Kucing juga boleh murung seperti manusia

Kucing juga boleh murung seperti manusia

kucing yang murung tidak aktif dan suka menyendiri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ramai pemilik kucing menganggap perubahan tingkah laku seperti kurang aktif, banyak tidur atau suka menyendiri sebagai perkara biasa.

Tanpa disedari, perubahan tersebut sebenarnya boleh menjadi petanda kucing mengalami tekanan emosi atau kemurungan.

Pensyarah kanan dari Fakulti Perubatan Veterinar Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Syamira Syazuana Zaini berkata, kucing sememangnya boleh mengalami kemurungan seperti manusia dan keadaan itu boleh menjejaskan tingkah laku serta kesihatan fizikal haiwan tersebut.

Pemilik perlu membezakan sama ada perubahan tingkah laku yang berlaku berpunca daripada stres, kesakitan fizikal atau masalah emosi.

“Kucing yang murung biasanya menjadi tidak aktif, hilang minat terhadap aktiviti fizikal yang sebelum ini digemari dan cenderung untuk menyendiri,” katanya kepada Seri.

Kucing yang mengalami stres pula lazimnya menunjukkan tanda respons reaktif seperti menyembunyikan diri, menjadi agresif, menjilat bulu secara berlebihan, takut dan mudah terkejut.

Tanda awal sering diabaikan

Menurutnya, terdapat beberapa tanda awal kemurungan yang sering dianggap normal oleh pemilik.

Antaranya termasuk kucing yang duduk diam, tidak aktif sehingga dianggap ‘tenang’ atau ‘baik’, kurang makan, tidak responsif dan sering menyendiri.

Selain itu, tidur berlebihan tanpa melakukan aktiviti serta tidak membersihkan diri secara konsisten sehingga bulu kelihatan kusam atau tidak terurus juga boleh menjadi petanda masalah emosi.

Katanya, perubahan persekitaran seperti berpindah rumah boleh memberi kesan besar terhadap emosi kucing kerana haiwan itu kehilangan kawasan yang dianggap sebagai kawasan atau tempat selamat mereka.

“Apabila berada di tempat baharu, ‘peta bau’, orientasi ruang dan tempat berehat mereka terganggu sehingga menyebabkan kucing hilang rasa selamat dan memerlukan lebih masa untuk berasa selesa,” jelasnya.

Tahap sensitiviti emosi setiap kucing tidak sama kerana ia bergantung kepada karakter individu haiwan tersebut dan bukannya baka semata-mata.

Kehadiran kucing baharu

Dalam masa sama, kehadiran kucing baharu dalam rumah juga boleh menjejaskan kesihatan mental kucing sedia ada.

Keadaan itu boleh mengganggu wilayah kucing lama selain menjejaskan hierarki dalam ruang rumah.

“Ini boleh menyebabkan stres akut atau jika tidak dibendung, boleh menjadi stres kronik disebabkan persaingan sumber dan kawasan,” katanya.

Bagi mengurangkan tekanan atau konflik, beliau berkata proses memperkenalkan kucing baharu perlu dilakukan secara berperingkat.

Antara langkah yang disarankan termasuk mengasingkan kucing baharu di bilik khas sebelum berkongsi kain atau peralatan yang mempunyai bau haiwan tersebut kepada kucing lama bagi melihat respons sama ada boleh bertoleransi atau tidak.

Jika keadaan terkawal, pertukaran ruang boleh dilakukan supaya kedua-dua kucing dapat mengenali antara satu sama lain melalui eksplorasi.

“Jika keadaan tenang, beralih ke peringkat seterusnya iaitu pertemuan secara visual seperti menggunakan penghadang pintu berjaring,” katanya.

Kehilangan pemilik

Kehilangan pemilik atau haiwan lain juga boleh menjadi pendorong atau faktor yang menyebabkan kucing mengalami kemurungan.

Apabila mengalami kemurungan, tingkah laku kucing akan berubah seperti menjadi tidak aktif, kurang berminat terhadap aktiviti harian dan lebih gemar menyendiri.

Dalam sesetengah keadaan, kucing yang murung juga boleh mula membuang air kecil atau berak di luar kotak pasir.

Menurutnya, keadaan itu bukan kerana haiwan tersebut nakal tetapi disebabkan mereka tidak bersemangat untuk pergi ke tempat biasa atau mengalami kekeliruan emosi.

Kucing pandai sembunyikan sakit

Menurut Dr. Syamira Syazuana, kucing merupakan haiwan yang sangat bijak menyembunyikan kesakitan.

“Apabila mereka mula menunjukkan tanda yang jelas, biasanya masalah tersebut sudah berada di tahap yang memerlukan rawatan segera,” katanya.

Antara keadaan kecemasan termasuk apabila kucing kerap ke kotak pasir tetapi tiada air kencing dikeluarkan dalam tempoh 24 jam.

Selain itu, perubahan tingkah laku seperti tidak makan, muntah, cirit-birit, terlalu agresif, terlalu diam atau murung terlalu lama serta menjilat bulu secara berlebihan juga memerlukan pemeriksaan veterinar segera.

Rutin harian penting

Rutin harian juga memainkan peranan besar dalam kesihatan emosi dan mental kucing.

“Kucing ialah haiwan yang sangat mementingkan jangkaan. Apabila mereka tahu apa yang akan berlaku dan bila ia akan berlaku, tahap stres mereka akan berada pada tahap paling rendah,” katanya.

Antara kesilapan biasa pemilik yang boleh menyebabkan tekanan emosi kepada kucing ialah menghukum secara fizikal atau menjerit.

Selain itu, perubahan rutin dan persekitaran secara mendadak juga boleh mengganggu aktiviti harian haiwan tersebut dan membawa kepada stres.

Keperluan asas perlu dipenuhi

Bagi mewujudkan persekitaran yang lebih selamat dan menenangkan, pemilik perlu memenuhi keperluan asas, terutamanya bagi kucing yang tinggal di dalam rumah.

Kucing memerlukan rangsangan bagi memenuhi keperluan semula jadi mereka termasuk menyediakan tempat persembunyian.

Selain itu, pemilik juga perlu menyediakan kotak pasir yang mencukupi mengikut formula ‘n+1’, di mana ‘n’ merujuk kepada jumlah kucing di rumah.

“Sekurang-kurangnya dua kotak pasir diperlukan untuk seekor kucing,” katanya.

Dia turut menjelaskan bahawa bermain dan meluangkan masa bersama kucing boleh membantu mengurangkan kemurungan kerana interaksi sosial atau ikatan sosial merupakan satu daripada keperluan asas haiwan tersebut.

“Jika ada perubahan tingkah laku atau emosi yang berlarutan melebihi 24 jam, pemeriksaan veterinar segera adalah perlu bagi mengelakkan komplikasi fizikal yang lebih serius,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN