Ada sebab seseorang itu masih belum berkahwin.
Seperti ajal, maut dan rezeki, Allah telah menetapkan jodoh masing-masing pada waktu dan cara paling tepat.
Minggu ini, saya kongsikan kisah Icha (bukan nama sebenar), yang memilih untuk membujang kerana percaya rezeki, maut, jodoh pertemuan semuanya di tangan Allah.
Icha yang saya temui baru-baru ini berkata, bukan dia menolak jodoh, tetapi percaya hidup ini penuh dengan takdir yang ditetapkan Allah.
Dahulu, hatinya pernah terluka selepas dikecewakan oleh beberapa lelaki.
Ada yang hanya datang ketika senang dan hilang bila susah.
Ada yang manis di awal, pahit di akhir dan hanya mempermainkan perasaannya.
Beberapa lelaki pernah hadir dalam hidupnya, Amran, Saiful dan Danial (bukan nama sebenar) masing-masing mengajarnya bukan semua cinta akan kekal.
Setiap kekecewaan mengajar Icha lebih menghargai diri.
Pada akhirnya, Icha membuat keputusan untuk membujang.
Bukan kerana dia membenci, tetapi percaya dengan perancangan Allah adalah yang terbaik untuknya.
Icha seorang doktor perubatan di salah sebuah hospital swasta.
Dalam masa sama terlibat dengan kerja-kerja kesukarelawan.
Walaupun tidak merasai kasih sayang daripada suami dan anak sendiri, tetapi Allah memberi kasih sayang dari pelbagai arah.
Daripada setiap pesakit, rakan-rakan sekerja dan anak-anak saudara.
“Di situ saya belajar kasih sayang tdiak semestinya lahir daripada cinta dua insan.
“Ia boleh hadir melalui kepercayaan, penghargaan dan doa daripada orang lain,” ujarnya.
Sebelum ini, ramai yang bertanya tentang status, kini tidak lagi.
Dahulu, di usia 20-an dan 30-an, setiap kali orang bertanya, bila hendak berkahwin, dia hanya tersenyum hambar.
Dalam hati soalan tersebut cukup menguris hatinya.
Dia tidak marah, tetapi hatinya pedih.
Dia sendiri tidak mempunyai jawapan.
“Bukan saya tidak pernah mencuba, bukan tidak pernah berharap, berdoa namun cinta yang datang hanya singgah sekejap sahaja,” ujarnya.
Kata Icha, kadang kala dia bertanya kepada diri sendiri.
“Apa kurangnya saya. Saya ada pelajaran, ada kerjaya yang baik dan ada rupa. Namun, tidak ada seorang pun lelaki kekal bersama saya,” ujarnya.
Kata Icha, apabila melihat rakan seusia, berkeluarga, mempunyai anak-anak, ada ruang kosong dalam hatinya yang tidak tahu untuk digambarkan.
Namun, masa mengajarnya banyak perkara.
Semakin meningkat usia, semakin dia faham.
Kini di usia 50-an, dia sudah tidak terasa lagi bila orang bertanya.
Dia tidak lagi peduli dengan orang lain.
Sekarang Icha sudah bahagia membina kehidupan, mengejar cita-cita, menjaga orang tuanya dan menyayangi diri sendiri.
“Saya tidak membenci cinta, Cuma saya tidak lagi menjadikan syarat untuk bahagia.
“Bahagia bukan apabila kita ada seseorang bernama lelaki, tetapi apabila kita berupaya membahagiakan diri dengan cara sendiri,” ujarnya.
Menyingkap pengalaman lalu, cinta pertama Icha datang semasa dia masih menuntut di universiti.
Lelaki pertama yang dicintai, Amran, seorang yang mengambil berat, penyayang dan selalu membuatnya istimewa.
Mereka bercinta hampir empat tahun. Namun di penghujung semester, Amran tiba-tiba berubah.
Amran sering mengelak untuk berjumpa dengannya, mesej juga tidak berbalas.
Sehinggalah pada suatu hari, Amran mahu memutuskan hubungan dengan Icha dengan alasan tidak sehaluan.
Icha hanya diam ketika itu. Perasaannya bercampur baur. Sedih, marah dan kecewa.
Menurut Icha, dia ambil masa untuk sembuh.
Memasuki alam pekerjaan dia bertemu pula dengan Saiful.
Saiful pandai berkata-kata.
“Saya fikir sudah tiba masanya untuk saya melupakan kisah silam dan mungkin Saiful adalah penganti yang Allah kirimkan,” ujarnya.
Namun, lama-kelamaan dia sedar, Saiful hanya melayaninya untuk mengisi kekosongan .
Janji tinggal janji. Apabila Icha mula berharap, Saiful menghilang tanpa penjelasan.
Kali ketiga, Icha bertemu dengan Danial, seniornya semasa di menara gading.
Danial mengakui sudah lama memendam perasaan terhadapnya.
Icha yang berhati lembut, memberi peluang. Namun lama kelamaan Icha sedar, dirinya hanya dipergunakan.
“Danial kantoi curang beberapa kali. Dia bukan lelaki baik untuk saya. Saya penat untuk memujuk diri, penat untuk memaafkan dan penat untuk mencintai lelaki yang tidak jujur,” ujarnya.
Selepas bertahun-tahun bersendirian, Icha memilih membina semula diri dan memberi sepenuh perhatian pada kerjaya.
Dia menyibukkan diri dengan pekerjaan, kerja-kerja sukarelawan dan setiap hujung tahun dia melancong ke luar negara.
Perlahan-lahan wanita ini belajar menyayangi diri sendiri.
Pertengahan Disember depan genap usia Icha 53 tahun.
Waktu terasa berjalan lebih perlahan, tetapi hatinya tidak lagi sesunyi dulu.
Dahulu setiap kali hari raya tiba, dia berasa tidak senang duduk. Pasti ada soalan yang menanti setiap kali keluarga berkumpul.
Namun soalan-soalan itu sudah tiada. Ibu bapanya sudah tidak lagi menyoal.
Dua adiknya, Maria dan Akmal (bukan nama sebenar) sudah lama berumahtangga.
Kini dia menumpang kasih pada anak-anak saudara.
Setiap tawa kecil mereka mengisi kekosongan hatinya.
Mengakhiri perbualan lewat petang itu, Icha berkata, dia kini tidak lagi mencari cinta manusia, tetapi lebih kepada cinta dan reda Allah.
“Saya tidak lagi memikirkan soal jodoh dalam usia ini. Saya serahkan kepada Allah Taala.
“Kalau Allah berkehendak, pasti akan datang tepat pada waktunya. Jika tidak, saya tetap bersyukur,” ujarnya.
Tambah Icha, dia percaya dengan perancangan Allah.
Mungkin Allah tetapkan untuknya tidak menjadi isteri seseorang tetapi menjadi insan yang berbakti kepada orang tua dan masyarakat.
Sesungguhnya, seperti maut dan rezeki, jodoh juga sudah ditakdirkan oleh Allah SWT.
“Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah Dia menciptakan untuk pasangan hidup dari jenis dirimu sendiri, supaya kamu berasa tenang dengannya dan dijadikanNya, di antara kamu rasa kasih sayang. Sesungguhnya, pada yang demikian, itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir,”-Surah Ar Rum ayat 21).-UTUSAN











