Minat melukis jadi inspirasi reka kasut untuk kaki lebar

Minat melukis jadi inspirasi reka kasut untuk kaki lebar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Daripada sekadar minat melukis di bangku sekolah, Nurfarah Izzati Che Lamin, 32, tidak menyangka kecenderungan itu akhirnya membawanya ke dunia rekaan kasut.

Sejak tingkatan lima, dia sudah gemar mencari idea sendiri melalui subjek pendidikan seni visual, yang menjadi titik awal kepada minat dalam bidang kreatif.

Minat tersebut tidak terhenti sebagai hobi semata-mata, sebaliknya berkembang menjadi sesuatu yang lebih serius selepas dia menamatkan tingkatan 6.

“Saya memang minat kasut sejak dulu dan suka mengumpul pelbagai jenis kasut. Dari minat sebagai pengguna, ia berkembang menjadi minat untuk menghasilkan sendiri,” katanya kepada Seri.

Bermula daripada minat itu, pengalaman sukar mencari kasut yang berkualiti dan sesuai untuk kaki lebar ketika bekerja sambilan selepas tamat pengajian, menjadi pencetus kepada langkah seterusnya.

Daripada keperluan peribadi, dia mula melihat peluang apabila menyedari wujudnya jurang dalam pasaran bagi golongan berkaki lebar.

Anak jati Selangor itu mempunyai latar belakang pendidikan dalam jurusan kemanusiaan semasa tingkatan 6 sebelum menyambung pengajian dalam bidang pemasaran perniagaan di peringkat ijazah.

Pada peringkat awal, dia hanya menghasilkan kasut berdasarkan rekaan sendiri sebelum menerima pelbagai maklum balas daripada pelanggan yang berdepan masalah sama.

Situasi itu mendorongnya untuk memberi fokus kepada penghasilan kasut yang lebih mesra kaki lebar, sekaligus memenuhi keperluan pasaran yang kurang diberi perhatian.

Proses kreatif tanpa batas masa

Bagi Nurfarah Izzati, proses kreatif tidak terikat dengan waktu tertentu kerana idea boleh hadir pada bila-bila masa, sama ada pada waktu pagi mahupun lewat malam.

Apa yang penting baginya ialah suasana yang tenang bagi membolehkan dia memberi tumpuan sepenuhnya dalam menghasilkan rekaan terbaik.

Setiap rekaan kasut pula memerlukan tempoh masa berbeza bergantung kepada tahap kerumitan rekaan dan gabungan material yang digunakan.

Ada rekaan yang dapat disiapkan dalam tempoh sebulan, manakala ada yang mengambil masa lebih lama untuk diperhalusi.

Secara keseluruhan, satu rekaan biasanya mengambil masa antara satu hingga dua bulan untuk disiapkan, malah boleh menjadi lebih panjang sekiranya melibatkan material khas melalui tempahan awal.

Dalam memastikan kualiti, dia terlibat secara langsung dalam mereka bentuk kasut, memilih material serta mencipta mekanisme mengikut keselesaan pelanggan.

Bagi proses pembuatan buatan tangan pula, dia bekerjasama dengan kilang tempatan yang masih mengekalkan kaedah tradisional bagi memastikan kualiti setiap pasangan kasut terus terpelihara.

Material berkualiti jadi keutamaan

Antara material yang digunakan ialah kulit tiruan berkualiti tinggi yang lembut pada kaki, tahan lasak serta mempunyai ciri kalis air.

Menurutnya, tiga komponen utama dalam penghasilan kasut ialah bahagian atas, tapak serta lapisan dalam yang memberi keselesaan ketika dipakai.

Ketiga-tiga elemen tersebut memainkan peranan penting bagi memastikan kasut tahan lama dan sesuai digunakan untuk kegunaan harian.

Proses menghasilkan sepasang kasut bermula dengan lakaran idea sebelum diteruskan dengan pemilihan material, penyediaan pola, pembuatan sampel serta ujian keselesaan.

Selepas itu, kasut akan melalui proses pengeluaran secara buatan tangan dan kemasan akhir sebelum dipasarkan kepada pelanggan.

Menurutnya, setiap pasangan kasut perlu melalui beberapa peringkat penelitian bagi memastikan kualiti terbaik dapat dihasilkan.

