Gaya Wabi-Sabi Tropikal untuk pencinta alam semula jadi

Gaya Wabi-Sabi Tropikal untuk pencinta alam semula jadi

elemen kayu dan tumbuhan hijau dipadukan pada ruang utama kediaman sesuai konsep Wabi-Sabi Tropikal.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dalam dunia dekorasi, konsep moden, minimalis atau skandinavia sering kali menjadi pilihan ramai.

Namun, di celah arus trend tersebut, wujud sebuah gaya yang jarang disentuh tetapi kaya dengan falsafah iaitu Wabi-Sabi.

Berakar daripada budaya Jepun, Wabi-Sabi meraikan keindahan dalam kesederhanaan, ketidaksempurnaan dan hubungan rapat dengan alam.

Menariknya, apabila konsep ini digabungkan dengan sentuhan tropikal yang subur dan penuh kehidupan, lahirlah sebuah identiti baharu yang unik iaitu Wabi-Sabi Tropikal.

Itu yang menjadi pilihan Noor Syamimie Maiza Zafarudin atau mesra disapa Mimie bersama suaminya ketika membina identiti kediaman.

Kondominium berkeluasan 806 kaki persegi itu diolah dengan penuh rasa, seolah-olah membawa hutan hijau ke tengah kota.

“Jiwa kami sukakan alam semula jadi, suasana hutan yang hijau, pencahayaan yang semula jadi.

“Konsep ini tidak lapuk ditelan zaman kerana ia boleh terus disegarkan dengan elemen baharu pada masa hadapan,” katanya kepada Seri.

Ruang makan gaya santai.

ELEMEN KAYU DAN ROTAN

Menerapkan falsafah Wabi-Sabi bermakna memberi ruang kepada bahan semula jadi untuk ‘bersuara’.

Rona kayu dan rotan digabungkan dengan tanaman hidup yang menjadi nadi utama dekorasi.

Hiasan batu, pasu unik dan kehadiran dinding beralur (fluted wall) berona coklat turut menambah karakter.

Walaupun berskala sederhana, wanita berusia 34 tahun itu tidak menafikan setiap sudut kediamannya membawa cerita berbeza.

Ruang tamu, dapur, ruang makan hingga ke balkoni bahagian yang paling digemari kerana setiap satunya memiliki jiwa tersendiri.

Kesemua ruang saling melengkapi dan mencerminkan hasil tangan Mimie serta suami yang kreatif dalam menyesuaikan konsep Wabi-Sabi Tropikal dengan gaya hidup keluarga kecil mereka.

Kelebihan konsep ini bukan sahaja daripada segi estetik, malah praktikal.

Perabot dan aksesori berasaskan kayu lebih tahan habuk, menjadikan kerja-kerja penyelenggaraan mudah.

“Syukur, konsep ini mudah dijaga dan fleksibel untuk kami sekeluarga.

“Tipsnya, seminggu sekali mengelap menggunakan campuran 1 penutup pelembut kain dengan 500ml air (dimasukkan dalam botol semburan) menggunakan kain mikrofiber,” kongsinya.

Mimie memilih palet hijau muda dan rona tanah sebagai asas bagi membangkitkan ketenangan dan harmoni.

Bagi menambah kelainan, hanya satu ruang dibiarkan tampil dengan rona terang, menjadikannya titik fokus yang menghidupkan lagi suasana rumah.

Bagi Mimie, kediaman ini bukan sekadar ruang fizikal tetapi sebuah cerminan jiwa.

Konsep Wabi-Sabi Tropikal yang dipilih menjadikan rumahnya sederhana tetapi penuh karakter, fleksibel dan berjiwa alam.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×