Bukan semua wanita yang memasuki alam perkahwinan menjalani kehidupan mudah dan baik-baik sahaja. Ada yang terpaksa menerima sekali segala beban dan tanggungjawab keluarga suami.
Minggu ini saya kongsikan kisah Umairah, (bukan nama sebenar) yang pada awalnya masuk ke dalam rumah tangga sebagai isteri, tetapi akhirnya hidup seperti penjaga keluarga.
Sejak awal perkahwinan, dia bukan sekadar menjadi isteri kepada seorang lelaki, tetapi perlahan-lahan menjadi tulang belakang seluruh keluarga suami. Sepanjang tempoh perkahwinan selama lebih tiga dekad, wanita itu terlalu banyak memberi kepada keluarga suami sehingga mengabaikan perasaan dan kesihatan sendiri.
Waktu mudanya dihabiskan memikirkan keperluan dan membantu adik-beradik ipar yang masih bersekolah. Dia bekerja keras membantu perbelanjaan rumah. Dari perbelanjaan dapur, makan minum, bil utiliti sehinggalah perbelanjaan persekolahan .
Tahun demi tahun berlalu begitu sahaja. Masa muda yang sepatutnya dinikmati bersama pasangan, dihabiskan memikirkan keperluan keluarga suami terlebih dahulu.
Dia bekerja keras demi memastikan keluarga itu terus bertahan. Dalam diam banyak impian dan keinginan sendiri diketepikan. Apabila usia makin meningkat, beban hidupnya tidak pernah berkurangan.
Dia diuji pula dengan tanggungjawab menjaga ibu mentua uzur. Yang lebih menyedihkan segala pengorbanannya tidak pernah dihargai, terutama oleh suami sendiri. Kisah Umairah dikongsikan sendiri oleh anak saudaranya, Hana, (bukan nama sebenar) dalam pertemuan diatur baru-baru ini.
Menurut Hana, dia tidak berniat membuka aib atau mengungkit kisah lama arwah ibu saudara sendiri. Lebih-lebih lagi ibu saudaranya itu telah meninggal dunia setahun lalu.
Namun kata Hana, kisah hidup ibu saudaranya itu memberi pengajaran isteri bukan tempat meletakkan semua beban keluarga. Seorang isteri kata Hana, adalah pasangan hidup, bukan penyelesai semua masalah keluarga suami.
Menyambung cerita kata Hana, arwah ibu saudara berkahwin dengan lelaki pilihan hatinya sendiri, Jamal,( bukan nama sebenar). Ibu saudara membina rumah tangga dengan penuh harapan seperti pasangan lain, mengimpikan kebahagiaan hingga ke hari tua. Namun Allah menguji pasangan ini dengan cara berbeza.
Sepanjang perkahwinan selama 35 tahun, mereka tidak dikurniakan cahaya mata.
Namun arwah menerimanya dengan reda. Menyambung cerita kata Hana, ketika muda, ibu saudara bekerja di salah sebuah syarikat swasta sebagai kerani kewangan.
Walaupun gajinya tidak besar, namun cukup menampung perbelanjaan keluarga.
Bertahun-tahun ibu saudara bekerja keras, arwah ibu saudara terus menjadi tempat bergantung keluarga suami. Apabila tiba masa persaraan, ramai menyangkakan ibu saudara dapat menikmati usia tua dengan tenang.
Semuanya bermula tanpa perbincangan yang memberi ruang ibu saudara untuk membuat pilhan. Suami ibu saudara membawa ibu kandungnya tinggal bersama kerana keadaan kesihatan tidak mengizinkan dan semakin uzur.
Pada awalnya, ibu saudara cuba menolak dengan cara baik.
“Bukan ibu saudara tidak mahu berbuat baik atau menjaga ibu mentua, namun dia sedar kemampuannya yang sudah tidak seperti dahulu. Usia ibu saudara ketika itu sudah memasuki 57 tahun.
