Seindah pantun yang merdu baitnya, kebaya terukir sebagai warisan, tidak lekang seri dan maknanya.
Ada sesuatu yang ajaib tentang kebaya.
Ia bukan sekadar pakaian, tetapi cermin budaya yang merentas zaman. Sejarah mencatatkan kebaya sudah lama wujud sejak era Kesultanan Melaka.
Malah, pengaruhnya datang daripada percampuran pedagang Arab yang membawa gaya jubah, pengaruh India dengan kain sarinya, Portugis dengan renda halus dan Belanda dengan potongan lebih teratur.
Semua itu disulam menjadi satu, Melahirkan busana yang kita kenali hari ini sebagai kebaya. Hebat, kan? Sehelai baju mampu menyatukan begitu banyak identiti dunia, tetapi akhirnya berdiri megah sebagai simbol wanita Melayu dan Nusantara.
Dari ruang istana, ke pasar, ke majlis keramaian, hingga kini di pentas fesyen antarabangsa. kebaya sentiasa relevan, sentiasa indah.
Kalau difikirkan, tidak banyak pakaian tradisi yang mampu hidup ratusan tahun tanpa hilang serinya.
Namun, kebaya masih teguh kerana ia bukan hanya kain dan jahitan, ia adalah naratif tentang keanggunan, keberanian dan siapa itu wanita Melayu. Apabila seseorang menyarungkan kebaya, bukan sahaja tubuhnya diserlahkan, tetapi keyakinan dan maruah juga terangkat.
Minggu ini, saya terpikat dengan koleksi Mekar daripada jenama tempatan Tujoh Kuntum. Ia seakan mengingatkan kita kebaya bukan milik almari lama, tetapi sahabat paling setia dalam gaya moden. Salah satu rekaan dari koleksi ini yang membuatkan saya jatuh cinta ialah Kebaya In Gemawan.
Rekaan kutu baru dengan fabrik kapas sulaman floral dalam rona putih ini punya aura klasik, tapi penuh kelembutan. Butang mutiara di tengah menambah sentuhan elegan, manakala lengan labuh dengan bell cuffs memberi efek romantik yang tidak lapuk dek zaman.
Kalau jiwa anda lebih lembut dan suka gaya manis, Kebaya Lembayung pula pasti mencuri hati. Kebaya labuh daripada renda floral premium warna merah jambu lembut ini hadir dengan reben kecil di bahagian depan bersama perincian kecil yang membawa kesan besar. Tali sisi yang boleh dilaras menjadikan potongan rekaan ini lebih mesra tubuh dan puff sleeve dengan reben pada hujung lengan memberi sentuhan feminin yang segar.
Saya suka ia meraikan pelbagai bentuk tubuh wanita. Kalau anda berbentuk pear, Kebaya Lembayung yang labuh sesuai untuk mengimbangi pinggul. Kalau berbadan petite, Kebaya In Gemawan memberi ilusi tinggi kerana potongan kutu barunya yang kemas. Untuk yang hourglass, kedua-duanya boleh menyerlahkan pinggang tanpa perlu banyak aksesori tambahan.
Bercakap tentang gaya, biar kebaya menjadi heroin utama. Kebaya in Gemawan akan lebih bersinar dengan strappy heels nude dan beg tangan berstruktur kecil. Elegan dan praktikal.
Kebaya Lembayung pula sesuai dipadankan dengan kitten heels satin dan clutch pastel untuk mood romantik yang lebih lembut. Aksesori? Jangan berlebihan. Anting-anting mutiara kecil sudah cukup untuk menyempurnakan gaya.
Kebaya bukan sekadar fesyen. Ia adalah warisan dan suara yang tidak pernah hilang.
Sama ada putih klasik bersulam atau merah jambu romantik renda, pakailah kebaya dengan penuh yakin. Kebaya bukan sekadar helaian kain, tetapi helaian cerita tentang wanita Melayu yang tabah, anggun dan kekal istimewa dalam apa jua zaman.-UTUSAN










