Jiwa tenang hasilkan lukisan Kaabah

Jiwa tenang hasilkan lukisan Kaabah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERTAMA kali menatap lukisan Kaabah, jiwa suri rumah ini diselubungi ketenangan dan kedamaian yang sukar diungkap dengan kata-kata.

Bagi Amira Lazim, 30, karya sentuhan Aiman Ariff Studio itu bukan sahaja tampak kemas dan elegan, malah sarat dengan elemen spiritual.

Lebih istimewa apabila teknik seni tekstur dijadikan sebagai medium utama, lantas menghidupkan setiap inci kanvas.

Keindahan itulah yang mendorongnya melakar lukisan serupa, dengan harapan dapat menzahirkan rasa sama melalui sentuhan peribadi.

Meskipun tiada asas formal dalam bidang seni lukis, ia bukan penghalang buat pemegang ijazah seni bina landskap ini untuk merealisasikan hasratnya.

“Beberapa minggu sebelum Ramadan lalu, saya cuba-cuba menghasilkan karya Kaabah.

“Bagi saya Kaabah adalah simbol yang sangat dekat di hati umat Islam dan sesuai diterjemahkan dalam bentuk seni tekstur ringkas tetapi mendalam,” katanya baru-baru ini.

Amira turut mendapat ilham daripada beberapa artis luar negara yang menggabungkan gaya minimalis dengan teknik tekstur moden itu.

Katanya, minat terhadap seni sudah sebati dalam diri sejak kecil lagi, malah dia aktif menyertai pertandingan mewarna dan melukis di sekolah.

Bagaimanapun, ketika itu, dunia seni hanya dianggap sebagai hobi dan bukan kerjaya masa depan.

“Semasa belajar dahulu, saya banyak menghasilkan lukisan cat air, tetapi hanya untuk tugasan akademik dan mengisi masa lapang sahaja,” katanya.

Malah, sepanjang bekerja sebagai arkitek landskap dan di bidang ukur tanah, minatnya terhadap seni tidak pernah padam.

Namun, kekangan masa dan tuntutan kerja sepenuh masa membataskannya untuk mengembangkan bakat tersebut.

“Selepas memilih berhenti kerja bagi memberi sepenuh perhatian kepada keluarga, barulah saya menggali semula dunia seni lukis.

“Saya sedar yang seni bukan sekadar terapi, tetapi satu bentuk ekspresi unik,” tambah ibu kepada seorang anak lelaki berusia lima tahun ini.

Jaga sensitiviti agama
Amira tidak menafikan di awal pembabitannya wujud rasa takut dan ragu-ragu untuk menghasilkan karya bertemakan spiritual.

Baginya, topik berkaitan agama bukan sesuatu yang boleh dibuat secara semberono.

Justeru, dia sentiasa memastikan karyanya bebas daripada unsur-unsur yang bertentangan dengan sensitiviti agama.

“Niat saya hanyalah untuk menzahirkan rasa cinta dan hormat dalam bentuk seni.

“Bagi yang ada minat sama, jangan rasa seni spiritual itu terlalu eksklusif atau sukar. Kalau niat kita betul dan mesej disampaikan ikhlas, insya-Allah akan sampai ke hati orang lain juga,” katanya.

Mengulas lanjut, kata Amira, seni tekstur bukanlah teknik baharu, namun ia masih kurang dikenali di Malaysia.

Bagaimanapun, seni ini berpotensi besar untuk berkembang kerana membuka ruang kepada para artis bereksperimen dengan medium dan teknik lebih kreatif.

“Seni ini menonjolkan permukaan yang boleh dirasa dan dilihat, dengan lapisan serta kedalaman nyata,” katanya.

Kesabaran tinggi
Dalam sehari, Amira meluangkan antara satu hingga empat jam untuk melukis, kebiasaannya ketika anaknya berada di sekolah.

Jika masih ada masa dan tenaga, rutin itu bersambung hingga ke malam.

