Terima kasih cikgu! Jasamu tidak akan dilupakan

Terima kasih cikgu!

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sambutan Hari Guru yang disambut 16 Mei setiap tahun memang hari istimewa untuk kita semua. Ia menjadi tanda penghargaan kepada insan bergelar guru yang banyak berkorban dalam mendidik dan membentuk sejak kecil.

Namun, penghargaan kepada guru tidak sepatutnya hanya datang setahun sekali. Sama seperti ibu bapa, guru patut dihormati dan dihargai setiap masa kerana tanpa mereka, siapalah kita hari ini.

Pernah tak kita rasa, masa di sekolah dulu, guru itu macam ibu dan ayah kita sendiri? Kita selesa untuk bercerita, bertanya, malah bergurau dengan mereka tanpa rasa janggal.

Ada masa kita kongsi masalah, ada masa kita minta nasihat, sama macam kita berinteraksi dengan ibu bapa di rumah. Sebab itulah wujud perumpamaan guru adalah ibu bapa kedua di sekolah.

Hubungan itu bukan sekadar antara pengajar dan pelajar, tetapi lebih kepada hubungan kasih sayang, bimbingan dan kepercayaan.

Guru bukan sekadar orang yang mengajar dalam kelas. Mereka adalah insan yang membentuk cara kita berfikir, mendidik adab dan membimbing kita menjadi manusia yang lebih baik. Dari tidak kenal huruf sampai boleh membaca, dari tidak faham dunia sampai boleh berfikir dengan matang, semuanya bermula dengan kesabaran seorang guru.

Dalam dunia sekarang, peranan guru semakin mencabar. Perubahan zaman yang sangat pantas, terutamanya dengan kemajuan teknologi dan media sosial, membuatkan guru perlu sentiasa ‘up to date’. Mereka bukan sahaja perlu mengajar silibus, tetapi juga perlu memahami perkembangan semasa supaya apa yang disampaikan relevan dengan kehidupan pelajar.

Guru hari ini juga perlu cepat belajar banyak perkara dalam masa yang sama. Bukan sekadar mahir dalam subjek sendiri, tetapi juga perlu faham cara pelajar berfikir, perkembangan teknologi pendidikan, dan perubahan tingkah laku generasi muda. Semua ini penting supaya proses pengajaran menjadi lebih berkesan dan mudah difahami.

Cabaran mendidik pelajar zaman sekarang juga semakin besar. Setiap pelajar mempunyai cara belajar yang berbeza, ada yang cepat faham, ada yang perlukan masa lebih.

Pengaruh luar seperti media sosial juga banyak mempengaruhi sikap dan fokus pelajar. Di sinilah peranan guru menjadi sangat penting sebagai pembimbing dan pendidik.

Ramai guru tetap menjalankan tanggungjawab mereka dengan penuh sabar dan ikhlas. Mereka bukan sahaja mengajar di sekolah, tetapi juga menanda kerja, menyediakan bahan pembelajaran dan kadang-kadang masih memikirkan murid walaupun di luar waktu kerja.

Ucapan terima kasih, sikap hormat dan menghargai usaha mereka sebenarnya sudah cukup bermakna buat seorang guru.

Walau ke mana kita melangkah dan sejauh mana kita berjaya, jasa guru tetap akan sentiasa ada dalam setiap langkah itu.

Adlinahani Khalil ialah Pengarang Berita Gaya Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN