KEBANYAKAN wanita takut dan geli dengan reptilia seperti ular. Nor Anira Haris, 39, juga begitu, tetapi disebabkan minat suami dan anak-anak, perlahan-lahan dia belajar mengatasi rasa takut terhadap haiwan itu
Kini, dia bukan sahaja makin berani, malah sangat menyayangi ular.
Segalanya bermula semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ketika keluarganya mencari ‘peneman’ dan hiburan untuk mengisi masa terluang.
Disebabkan keluarganya alah kepada haiwan berbulu, maka mereka sepakat untuk membela ular.
Tambahan pula, dia terpengaruh dengan minat suami terhadap reptilia itu.
Ular pertamanya ialah ular sawa spesis Ball Python, yang dipelihara sejak 2023.
Ia dinamakan Banana kerana berwarna kuning terang mirip buah pisang.
“Saya tertarik dengan Banana apabila kali pertama melihatnya dan sanggup membelanjakan lebih RM1,000 untuk membelinya.
“Banana juga merupakan ular yang paling disayangi daripada keseluruhan 15 ekor yang dipelihara,” ujarnya.

Jinak, tenang
Tahun ini, ular jantannya itu berusia dua tahun. Ia satu tempoh yang cukup bermakna sejak mula memeliharanya.
Tidak seperti persepsi umum tentang ular yang sering dianggap buas, menyeramkan dan berbahaya, Banana sebenarnya mempunyai sifat yang sangat jinak, tenang dan mudah didekati.
Katanya, sifat tersebut menjadikannya mudah dikendalikan, bahkan senang untuk dibelai .
Hal itu sekali gus membuatkan anak-anaknya yang masih kecil gemar bermain dengan Banana, tanpa rasa takut atau ragu-ragu.
“Walaupun Banana tenang jika dipegang, namun jika ia dalam keadaan tidak sihat, kami sekeluarga akan membiarkannya di dalam sangkar.
“Langkah ini penting bagi mengelakkan emosi Banana jadi tidak stabil termasuk mendorongnya mematuk tangan, sebagai tanda mempertahankan diri,” katanya.
Malah katanya, Banana dan ular-ular peliharaannya yang lain tidak akan dikeluarkan dari sangkar pada waktu sama.
Hal ini dilakukan bagi mengelakkan risiko pergaduhan di samping memastikan setiap satunya mendapat perhatian dan pemantauan mencukupi.
Dalam masa sama, ia bertujuan menjaga keselamatan ahli keluarga termasuk persekitaran rumah.
Penjagaan, pemakanan
Nor Anira berkata, pemakanan ular sangat mudah kerana tidak perlu diberi makanan setiap hari.
Sebaliknya, setiap ular hanya diberikan makan seekor tikus hidup seminggu sekali.
Ia bagi membolehkan proses pencernaan berlaku dengan lancar.
“Walaupun kedengaran ekstrem bagi sesetengah orang kerana memberi haiwan yang masih hidup sebagai pemakanan, namun kami ingin mengekalkan naluri semula jadi ular,” katanya.
Katanya, ular yang tidak sihat atau tertekan, kebiasaannya akan memuntahkan semula makanan.
Untuk penjagaan lain, katanya, ular-ular dimandikan sekali dalam sebulan untuk memastikan kebersihan kulitnya kekal terjaga.