Katanya, proses menghasilkan seni tekstur menuntut kesabaran tinggi kerana setiap lapisan itu perlu kering sebelum diteruskan ke peringkat seterusnya.

Bagi memastikan hasil terbaik, dia membahagikan proses kerja secara berfasa bermula dengan penyediaan bahan, aplikasi tekstur, pengeringan, pewarnaan dan sapuan varnis.

Menurutnya, setiap karya bertemakan Kaabah boleh disiapkan antara dua hingga empat hari bergantung kepada saiz dan kerumitan rekaan.

Bahagian paling mencabar ialah ketika mengaplikasikan tekstur kerana ia memerlukan ketelitian tinggi agar bentuk kekal kemas tanpa sebarang retakan.

“Saya merupakan pelukis yang belajar sendiri dan kebanyakan kemahiran dimiliki adalah hasil pembelajaran kendiri serta kajian berterusan.

“Justeru, saya sentiasa bereksperimen untuk mendapatkan kesan tekstur diingini. Ada kalanya ia nampak cantik ketika basah, tetapi berubah sepenuhnya apabila kering. Semua itu dipelajari secara berperingkat melalui pengalaman dan kesilapan,” katanya.

Menariknya, Amira turut menggunakan pes tekstur buatan sendiri untuk mencipta tekstur dalam karyanya.

Manakala, warna pula tertumpu pada rona neutral seperti putih, beige, coklat muda dan sedikit elemen emas untuk menaikkan seri karya.

“Untuk sapuan dan pembentukan tekstur pula, saya gunakan spatula serta pisau palet berbeza saiz.

“Setiap bentuk tekstur ada teknik dan sudut tertentu yang perlu diberi perhatian,” katanya.

 

Karya ubat rindu, bakar semangat ke Mekah

Karya pertama Amira yang bertemakan Kaabah pada asalnya dihasilkan untuk koleksi peribadi.

Dia tidak pernah merancang untuk menjual, namun selepas berkongsi di media sosial, ramai menunjukkan respons positif dan berminat menempah.

Dari situ, keyakinannya mula tumbuh untuk terus menghasilkan lebih banyak karya serupa.

Katanya, ramai pelanggan berkongsi rasa sebak dan rindu pada Mekah apabila melihat karyanya terutama bagi yang pernah menunaikan umrah atau haji.

“Ada juga yang memberitahu kehadiran lukisan ini di rumah mereka memberi ketenangan jiwa.

“Paling saya tersentuh apabila seorang pelanggan menyifatkan karya saya sebagai pembakar semangat untuk membawa ibu bapa ke Tanah suci sekali gus menyuntik kekuatan untuk saya terus berkarya,” katanya yang berhasrat ke Mekah tahun depan.

Sejak dilancarkan pada Ramadan lalu, Amira berjaya menjual lebih 70 karya yang berharga antara RM90 hingga RM850.

Koleksinya menampilkan empat rekaan berbeza dari segi susunan tekstur dan komposisi di samping turut menerima tempahan khas yang eksklusif.

Katanya, kebanyakan pelanggan menjadikan lukisan Kaabah itu sebagai hiasan di ruang tamu, solat dan pejabat atau sebagai hadiah buat insan tersayang.

“Saya berharap setiap karya ini bukan sekadar menghiasi dinding semata-mata, sebaliknya menjadi simbol ketenangan, tumpuan dan refleksi jiwa, terutama dalam rumah tangga umat Islam,” katanya yang menetap di Johor.

Dalam perkembangan sama, Amira turut menerima banyak tempahan dari Singapura dan giat berusaha untuk meluaskan capaian ke pasaran antarabangsa.

Sebagai perancangan masa depan, dia mengimpikan untuk menyertai pameran seni bagi berkongsi karyanya dengan khalayak lebih luas di samping dapat bertukar pandangan serta berguru dengan pelukis lain.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN