Ibu bapa toksik, anak pilih berubah dan memaafkan

Ibu bapa toksik, anak pilih berubah dan memaafkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Anak-anak yang dibesarkan dalam persekitaran toksik, gara-gara sikap ibu bapa yang garang, suka mengawal atau suka membandingkan akan menerima kesan bukan sahaja emosinya, bahkan terbawa-bawa hingga ke dewasa.

Tanpa sedar mereka akan mewarisi gaya keibubapaan yang sama.

Bila marah, mereka akan menggunakan kata-kata yang pernah mereka dengar dan benci dahulu, gagal mengawal emosi dan tidak percaya kepada sesiapa.

Bagaimanapun, anak-anak daripada keluarga toksik ini masih boleh diselamatkan dan sembuh, jika mereka memilih untuk berubah.

Minggu ini saya kongsikan kisah Sabrina (bukan nama sebenar) yang lahir dan dibesarkan dalam keluarga toksik.

Bukan kerana kurang harta benda, wang ringgit, tetapi kasih sayang disalur dengan bersyarat.

Sabrina dibesarkan oleh ibu bapa yang sentiasa fikir mereka sahaja betul.

Bapanya, Munir (bukan nama sebenar) seorang yang sangat dihormati, manakala ibunya, Aziah (bukan nama sebenar) wanita berkerjaya yang menjadi idola ramai.

Sejak kecil dirinya sering dipuji orang luar sebagai anak yang baik dan bijak.

Namun di rumah, ibu bapanya sentiasa mengawal setiap langkah, kata-kata dan keputusan.

Sabrina sering menjadi mangsa sindiran dan hinaan orang tuanya.

Dia dididik dengan kekerasan dan kawalan mutlak oleh kedua ibu bapa.

Menginjak dewasa, Sabrina mula memendam rasa dan sering menyembunyikan perasaan, belajar menjadi sempurna untuk mengelak menjadi mangsa kemarahan mereka.

Dia takut untuk menyuarakan pendapat dan membuat keputusan.

Berkongsi cerita tentang Sabrina yang kini menjadi kakak iparnya sejak setahun lalu, kata Nur setiap kali berjaya dalam pelajaran, ibu bapa menganggap itu perkara biasa dan bukan sesuatu yang perlu dibanggakan.

Sebaliknya, apabila keputusan Sabrina tidak cemerlang, ibu bapa lantas menghinanya.

“Rasa rendah diri kakak ipar tumbuh dalam diam. Dia mula percaya dirinya tidak cukup pandai, cantik dan tidak layak disayangi,” katanya lagi.

Kemuncak kepada kesan emosi yang diterima selepas menemui Haqeem (bukan nama sebenar) menjadi cermin dan penyembuh kepada diri Sabrina.

Haqeem yang juga abang kepada Nur, jatuh cinta pandang pertama kepada Sabrina semasa mereka menuntut di sebuah universiti di utara tanah air.

“Abang seorang yang penyabar dan penyayang. Awalnya, kami sekeluarga kurang bersetuju hubungan abang dan Sabrina, namun melihat kesungguhannya untuk berubah, timbul pula simpati di hati,” kata Nur.

Trauma yang dilalui Sabrina sejak kecil membuatkan dia sukar mempercayai seseorang, mudah cemburu, berasa tidak selamat dan tidak layak untuk disayangi.

“Awalnya, abang tidak faham dengan keadaan teman wanitanya yang mudah marah bila ditegur, sukar meminta maaf dan sentiasa berasa diri ‘betul’.

“Lama -kelamaan, abang mula faham, apa yang terjadi berpunca daripada cara dia dibesarkan. Daripada ibu bapa yang sepatutnya melindungi, bukan merosakkan emosinya,” ujar Nur lagi.

Menurut Nur, kesabaran dan cara abangnya mendekati telah meruntuhkan tembok dalam hati wanita yang dicintai.

Awalnya kata Nur, kakak iparnya menolak, tetapi lama-kelamaan, nasihat dan kasih sayang abang yang tidak berbelah bahagi telah membuka ruang untuknya belajar tentang diri, sabar dan kasih sayang tanpa syarat.

Selepas berkahwin, kakak ipar mula sedar dirinya bukanlah cerminan mutlak ibu bapanya.

Dia mahu menjadi wanita berbeza dan bertekad memutuskan rantai toksik yang diwarisi.

“Sepanjang tempoh mereka berkawan dan hidup sebagai suami isteri, kami sekeluarga terutama abang sentiasa memberi sokongan kepada kakak ipar .

“Abang memastikan kakak ipar menghadiri sesi terapi dan belajar menjadi individu yang mendengar bukan menghukum,” ujarnya.

Menurut Nur lagi, sikap kakak ipar yang cukup dikagumi ialah walaupun dia disakiti oleh orang yang sepatutnya melindungi dan menyayanginya, dia tetap memilih untuk memaafkan mereka.

“Saya pernah menyaksikan bagaimana ibu bapa kakak ipar melayannya seperti orang luar.

“Walaupun kakak ipar berkahwin, sindiran halus, layanan dingin dan kata-kata lekeh tetap diterima daripada ibu bapanya.

“Tetapi, kakak ipar tetap diam dan tidak menjawab,” ceritanya.

Menurut Nur lagi dia masih ingat kata-kata kakak iparnya, memaafkan kedua ibu bukan kerana mereka layak, tetapi, memilih untuk tidak membalas.

Kakak iparnya juga tidak berdendam dan memilih untuk menghormati serta menyayangi mereka.

“Walaupun kakak ipar disakiti, dia tetap meletakkan ibu bapanya sebagai insan yang perlu dihormati kerana mereka orang tuanya,” ujar Nur sambil berkongsi kegembiraan bakal menerima anak buah pada pertengahan Ogos depan.

Kakak iparnya itu kini sedang hamil lima bulan.

Tambah Nur, apa yang lebih penting kakak iparnya itu mahu anak yang dilahirkan nanti merasai apa yang dia tidak pernah rasa.

Rasa dihargai, selamat dan disayangi tanpa syarat.

Kisah Sabrina adalah sebahagian daripada cerita anak-anak yang terperangkap dalam kasih sayang bersyarat.

Namun, dia memilih untuk berubah tanpa terlalu terbawa dengan trauma masa lalu.

Sesungguhnya kedudukan kedua ibu bapa sangat tinggi di sisi Allah SWT.

Perintah berbuat baik dan memuliakan orang tua bersifat mutlak, tanpa ada syarat apa-apa.

Kejahatan apa sekalipun dilakukan oleh mereka, tidak pernah menghilangkan hak orang tua untuk dihormati.

Sebagaimana firmanNya, “Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia, dan kepada ibu bapa hendaklah berbuat baik kepada ibu bapa dengan sebaik-baiknya,’’-(Al-Isra: 23). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×