KESIBUKAN sebagai surirumah tidak menghalang Nur Az’zahraa Shamsuddin, 34, untuk memelihara hamster sebagai haiwan peliharaan sejak November 2016.
Hamster, si kecil berbulu lembut, merupakan salah satu haiwan peliharaan yang sering menarik perhatian pencinta haiwan.
Nur Az’zahraa Shamsuddin berkata, hamster mungkin kecil, tetapi keletah mereka sering mencuri perhatian dan menghiburkan hati pemiliknya.
Walaupun sibuk menguruskan dua anak kecil, dia tetap meluangkan masa untuk menjaga tiga haiwan kesayangannya yang diberi nama Fintell, Orked, dan Saloma.
“Setiap hamster ada gelagat tersendiri dan tanpa disedari ia menjadi terapi yang menghiburkan saya setelah penat melakukan kerja rumah.
“Contohnya, Fintell suka berlari dalam roda sambil mengunyah makanan,” katanya kepada Seri.
Menurut Nur Az’zahraa, antara aktiviti kegemaran hamster adalah mencari makanan dan Fintell tidak terkecuali.
Dalam satu eksperimen, snek diletakkan di dalam bola rotan dan Fintell menunjukkan kesungguhan luar biasa untuk mencapainya.
“Dia memang tak putus asa untuk mendapatkan snek itu. Tak kira betapa susah sekalipun, ia berusaha tanpa henti, sehinggalah berjaya mendapatkannya,” ujarnya.
Katanya, Orked pula gemar menyepahkan sangkar setiap kali dibersihkan dan dihias.
“Saya bersusah payah mencantikkan sangkar, tetapi sekelip mata ia bersepah seperti dilanda tsunami,” katanya.
Dalam pada itu, Nur Az’zahra berkongsi gaya tidur hamsternya yang unik.
Ujarnya, Saloma gemar tidur dalam pelbagai posisi dan macam-macam gaya ditunjukkan.
“Gelagat hamster bukan sahaja menghiburkan tetapi juga menjadi bukti betapa haiwan kecil ini penuh dengan keperibadian unik,” katanya.

PENJAGAAN
Berkongsi tentang penjagaan, katanya, hamster memerlukan ruang yang luas untuk hidup dan menjalani aktiviti dengan selesa.
Katanya, sangkar hamster harus berukuran minimum 800 inci persegi dengan dilengkapi alas.
“Si comel ini memerlukan alas sangkar yang tebal dengan kedalaman sekurang-kurangnya 9 hingga 15 inci untuk membina terowong dan sarang,” katanya.
Sementera itu, Nur Az’zahra berkata, makanan utama hamster ialah bijian berkualiti tinggi, serangga kecil seperti cengkerik dan ulat tepung di samping sayur dan buah.
Selain itu, kebersihan juga adalah aspek penting dalam penjagaan hamster.
Pasir mandi seperti pasir gurun digunakan untuk menjaga kebersihan dan mengawal minyak pada bulu mereka.
“Kebersihan sangkar pula dilakukan secara menyeluruh setiap 5 hingga 6 bulan, manakala barang kotor seperti bedding, pasir dan aksesori dibersihkan secara berkala.
“Dengan penjagaan yang betul, sangkar hamster tidak akan berbau atau menjadi tempat pembiakan kuman,” jelasnya.










