SEPANJANG 23 tahun bergelar guru vokal, Syafizawati Sharif, 49, atau mesra disapa Cikgu Shafi telah membimbing lebih 10,000 pelajar sekali gus melahirkan ramai bakat baharu dalam dunia nyanyian.
‘Belakang pentas, saya jadi doktor, ibu, kaunselor’
Di mata masyarakat, kerjaya Syafizawati Sharif, 49, atau Cikgu Shafi sering dianggap mudah kerana sekadar mendidik dan membimbing pelajar dalam bidang vokal.
Namun hakikatnya, peranan pengasas Shafi Vocal Studio ini jauh lebih besar dan mencabar daripada yang disangka.
Beliau bukan sahaja melatih teknik nyanyian, malah turut ‘merawat’ emosi pelajar yang tertekan dan hampir berputus asa.
“Menjelang pertandingan, konsert mahupun persembahan penting, biasanya emosi, keyakinan diri dan semangat pelajar merudum.

“Maka, di studio dan di belakang pentas, saya perlu memainkan pelbagai peranan termasuk menjadi doktor bagi memulihkan tekanan mereka.
“Dalam masa sama, saya turut menawarkan ketenangan seperti seorang ibu, menjadi kaunselor yang sedia mendengar setiap luahan dan kawan yang sentiasa memberi sokongan tanpa henti.
“Meskipun ada waktu tertentu saya sendiri berdepan keletihan dan cabaran emosi, namun demi anak didik, saya sanggup berkorban masa serta tenaga agar mereka terus kuat dan berjaya,” katanya kepada Seri baru-baru ini.
Katanya, titik tertinggi bagi seorang guru vokal adalah apabila pelajarnya termasuk dalam kalangan selebriti, berjaya meraih kejuaraan dalam pertandingan nyanyian atau rancangan realiti.
Lebih membanggakan, mereka turut memberikan persembahan yang cemerlang dalam setiap konsert yang disertai.
Antara yang mencatat kejayaan tersebut ialah Aliff Aziz, Marsha Milan serta Aina Abdul.
“Pendekatan yang diterapkan bukanlah untuk mengubah identiti atau teknik nyanyian, sebaliknya membantu mereka membuat persediaan secara menyeluruh merangkumi aspek mental, disiplin dan keyakinan diri.

“Paling penting, saya mahu pelajar beraksi dengan penuh keyakinan tanpa rasa gugup, terkucil mahupun sumbang di hadapan khalayak ramai,” katanya.
Ujar Cikgu Shafi, pelajarnya datang daripada pelbagai latar belakang, bermula seawal usia sembilan tahun hingga yang paling tua berumur 73 tahun.
Ada yang masih belum mempunyai asas nyanyian, manakala sebahagian lagi sudah berpengalaman luas dan otai dalam bidang ini.
“Bagi mencapai misi melahirkan juara, saya perlu berdamai dengan kelemahan setiap pelajar. Kalau tidak, bagaimana mereka mahu berkembang menjadi lebih baik,” katanya yang tegas ketika mengajar.
Minat sejak kecil
Tahun ini, genap 23 tahun Cikgu Shafi bergelar pendidik, dengan memiliki lebih 10,000 pelajar di bawah bimbingannya.
Katanya, minat untuk menjadi guru tercetus sejak di bangku sekolah menengah lagi, tanpa sebarang paksaan daripada mana-mana pihak.

Anak sulung kepada Allahyarham penyanyi pop yeh yeh, M. Shariff ini kemudian menyambung pengajian dalam Diploma Seni Muzik (Major Vokal dan Susunan) di Akademi Seni Kebangsaan (ASK), di samping memperoleh Gred 8 Vokal, Gred 8 Piano dan Gred 8 Teori Muzik daripada Associated Board of the Royal Schools of Music (ABRSM).
“Walaupun sudah terbiasa menyanyi sejak kecil menerusi persembahan dikir barat, nasyid dan koir di sekolah, tetapi tidak pernah terlintas di fikiran untuk menjadi penyanyi.
“Mungkin juga sebab arwah ayah tidak menggalakkan saya mengikut jejak langkahnya, sebaliknya hanya berpesan supaya saya mendalami bidang muzik dengan sebaiknya.
“Situasi itu secara tidak langsung menguatkan semangat saya untuk menjadi cikgu, tambahan pula sudah mempunyai asas menyanyi dan bermain piano,” ceritanya.

