Kucing hasil kacukan baka Scottish Fold tempatan dan American Shorthair, yang diberi nama Nur Luna atau lebih mesra dipanggil Luna semakin meraih tumpuan di aplikasi TikTok.
Badannya yang gempal dan gebu serta wajahnya yang comel menjadi kesukaan ramai pencinta kucing.
Pemiliknya, Siti Fatimah Karimah, 31, berkata, tatkala menginjak usia dua tahun, kucingnya itu mempunyai selera makan yang luar biasa.
Luna gemar makan tanpa mengira waktu, sehingga badannya semakin membesar.
“Selain makanan kering kucing (kibbles), Luna juga suka menikmati masakan seperti asam pedas, masak lemak dan ayam goreng.
“Keinginan Luna terhadap makanan begitu besar sehingga ia sanggup mencari jalan untuk mendapatkan lebih banyak makanan,” katanya.
Tambahnya, Luna pernah membuka sendiri plastik makanan yang telah disimpan sebagai stok.
Sikapnya yang bijak dan licik ini sering membuatkan Siti Fatimah geram akan telatahnya itu, namun dalam masa sama, mampu mengundang tawa.
Kini, di usia enam tahun, berat Luna telah mencapai 10 kilogram (kg). Bentuk tubuhnya yang gempal menjadikannya tumpuan utama di dalam rumah.
Luna juga mempunyai sifat yang manja dan unik. Berbeza dengan kebanyakan kucing lain, Luna tidak takut pada air.
Luna sangat gembira apabila tiba waktu mandi.
Luna tidak kisah tubuhnya dibasahi air, malah tidak mengeluarkan sebarang bunyi rungutan.
KURUS WAKTU KECIL
Luna asalnya hanya seekor kucing kurus yang tidak begitu menarik rupanya.
Walaupun mempunyai campuran baka-baka yang unik, namun ketika kecil Luna tidak begitu diminati oleh ahli keluarga, mahupun kenalan yang datang ke rumah.
Mempunyai belang hitam di seluruh badan dan sedikit tompok warna jingga di bahagian belakang badan membuatkan Luna tampak seperti kucing tempatan biasa sahaja.
Tubuhnya yang kurus ketika usianya sekitar satu tahun juga merupakan faktor kucing ini kurang menarik.
Malah, Siti Fatimah juga pernah terdetik untuk menjual haiwan peliharaannya itu dek perbelanjaan yang terlampau besar untuk menyara lima ekor kucing.
Siti Fatimah juga lebih menumpukan perhatian kepada adik-adik Luna kerana lebih kelihatan comel dan mempunyai ciri yang lebih jelas seperti baka kedua-dua ibu bapanya.
KUAT DRAMA
Di sebalik kecomelannya, si manja ini sangat kuat ‘drama’.
Setiap kali Siti Fatimah ingin memotong kuku Luna, kucing ini akan berusaha mengelak sebaik mungkin.
“Selain itu, Luna lebih gemar berbaring daripada bermain dengan permainan yang disediakan untuknya.
“Bukan itu sahaja, setiap kali pulang ke rumah, Luna pasti menyambut dengan cara unik.
“Dengan hanya menggunakan ayat ‘ boom Luna’, kucing ini akan terus berbaring sambil menelengkan kepalanya,” katanya.
Jika tuannya sengaja tidak memberikan perhatian, Luna akan mengurut tangan tuannya atau berbuat aksi ‘boom’ yang sama berulang kali.
Walaupun badan Luna yang gempal menjadi tarikan dan diminati ramai orang ketika ini, namun Siti Fatimah cuba mengurangkan makan si manjanya itu demi menjaga kesihatan.
Tindakannya itu berjaya membuat Luna susut berat badan sebanyak 1kg daripada beratnya sebelum ini iaitu 11kg.