Cabaran dan penambahbaikan

Dalam industri semasa, cabaran utama yang dihadapi ialah penerimaan maklum balas pelanggan di era media sosial yang bergerak pantas.

Menurutnya, perkara baik atau buruk boleh menjadi tular dengan cepat, malah ada pelanggan yang lebih cenderung mengecam secara terbuka berbanding memberikan maklum balas yang membina.

“Perkara seperti selesa dan cantik itu sangat subjektif mengikut individu, tetapi saya belajar untuk melihat setiap pandangan secara lebih matang dan profesional,” katanya.

Dalam penghasilan kasut buatan tangan, kesilapan kecil atau kesilapan manusia merupakan perkara yang sukar dielakkan.

Oleh itu, setiap batch pengeluaran akan disediakan stok tambahan bagi tujuan pertukaran sekiranya terdapat sebarang masalah pada produk yang diterima pelanggan.

Dia melihat setiap kesilapan sebagai sebahagian daripada proses penambahbaikan dengan merujuk maklum balas daripada batch sebelumnya untuk meningkatkan kualiti pengeluaran seterusnya.

Baginya, setiap kesilapan yang berlaku merupakan sebahagian daripada proses penambahbaikan dalam menghasilkan produk yang lebih berkualiti.

Dia juga akan merujuk kepada maklum balas daripada kumpulan sebelumnya bagi memastikan setiap pengeluaran baharu dapat ditambah baik dari semasa ke semasa.

Inspirasi dan keunikan rekaan

Inspirasi bagi setiap rekaan diperoleh daripada pelbagai sumber seperti filem antarabangsa, kisah wanita moden yang bekerjaya, ibu yang sibuk mengurus kehidupan harian serta buku biografi dan sejarah.

Gabungan perspektif ini membantu menghasilkan rekaan yang elegan tetapi praktikal untuk kegunaan harian.

Semua rekaan yang dihasilkan merupakan idea asli Nurfarah Izzati sendiri yang diterjemahkan mengikut identiti dan konsep jenamanya.

Keunikan kasut tersebut terletak pada reka bentuk yang berbeza daripada pasaran biasa, penggunaan material berkualiti, mesra kaki lebar serta dihasilkan secara buatan tangan.

Selain itu, kasut yang dihasilkan juga sesuai untuk kegunaan harian tanpa mengabaikan aspek keselesaan dan gaya.

Kos bahan pula bergantung kepada ciri serta fungsi kasut yang ingin diketengahkan dalam sesuatu rekaan.

Menurutnya, mahal atau murah adalah subjektif, namun kebanyakan pelanggan memahami apabila melihat sendiri kualiti yang ditawarkan.

Minat jadi sumber pendapatan

Buat masa ini, perniagaan tersebut merupakan sumber pendapatan sampingan bagi Nurfarah Izzati.

Dia mula menjual kepada orang ramai pada Mei 2025 kerana percaya kasut yang dihasilkan mampu membantu individu berkaki lebar mendapatkan pilihan yang lebih sesuai.

Pada peringkat awal, jualan dijalankan menerusi Instagram serta laman web rasmi jenamanya sebelum mula mendapat perhatian pelanggan.

Harga permulaan yang ditawarkan ketika itu adalah sekitar RM75 hingga RM85 bergantung kepada jenis dan rekaan kasut.

“Saya sangat bersyukur dengan perkembangan perniagaan yang semakin berkembang,” katanya.

Kini, dia sudah mempunyai kedai fizikal di Street Mall Cyberjaya yang beroperasi setiap Jumaat hingga Ahad.

Kenangan paling bermakna baginya ialah apabila pelanggan berpuas hati dan memperkenalkan kasut tersebut kepada rakan-rakan lain.

Menurutnya, sokongan seperti itu sangat bernilai dan memberi semangat untuk terus bertahan sebagai usahawan tempatan.

Apa yang mendorongnya untuk terus kekal dalam bidang ini ialah impian melihat jenama tempatan berkembang dengan wawasan jelas, iaitu menghasilkan kasut yang cantik dan selesa untuk wanita berkaki lebar, bukan sekadar mengejar keuntungan.

Kepuasan terbesar pula hadir apabila pelanggan memberikan maklum balas positif dan kembali membuat pembelian semula, sekali gus menjadi tanda penghargaan terhadap hasil kerja yang dihasilkan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN