Tarawih, qiamulail 3 jam di Mekah - Sharifah Khasif

Tarawih, qiamulail 3 jam di Mekah – Sharifah Khasif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENUNAIKAN solat tarawih selama tiga jam merupakan antara kenangan manis yang dilalui Sharifah Khasif Fadzillah Syed Mohd. Badiuzzaman, 43, semasa memburu lailatul qadar di Mekah.

Walaupun kaki lenguh, namun hatinya tenang apabila mendengar bacaan Imam Masjidil Haram, Sheikh Dr. Abdul Rahman Al-Sudais yang lunak merdu dan menusuk jiwa.

Siapa sangka sudah masuk tahun kelima Johan Qariah Tilawah Al-Quran Antarabangsa 2009 ini melakukan rutin itu di Tanah Suci. Terbaharu, beliau dijadualkan berangkat ke sana bagi mengerjakan umrah bersama suami, dua anak, ibu di samping pengurus dan pembantu peribadi.

“Suasana Ramadan di Mekah berbeza dengan di Malaysia kerana fokus kita hanya pada ibadah sahaja, tidur pun tidak sempat.

“Semasa kali pertama bertarawih lima tahun lalu, saya tidak sangka ia mengambil masa selama tiga jam iaitu dari pukul 8.30 malam hingga 11.30 malam.

“Walaupun cuma lapan rakaat disusuli witir tiga rakaat tetapi bacaannya sangat panjang kerana melibatkan satu juzuk al-Quran,” katanya kepada Seri baru-baru ini.

Selain tarawih, katanya, ibadah qiamulail turut dilakukan imam Masjidil Haram ketika Ramadan.

Waktunya bermula dari pukul 12.45 tengah malam hingga ke pukul 3.45 pagi.

“Pada masa itu, saya sekali lagi terkejut kerana tempohnya sama seperti solat tarawih dan sejurus selepas habis jemaah segera bersahur tanpa sempat tidur.

“Peluang menghabiskan 10 hari terakhir Ramadan di Mekah saban tahun merupakan pengalaman yang sangat indah dalam mengejar lailatul qadar serta kurniaan rahmat Allah SWT,” katanya yang anggun dengan jubah hijau bersulam.

Selagi ada hayat, kudrat dan kemampuan, Sharifah Khasif berdoa agar dapat menunaikan umrah setiap kali Ramadan, saban tahun.

Hal itu kerana, ganjaran pahala umrah di bulan ketaatan dan keampunan tersebut sangat luar biasa, menyamai ibadah haji.

Dalam perkembangan sama, katanya, tiada pengumuman Hari Raya Aidilfitri dilakukan di Tanah Suci.

Para jemaah hanya mengetahuinya apabila solat Isyak diakhiri dengan doa yang sangat panjang dan tiada solat tarawih.

“Setiap kali mendengar doa daripada imam, air mata saya mengalir mengenangkan pecutan yang dilakukan demi mengejar pahala Ramadan.

“Paling sebak apabila imam turut mendoakan umat Islam di seluruh dunia yang tidak berpeluang ke Mekah agar dikurniakan kesihatan baik dan dimakbulkan hajat untuk ke Baitullah satu hari nanti,” kongsinya yang bakal beraya di Tanah Suci.

Tidak pernah ponteng puasa Selain kemanisan berpuasa di Mekah, Sharifah Khasif turut merindui suasana menyambut Ramadan ketika zaman kecilnya.

Anak jati Ipoh ini sudah berpuasa penuh sejak berusia tujuh tahun lagi kerana tertarik melihat ibu bapanya berpuasa. “Saya sudah didedahkan dengan puasa sunat sejak kecil dan tidak rasa ibadah itu susah.

“Selepas berbuka, kami sekeluarga bertarawih di rumah dengan diimamkan oleh walid dan kemudian bertadarus al-Quran,” katanya.

Ada ketika, kenalan bapanya turut menyertai sesi tadarus itu.

Mahu anak jadi qariah

Sharifah Khasif berkongsi rasa gembira apabila puteri sulung, Abeer Widad Muhammad Hizal mengikut jejak langkahnya dalam bidang al-Quran.