Tenaganya sudah tidak lagi sekuat sebelum,” cerita Hana.
Namun alasan yang diberikan suami begitu mudah. Ibu saudara sudah tidak bekerja dan banyak masa di rumah.
Kepenatan yang dirasakan lebih berganda. Menurut Hana, rutin ibu saudara setiap hari terpaksa bangun awal menguruskan rumah tangga. Menyiapkan keperluan makan minum suami sebelum menyambung tugas jaga ibu mentuanya.
Menyuap makanan, memandi, mencuci pakaian dan berjaga malam apabila ibu mentua tidak boleh tidur. Kepenatan bukan sahaja terpaksa menjaga ibu mentua tetapi berasa keseorangan memikul semuanya sendiri.
Kata Hana, ibu saudara bukan sahaja terluka dengan sikap adik -beradik suami yang enggan memikul tanggungjawab menjaga ibu sendiri, tetapi lebih menyedihkan ialah sikap suami sendiri.
Lelaki yang berjanji untuk susah senang bersama, akhirnya menjadi orang yang paling sukar memahaminya.
Semuanya dilakukan sendirian dalam usianya yang bukan lagi muda. Tubuhnya tidak sekuat dahulu. Tenaga semakin berkurangan. Dia sering sakit kepenatan.
Semasa ibu mentua berada di bawah jagaan mereka, arwah ibu saudara hampir memikul hampir seluruh tanggungjawab sendiri.
Ipar duai arwah ibu saudara datang sekali-sekala seperti tetamu. Singgah sebentar bertanya khabar, kemudian pulang meninggalkan segala urusan kepadanya. Malah bantuan kewangan juga jarang diberi. Sedangkan kata Hana, keperluan seperti lampin pakai buang, ubat-ubatan, makanan khas memerlukan perbelanjaan tinggi.
Tugas suami ibu saudara hanya mengangkat ibu kandungnya ke bilik air untuk dimandikan. Selebihnya, banyak masa suami arwah ibu saudara dihabiskan dengan telefon di tangan.
Duduk berjam-jam melihat video, berbual dan leka dengan dunianya sendiri. Sedangkan arwah ibu saudaranya sibuk menguruskan ibu mentua dari pagi hingga malam. Apabila arwah ibu saudara meluahkan rasa penat, suami menganggap dia terlalu berkira.
Arwah ibu saudara pernah bersuara, meminta tanggungjawab tersebut dikongsi bersama adik -beradik lain. Namun cadangan dan permintaannya tidak pernah dilayan.
Apabila ibu saudara mula diam, suami dan ipar duai terus menganggap dia masih mampu memikulnya.
Dalam usianya yang memasuki 60 tahun, tubuhnya sudah penat. Beberapa kali arwah ibu saudara mengadu sakit dada, sesak nafas, kadang kala jantung berdebar-debar sehingga sukar tidur malam.
Namun keluhan tersebut tidak dihirau suami arwah ibu saudara. Kesakitan yang dialami dianggap biasa, sedangkan tubuhnya memberi amaran. Sehinggalah pada suatu hari ibu saudara rebah dan tidak sedarkan diri.
Ibu saudara meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital pada pertengahan Mei tahun lalu.
Doktor mengesahkan ibu saudara mengalami serangan jantung akibat terlalu penat.
Allah lebih dahulu menjemput ibu saudara, sedangkan ibu mentua yang dijaganya masih hidup sehingga ke hari ini. Menurut Hana, pemergiaan arwah ibu saudara sangat menyedihkan kepada seluruh keluarga.
Kisah ibu saudara Hana, sangat dekat dengan kehidupan berumah tangga dalam Islam.
Perkahwinan bukan sekadar tinggal serumah, tetapi tentang ihsan, tanggungjawab dan menghargai pasangan. Sebagaimana Firman Allah SWT, “Dan bergaullah dengan mereka (isteri-isteri kamu) dengan cara yang baik”. – (Surah An-Nisa-19).