Selama enam tahun, beliau mencurahkan ilmu muzik di sekolah swasta dan secara persendirian sebelum menerima pelawaan sebagai tenaga pengajar dalam program Akademi Fantasia (AF).
Sejak itu, Cikgu Shafi semakin aktif sebagai guru vokal dalam pelbagai rancangan realiti tempatan, sekali gus mengukuhkan namanya dalam industri hiburan tanah air.
Malah, dirinya turut menjadi rujukan dan pilihan ramai penyanyi terkenal negara untuk memperhalusi teknik serta mutu nyanyian mereka.
“Amy Mastura merupakan artis pertama yang dibimbing dan sejak itu saya sentiasa mengingatkan diri gelaran cikgu bukan alasan untuk bersikap sombong.
“Saya mahu menjadi contoh yang baik lebih-lebih lagi saya membawa nama baik ayah, ibu dan adik-adik,” katanya.
Pusat rehabilitasi vokal
Perancangan Cikgu Shafi adalah untuk membuka pusat rehabilitasi vokal khusus buat golongan selebriti.
Pusat yang pertama seumpamanya di Malaysia itu bakal beroperasi pada tahun depan.
Katanya, sudah tiba masanya para artis diberikan sokongan dan terapi khusus memandangkan beban emosi serta mental yang ditanggung.
“Fokus saya nanti adalah kepada psikologi vokal, iaitu bagaimana minda dan emosi mempengaruhi suara.
“Malah, kemudahan gimnasium turut disediakan seiring dengan kajian saya mengenai kaitan pergerakan tubuh bagi meningkatkan stamina dan kawalan suara,” katanya yang sudah dua tahun berlatih menyanyi sambil melompat.
Ibu kepada lima anak ini mengakui sentiasa berusaha mencari pendekatan dan ilmu baharu bagi menambah baik kaedah pengajarannya.
Inisiatifnya itu sekali gus diharap dapat memartabatkan dan mengembangkan lagi bidang seni suara di Malaysia.
Selain itu, beliau turut menyimpan impian untuk melatih kanak-kanak yang mengalami masalah pertuturan atau lambat bercakap.
Makan bersama erat hubungan
Di sebalik jadual padat, Cikgu Shafi tetap mengekalkan amalan makan bersama keluarga sekurang-kurangnya sekali dalam seminggu.
Momen itu dimanfaatkan untuk berinteraksi dan mengikuti perkembangan semasa anak-anak dengan lebih dekat sekali gus mengeratkan hubungan kekeluargaan.
“Sebagai orang yang suka berkumpul, saya akan mencuri masa untuk memastikan momen itu tetap ada.
“Selain tradisi makan bersama, saya juga berusaha memasak untuk keluarga sekurang-kurangnya tiga kali seminggu,” katanya.

Antara air tangannya yang digemari anak-anak ialah kari, asam pedas dan rendang
Dalam perkembangan sama, Cikgu Shafi bersyukur kerana suami, Mohd. Noor Izwan Eddy, 48, sentiasa menjadi tulang belakangnya sepanjang 26 tahun hidup berumah tangga.
Tanpa sokongan suami, tidak mungkin beliau mampu berada di kedudukan seperti hari ini.
Kongsinya, rahsia kebahagiaan rumah tangganya dibina melalui sikap saling memahami dan sentiasa berbincang dalam setiap perkara.
Sementara itu, di waktu lapang, beliau gemar meluangkan masa bersama enam kucing peliharaannya selain menonton dokumentari.
“Terbaharu, saya menonton dokumentari tentang sherpa di Gunung Everest yang turut menyuntik semangat saya menakluk gunung tersebut suatu hari nanti,” akhirinya.










