BESUT: Hasrat seorang pemuda dari Kampung Apal di sini, menjalani kehidupan normal seperti insan lain belum kesampaian selepas lebih tiga dekad hidup tanpa sijil kelahiran dan kad pengenalan diri (MyKad).
Masalah itu timbul kerana sijil nikah ibu dan bapanya yang didakwa melibatkan sindiket suatu ketika dahulu menyebabkan Muhd. Amirul Asyraf Abdul Aziz, 33, terpaksa menanggung kesan sehingga dewasa.
“Pelbagai usaha dilakukan sejak saya berusia belasan tahun termasuk berulang-alik ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi mendapatkan dokumen pengenalan diri, namun sehingga kini masih buntu,” katanya ketika ditemui di Kampung Apal.
Menurut Muhd. Amirul Asyraf, pelbagai cabaran terpaksa dihadapi demi mendapatkan pengiktirafan kerakyatan termasuk perlu mengemukakan bukti dan memenuhi syarat yang ditetapkan pihak berkaitan.
Katanya, antaranya mengemukakan saksi kelahiran iaitu bidan yang menyambut kelahirannya di Rantau Panjang, Kelantan selain tujuh lagi saksi yang boleh mengesahkan kelahirannya.
“Saya macam hidup sebagai pelarian dalam negara sendiri sebab tiada dokumen pengenalan. Sampai sekarang saya tak pernah dapat rawatan di klinik atau hospital.
“Setiap kali raya saya ke Rantau Panjang untuk cuba cari saksi kelahiran tetapi ramai sudah meninggal dunia termasuk ibu saudara yang pernah menjadi saksi kelahiran saya,” katanya.
Ujarnya, dia dimaklumkan bidan yang menyambut kelahirannya sudah meninggal dunia dan usaha menjejaki waris bagi mendapatkan pengesahan masih dilakukan.
“Saya hanya sempat bersekolah sehingga tahun tiga sebelum terpaksa berhenti kerana tidak ada sijil kelahiran dan kad pengenalan. Saya juga beberapa kali hampir putus asa namun tetap meneruskan usaha demi masa depan yang lebih terjamin,” katanya.
Sementara itu, ibunya, Suryah Zakaria, 60, mengakui tidak menyangka masalah berkaitan sijil nikah yang didakwa melibatkan sindiket suatu ketika dahulu menyebabkan anaknya terpaksa menanggung kesan sehingga dewasa.
Katanya, dia berkahwin dengan bapa Muhd. Amirul Asyraf di Rantau Panjang, Kelantan dan dinikahkan oleh jurunikah daripada negara Thailand.
“Ketika menguruskan sijil kelahiran Muhd. Amirul Asyraf, kami mengalami kesukaran apabila pihak jabatan agama Islam mengesahkan sijil kahwin tidak sah kerana melibatkan sendiket penipuan perkahwinan,” katanya. – UTUSAN










