000 paket pewarna rambut yang dibawa masuk dari negara jiran tanpa kelulusan pihak berkuasa Thailand dalam operasi pada 18 Mei lalu.

Katanya, produk yang didakwa berasaskan ekstrak semula jadi itu menyebabkan pengguna mengalami kesan sampingan teruk hanya dalam tempoh lima minit penggunaan.

“Antara kesan dilaporkan adalah rasa terbakar, kegatalan, kulit kepala bengkak, cecair meleleh dan keguguran rambut sehingga memerlukan rawatan di hospital. Kami telah bekerjasama dengan semua platform dalam talian untuk menyekat dan menggantung penjualan pewarna rambut terbabit,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN