PENGHIAS Seri kali ini bukanlah usahawan, pakar atau jelitawan seperti yang lazim ditampilkan saban minggu.
Beliau hanya seorang ‘suri rumah’ tetapi yang membezakannya dengan yang lain ialah kesungguhan dan keberanian dalam melakukan pelbagai aktiviti menguji adrenalin.
Daripada paragliding, parasailing, menunggang motosikal scrambler, lawan pedang, muay thai, atv, go kart hinggalah bermain bola sepak, semuanya pernah dicuba Mak Kiah Ferry.
Setiap satunya dibuat ketika ‘suami’ tiada di rumah, untuk mengisi masa lapang dan healing daripada tugasan hakiki.
Paling mencuit hati apabila wanita ini tampil dengan uniform rasminya iaitu baju kelawar, tudung sarung dan bertopi keledar putih.
Sehingga kini sudah 17 episod video bertajuk Bila Suami Outstation dikongsikan di akaun Tiktok miliknya yang diikuti hampir 350,000 pengikutt.
Bagaimanapun, watak suri rumah itu hanya rekaan pencipta kandungan, Fatin Farhana Md. Fajaruddin sahaja.
Wanita berusia 34 tahun ini berkata, niatnya mencipta karakter Mak Kiah Ferry adalah untuk menyuntik inspirasi kepada suri rumah agar berusaha mencari kebahagiaan diri.
Katanya, kesibukan menguruskan keluarga bukan alasan untuk golongan itu asyik terperap di rumah dan melakukan kerja-kerja tanpa henti.
Lebih-lebih lagi dalam situasi sekarang yang ramai suri rumah didapati tertekan dan mengalami gangguan emosi teruk akibat terlalu penat ‘bekerja’.

“Kerjaya suri rumah ini tiada rehat atau cuti dan menerusi perkongsian Mak Kiah Ferry sekurang-kurangnya saya dapat menceriakan lagi kehidupan mereka.
“Sebenarnya ramai suri rumah yang berkeinginan mencuba aktiviti lasak, cumanya mereka tiada masa dan kawan-kawan, lantas hasrat itu terkubur begitu sahaja.
“Paling menyentuh hati saya apabila menerima mesej kiriman wanita yang tertekan kerana perlu menjadi ketua keluarga selepas berpisah di samping bertanggungjawab menjaga ahli keluarga sakit,” katanya kepada Seri.
Fatin Farhana berkata, semua suri rumah berhak memiliki ruang me time untuk menggembirakan dan memulihkan diri.
Tanpanya, golongan itu akan berterusan dibelenggu stres serta penat berpanjangan lebih-lebih lagi jika berdepan isu kewangan atau pasangan dan keluarga bermasalah.
Dalam masa sama, setiap aktiviti lasak yang dikongsikan anak keempat dari lima beradik ini diharap dapat memberi kesedaran kepada masyarakat untuk merancang aktiviti atau hobi apabila menginjak ke usia pertengahan dan emas.
Katanya, jika hanya duduk diam tanpa berbuat apa-apa selepas bersara berisiko menyebabkan nyanyuk dan kemurungan.
Sekadar humor
Selain usia muda, wanita berasal dari Johor ini turut mendedahkan status dirinya yang masih bujang dan belum berumah tangga.
Watak lelaki digelar ‘suami’ itu adalah antara rekaan, dan individu tersebut merupakan rakan sekerjanya di stesen televisyen tempatan.
Beliau yang bertugas sebagai penerbit rancangan berkata, idea untuk menghidupkan kisah suami isteri itu tercetus secara spontan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu.
“Apabila video kami viral, pengikut pun naik mendadak, daripada hanya 300 orang kepada 30,000 dalam tempoh sehari.
“Malah, ada yang menyangka saya benar-benar suri rumah dan mahu menghulurkan dana bantuan untuk menjadi usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) di samping mengajak saya menyertai program kumpulan marhaban,” katanya tertawa.
Fatin Farhana tidak berniat untuk memperdaya masyarakat, sebaliknya humor itu bertujuan menghiburkan orang ramai.
Sejak kecil, beliau suka membuat lawak dan sentiasa menunjukkan karakter ceria walaupun berdepan masalah.
“Saya bersyukur dengan penerimaan masyarakat pada Mak Kiah Ferry yang sekali gus menjadi penguat semangat untuk saya terus menghasilkan kandungan yang bermanfaat.
“Di sebalik pujian itu, ada juga komen-komen negatif yang dilemparkan contohnya, tidak sedar diri sudah tua, tetapi buat aktiviti-aktiviti lasak, tetapi saya tidak ambil pusing kecaman tersebut,” katanya.

Tarik perhatian Tengku Ampuan Pahang
Aksi-aksinya bersukan lasak turut menarik perhatian Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Baginda turut meninggalkan komen sambil mengajak wanita ini bermain golf bersama-sama.
“Seingatnya saya, komen pertama Tuanku adalah video saya menunggang motosikal scrambler pada September lalu.
“Malah, kami turut berkomunikasi di ruangan chat dan baginda berkenan mengajak saya bermain golf serta polo,” katanya teruja.
Di sebalik lagaknya yang berani ‘terbang’ di udara, hakikatnya Fatin Farhana seorang yang gayat.
Namun, ketakutan itu berjaya diatasi demi merealisasikan watak Mak Kiah Ferry.
Dalam masa terdekat, beliau merancang untuk melakukan terjunan udara pula bagi mencabar kemampuan diri.
Sebelum ini, Fatin Farhana pernah menganjurkan aktiviti berakit meredah jeram bersama pengikutnya.
Program riadah itu mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan wanita berusia 30 tahun ke atas daripada pelbagai latar belakang termasuk peguam dan guru.
“Macam saya katakan tadi, mereka sudah lama pendam hasrat untuk buat aktiviti lasak tetapi terhalang kerana tiada kawan atau kumpulan.
“Apabila saya tawarkan peluang itu, rata-ratanya teruja termasuk meminta agar rakit diterbalikkan untuk lebih cabaran,” katanya yang bakal menganjurkan aktiviti paragliding pula buat golongan isteri.

Jadi ketua hantu
Berkongsi perkembangan terbaharunya, beliau bakal muncul dalam telefilem bertajuk Hantu Multikaum.
Dua watak dipegang secara sekali gus iaitu ketua hantu, nenek bongkok diikuti sebagai watak dirinya, Mak Kiah Ferry.
Percubaan pertamanya itu diharap dapat mengembangkan lagi bakat dan potensinya dalam dunia lakonan.
Dalam masa sama, beliau juga dijemput ke Kashmir untuk akhir bulan ini untuk mencuba pelbagai aktiviti lasak di negara berkenaan.
Bagi mengekalkan identiti Mak Kiah Ferry, Fatin Farhana akan tetap menyarung baju kelawar dan topi keledar kesayangannya.
Ketika ditanya jumlah koleksi uniformnya, ia dianggarkan mencecah lebih 100 helai termasuk yang dihadiahkan jenama-jenama terkenal.
Malah, beliau turut mengeluarkan koleksi kaftan eksklusif, Mak Kiah Ferry buat para peminat. – UTUSAN










