Program intervensi: Beri anak peluang berjaya

Program intervensi: Beri anak peluang berjaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Isu anak dimasukkan ke dalam program intervensi tahun satu di sekolah memang sering jadi topik hangat dalam kalangan ibu bapa. Ada yang terus rasa tak setuju dan sukar menerima apabila anak mereka dipilih untuk mengikuti program tersebut.

Pada mereka, anak masih boleh membaca, menulis dan mengira seperti biasa tanpa perlu pemantauan tambahan. Malah, ada juga yang mempertikaikan penilaian daripada Kementerian Pendidikan, kononnya tidak tepat dan tidak adil untuk menentukan kemampuan sebenar anak-anak.

Lebih sensitif lagi apabila ada ibu bapa yang merasakan anak mereka seperti dilabel ‘lemah’ atau ‘tidak pandai’ hanya kerana perlu masuk program intervensi.

Perasaan itu memang boleh difahami, tetapi sebenarnya tanggapan tersebut kurang tepat. Program ini bukan bertujuan memalukan atau merendahkan murid, sebaliknya ia diwujudkan untuk membantu mereka memperkukuhkan asas pembelajaran.

Daripada terus mempertikaikan, mungkin lebih baik ibu bapa cuba berlapang dada dan melihat perkara ini dari sudut yang lebih positif.

Anggaplah program intervensi sebagai satu peluang untuk anak belajar dengan cara yang lebih sesuai dengan tahap mereka.

Kadang-kadang, anak memang perlukan sedikit bimbingan tambahan untuk betul-betul faham asas 3M iaitu membaca, menulis dan mengira.

Bayangkan kalau asas ini tidak kukuh. Bila masuk ke tahap pembelajaran yang lebih tinggi, anak akan mula rasa susah dan tertekan.

Subjek seperti Sains dan Matematik memerlukan kemahiran membaca dan mengira yang baik. Kalau asas pun belum kuat, memang mencabar untuk mereka terus bersaing.

Sebenarnya, masuk program intervensi bukan bermaksud anak itu lemah selama-lamanya. Dengan bantuan dan perhatian yang lebih fokus, mereka ada peluang untuk mengejar semula dan mungkin menjadi lebih baik daripada rakan-rakan lain pada masa akan datang.

Banyak juga kes murid intervensi yang akhirnya cemerlang kerana asas mereka sudah diperkukuhkan dari awal.

Akhir kata, ibu bapa dan sekolah perlu berjalan seiring. Guru dan pihak sekolah sentiasa berusaha memberikan yang terbaik untuk anak-anak.

Jadi, daripada terus ‘bising’, lebih baik kita beri sokongan dan kepercayaan. Setiap anak ada potensi masing-masing dan dengan sokongan yang betul, mereka pasti boleh berjaya.

Adlinahani Khalil adalah Pengarang Berita Gaya Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN