‘Apam King’ durian kampung premium - Utusan Malaysia

‘Apam King’ durian kampung premium

AZRIEL Shazreen Izani menunjukkan durian Apam King di gerainya di Kampung Balok, Kuantan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Di sebalik lambakan pelbagai varieti durian premium di pasaran, muncul sejenis durian kampung yang semakin mendapat perhatian penggemar raja buah kerana rasanya yang unik sehingga diberi gelaran ‘Apam King’.

Walaupun belum pernah direkodkan oleh Jabatan Pertanian sebagai varieti rasmi, durian itu memiliki isi yang tebal, gebu seperti apam, biji kecil dan rasa lemak manis yang mampu menandingi durian premium lain.

Peniaga, Azriel Shazreen Izani, 31, berkata, nama Apam King diberi berdasarkan tekstur isinya yang lembut, gebu dan tebal.

Katanya, durian itu diperoleh daripada seorang pekebun di Jementah, Johor yang hanya mempunyai sebatang pokok menghasilkan buah dengan ciri-ciri sedemikian.

“Setiap hari saya hanya menerima sekitar 10 hingga 15 biji. Bekalannya sangat terhad kerana hanya datang daripada pokok tersebut.

“Saya tidak pasti sama ada varieti yang sama ada di tempat lain. Kalau ada sekalipun, mungkin menggunakan nama yang berbeza kerana nama Apam King ini hanya pihak kami yang berikan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kampung Balok di sini.

Azriel Shazreen berkata, dia menemukan durian berkenaan ketika pandemik Covid-19 dan sejak itu sambutan terhadapnya semakin meningkat dari tahun ke tahun.

Dia yang sudah enam tahun berniaga durian berkata, bagi mereka yang arif tentang durian pasti dapat membezakan ciri luaran Apam King berbanding durian kampung lain.

Katanya, pelanggan yang pernah merasai durian itu kebanyakannya akan datang semula untuk mendapatkannya, malah setiap kali tiba musim durian, pasti ada pelanggan yang bertanya sama ada Apam King sudah ada untuk dibeli.

“Sambutannya memang menggalakkan kerana orang yang pernah rasa biasanya akan datang semula. Setiap tahun pun ada pelanggan yang memang mencari Apam King,” katanya.

Azriel Shazreen berkata, durian itu dijual antara RM30 hingga RM35 sekilogram, namun bekalan yang terhad menyebabkan tidak semua pelanggan berpeluang merasainya.

Menurutnya, jika suatu hari varieti itu direkodkan secara rasmi oleh Jabatan Pertanian, tidak mustahil nilainya akan meningkat seperti varieti premium lain yang mendapat pengiktirafan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN