KEKUATAN, keutuhan dan keperibadian sesuatu bangsa amat berkait rapat dengan proses pendidikan yang diperoleh oleh generasinya.
Melalui proses pendidikan sesuatu bangsa itu dapat membangun tamadunnya yang meliputi seluruh aspek kehidupan.
Pembinaan tamadun atau peradaban yang menyeluruh itu hanya mampu dibina melalui sistem pendidikan yang dirangka dan dibangunkan secara sistematik, holistik (syumul) dan terarah.
Tanggapan umum selalunya menyatakan bahawa tanggungjawab pendidikan itu adalah di bawah bidang kuasa pemerintah yang bertanggungjawab merangka dan menyediakan sistem pendidikan yang meliputi prasarana, kurikulum dan pengisiannya.
Justeru, apabila berlakunya sesuatu kepincangan dalam masyarakat, maka sistem pendidikan negara sering menerima kritikan kerana dikatakan gagal melahirkan generasi yang baik dan bertanggungjawab.
Memang tidak dinafikan dari sudut menyediakan pendidikan formal bagi masyarakat yang besar (negara) merupakan tanggungjawab penting yang harus dipikul oleh pemerintah.
Namun, jangan kita lupa atau abaikan bahawa dalam Islam, institusi keluarga merupakan landasan awal dan penting dalam mendidik dan membentuk keperibadian generasi yang baik dan bertanggungjawab.

Al-Quran mengingatkan kita bahawa sesebuah keluarga itu bertanggungjawab memelihara seluruh ahli keluarganya daripada bakaran api neraka ( al-Tahrim: 6). Demikian juga hadis yang masyhur dalam menerangkan pentingnya pendidikan anak-anak bermaksud: “Setiap bayi itu dilahirkan dengan fitrah dan ibu-bapalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi”.
Dari maksud al-Quran dan hadis itu jelas memberi isyarat kepada kita bahawa pendidikan, khususnya yang berkaitan agama (tauhid, ibadah dan akhlak) merupakan proses yang mesti bermula dari institusi keluarga.
Hakikatnya, institusi keluarga menjadi platform penting melahirkan generasi yang memiliki jati diri Muslim yang berkualiti, cemerlang dan sihat jasmani dan rohaninya.
Sebagai pendidik dan pembimbing, ibu bapa bertanggungjawab mengasuh, memupuk dan membentuk keperibadian anak-anak ke arah menjadi insan yang beradab dan berperibadi mulia.
Ia adalah amanah dan tanggungjawab yang tidak boleh diabaikan.
Dr. Sidek Baba menjelaskan bahawa pendidikan dalam tradisi Islam memberikan penekanan terhadap ‘memperadab’ insan dengan kekuatan ilmu, amal dan akhlak.
Profesor Syed M. Naquib Al-Attas juga menyebut bahawa pendidikan adalah usaha “penyemaian dan penanaman adab dalam diri seseorang” dan proses ini dinamai ‘ta’dib’.
Menurutnya, konsep ta’dib ini jika difahami secara tepat maka ia sebenarnya mengandungi unsur-unsur ‘ilm, ta’lim (pengajaran) dan tarbiyyah (penyuburan yang baik).
Tarbiyah adalah elemen pendidikan yang melibatkan pengembangan fizikal dan emosi manusia, manakala ta’lim pula terbatas pada pengajaran dan pendidikan kognitif (minda).
Ta’dib adalah istilah yang menurut Syed M. Naquib meliputi pendidikan intelektual, spiritual (kerohanian) dan sosial. Justeru bila disebut ta’dib maka di dalamnya terkandung elemen ta’lim dan tarbiyah.
Unsur-unsur pendidikan tersebut mestilah bermula sejak peringkat kanak-kanak melalui sentuhan dan bimbingan ibu-bapa dan kemudian dilanjutkan melalui sistem pendidikan formal apabila kanak-kanak tersebut memasuki alam persekolahan sehingga ke pengajian tinggi.