Di usia semuda 11 tahun, si cilik itu sudah meraih gelaran Johan Qariah Tilawah al-Quran Sekolah bagi Wilayah Persekutuan dan mara ke peringkat kebangsaan.

Bersyukur dengan kelebihan dimiliki anaknya, beliau turut menaruh harapan agar legasi sebagai qariah antarabangsa dapat diteruskan.

“Dia memang berbakat dan saya tengah melatih serta mengasahnya untuk menjadi qariah. “Saya pesan pada Abeer, apabila umurnya 17 atau 18 tahun nanti, dia bakal mewakili Wilayah Persekutuan hinggalah ke pertandingan tilawah antarabangsa, insyaAllah,” doanya.

Katanya, setiap ibu bapa perlu bertegas dengan anak-anak terutama dalam aspek pendidikan dan agama kerana sikap itulah yang akan membuahkan kejayaan mereka di masa akan datang.

“Situasi ini mengingatkan saya betapa susahnya arwah walid mengajar saya dulu, tetapi yang bezanya saya bermula awal dengan umur tujuh tahun sudah menjadi johan manakala Abeer pula baru memasuki tilawah di usia itu,” katanya.

Walaupun jadual kerjanya sibuk, namun bukan penghalang untuk Sharifah Khasif menguruskan anak-anak dan rumahtangga.

“Saya tidak pernah menjadikan anak sebagai masalah untuk meneruskan perjuangan dalam al-Quran. “Anak-anak sentiasa dibawa bersama apabila ada jemputan program sama ada di masjid atau tempat-tempat lain dan mereka pun sudah terbiasa dengan rutin itu,” katanya.

Buka tahfiz

Bagi meneruskan lagi perjuangannya dalam al-Quran, wanita ini menubuhkan sebuah pusat tahfiz di Kampung Datuk Keramat.

Institusi dikenali sebagai Pusat Pengajian Tahfizul Quran Sharifah Khasif itu bakal beroperasi selepas Hari Raya Aidilfitri.

Buat permulaan, pengambilan hanya melibatkan 30 pelajar dengan masing-masing 15 lelaki dan perempuan yang berusia antara tujuh hingga 17 tahun.

“Alhamdulillah, sebuah rumah telah diwakafkan untuk saya menjalankan pengajian tahfiz dan kini proses pengubahsuaian sedang giat dilakukan.

“Bagaimanapun, pusat ini tidak menawarkan kemudahan asrama dan pelajar boleh hadir untuk menghafal serta membaca al-Quran selepas waktu sekolah atau hujung minggu,” katanya.

Misi Sharifah Khasif adalah untuk melahirkan lebih banyak golongan ahli al-Quran yang berjaya di dunia dan akhirat.

Beliau turut memberi jaminan kos yuran yang dikenakan adalah berpatutan dan tidak membebankan ibu bapa.

Baca hadis, memoir Bosnia

Selain bersahabat dengan al-Quran, waktu lapangnya banyak dihabiskan dengan membaca hadis.

Amalan itu membantu Sharifah Khasif membezakan antara hadis sahih dan palsu, sekali gus dapat memantapkan lagi ilmu agamanya.

“Sebagai ahli al-Quran, saya sering menerima persoalan daripada pelajar dan ada ketikanya ia tidak dapat dijawab segera kerana memerlukan saya merujuk tafsir.

“Apabila ada masa terluang, saya memanfaatkannya dengan membaca hadis dan menulis di samping menghafaz serta mengulangi hafazan,” katanya.

Beliau yang berbakat dalam penulisan turut merancang untuk mengeluarkan buku mewah (coffee table book) tentang memoir Bosnia. Ia susulan kembaranya ke bumi Balkan tujuh tahun lalu yang melakar 1,001 kenangan manis.

“Banyak pengalaman yang ingin dikongsikan sepanjang perjalanan di Bosnia termasuk kisah selawat Rasulullah dendangan saya yang tular di seluruh dunia,” akhirinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN