PETALING JAYA: Keputusan membenarkan pemegang Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC)memasuki institusi pengajian tinggi awam (IPTA) akan memusnahkan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang terbina sejak dahulu.
Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong berkata, keputusan itu seperti nila yang akan merosakkan susu sebelanga.
Beliau berkata, status quo perlu dikekalkan dengan tidak mengiktiraf UEC untuk masuk ke dalam sistem pendidikan nasional kerana peperiksaan itu tidak memenuhi Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) seperti menggunakan bahasa Mandarin sebagai bahasa pengantar utama.
“Ini tidak sepatutnya berlaku, bagi saya apabila kerajaan masukkan UEC, ia seperti nila yang merosakkan susu sebelanga. Dengan pengiktirafan ini maka ‘susu’ kita tidak akan putih lagi kerana sudah dinodai dengan nila,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Calon lepasan sekolah atau institusi tahfiz serta sekolah menengah persendirian Cina (SMPC)/UEC berpeluang mengikuti program tertentu yang dikenal pasti di IPTA.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memaklumkan, langkah itu dipersetujui berdasarkan keputusan mesyuarat Jemaah Menteri berkaitan laluan kemasukan pelajar lepasan di luar sistem pendidikan kebangsaan ke IPTA.
Kok Seong berkata, pengiktirafan itu tidak memberi sebarang kebaikan kepada negara, sebaliknya hanya memenuhi kepentingan politik pihak tertentu terutama menjelang Pilihan Raya Umum ke16 (PRU16).
Beliau mengimbau kenyataan Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming pada Disember lalu iaitu selepas partinya kalah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, yang mengatakan bahawa kerajaan perlu mengiktiraf UEC dalam tempoh enam bulan.
“Jadi nak kata kebetulan pun boleh, nak kata tidak pun memang seperti tiada kebetulan. Memang tidak dapat dinafikan bahawa ia satu keputusan politik atau strategi Pakatan Harapan (PH) menjelang PRU16.
“Tetapi sayangnya apabila sesuatu keputusan itu dibuat semata-mata pertimbangan politik, sudah tentu ia tidak baik 100 peratus, tiada kebaikan langsung kepada negara kita apabila sesuatu di luar sistem diiktiraf ke dalam sistem. Ini memberi banyak isyarat tidak betul,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Kumpulan Fokus (Pendidikan) Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Dr. Omar Yaakob berkata, langkah kerajaan itu merupakan satu perkembangan positif dan pragmatik dalam usaha memperkukuh sistem pendidikan tinggi negara serta integrasi nasional.
Beliau berkata, realitinya lepasan UEC dan institusi tahfiz merupakan sebahagian daripada warganegara yang mempunyai potensi besar untuk menyumbang kepada pembangunan negara.
Katanya, kerajaan perlu membuka ruang kepada mereka untuk memasuki IPTA dengan syarat memenuhi keperluan asas seperti lulus subjek Bahasa Melayu dan Sejarah dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). – UTUSAN