Maknanya sistem pendidikan formal dari peringkat sekolah sehingga ke peringkat pengajian tinggi juga mesti tidak boleh dipisahkan dari unsur ‘memperadabkan’ insan.
Untuk memenuhi tugas dan peranan melahirkan insan yang beradab maka ia mesti dimulakan oleh ibu bapa. Mereka tidak boleh melepaskan tangan kepada institusi formal yang disediakan oleh pemerintah semata-mata.
Selain pembentukan adab, ibu bapa juga patut memberikan kefahaman asas dalam ilmu-ilmu agama. Ini boleh difahami dari pendidikan Luqman terhadap anaknya seperti yang terkandung dalam Surah Luqman.
Antaranya, pendidikan tauhid dalam ayat 13 Surah Luqman yang bermaksud, “Wahai anakku, janganlah engkau mempersekutukan Allah, sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar”.
Ayat 17 pula berkaitan melaksanakan ibadah dan amar makruf nahi mungkar yang bermaksud, “Wahai anakku, dirikanlah solat, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan kemungkaran, dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang diwajibkan”.
Demikian juga dalam bab adab dan akhlak dari ayat 18 dan 19 yang bermaksud, “Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong lagi membanggakan diri.”, dan ayat 19, “Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai”.
Justeru, sebaik mungkin ibu bapa perlu memiliki ilmu, sekurang-kurangnya pengetahuan asas dalam ilmu akidah, ilmu fiqah dan ilmu akhlak, manakala memiliki pengetahuan dalam ilmu-ilmu keduniaan merupakan satu kelebihan dalam memantapkan penguasaan ilmu anak-anak. Islam telah menetapkan garis panduan dalam usaha mendidik dan memperbaiki akhlak anak-anak.
Ibu bapa Muslim yang baik sepatutnya terlebih dahulu mengenal pasti tabiat anak dan sifatnya sebelum menggunakan uslub tertentu dalam membimbing serta mendidik mereka.
Satu perkara penting dalam pendidikan adab ialah ibu bapa itu sendiri harus mampu melaksanakan aplikasi nilai, iaitu mempamerkan contoh teladan dalam kehidupan seharian secara praktikal dan berkesan kepada anak-anaknya.
Dalam konteks ini, ibu bapa perlu memiliki kualiti diri (keperibadian) yang dapat dijadikan contoh terbaik kepada anak-anaknya. Kelemahan dalam hal ini boleh menyebabkan proses mendidik menjadi kurang berkesan.
Contohnya, seorang bapa yang menyuruh anaknya supaya tidak merokok tetapi dia sendiri mengamalkan tabiat merokok walaupun berada bersama keluarga atau anak-anaknya sendiri.
Sikap seperti ini menunjukkan ibu bapa gagal mengaplikasi nilai ketika membimbing dan mendidik anaknya.
Hakikatnya, dalam mendidik, ibu bapa Muslim perlu menggunakan kaedah atau uslub yang berkesan dalam mendidik supaya anak-anak dapat memahami dengan sempurna tunjuk ajar yang diberikan.
Melalui kaedah yang berkesan maka proses pentarbiyaan akan berlaku dengan baik di mana si anak akan mampu menterjemahkan segala ajaran ibu bapa dalam bentuk amalan.
Anak mesti diajar, dibimbing dan dibentuk supaya mengamalkan nilai-nilai yang mulia yang dapat memberikan manfaat kepada masyarakat sekeliling.
Menyemai dan menanam nilai-nilai mulia kepada anak-anak memerlukan kesabaran dan tempoh yang agak lama bermula sejak kecil lagi.
Elemen penghayatan akan terbentuk apabila mereka diajar tentang ‘kepatuhan’ secara praktikal yang berterusan sehingga apabila mereka meninggalkan sesuatu amalan mulia maka jiwanya akan merasa tidak selesa atau serba salah sehingga mendorongnya bermuhasabah untuk tidak mengulangi kesilapan yang dilakukan. – UTUSAN
PENULIS ialah penganalisis sosiopolitik bebas.










