DILEMA seorang isteri sering kali melibatkan pertentangan antara pelbagai tanggungjawab dan harapan dalam kehidupan perkahwinan.
Ini termasuklah membahagikan masa antara kerja dan keluarga, menjaga hubungan dengan keluarga mentua dan mengimbangi tanggungjawab rumah tangga dan kehidupan sosial.
Minggu ini saya kongsikan kisah, Raihana (bukan nama sebenar) yang pernah terperangkap antara cinta dan tanggungjawab kepada suami dan adik kandung.
Memulakan cerita pada pertemuan dengan saya baru-baru ini wanita berusia pertengahan 30 an itu berkata, dia merupakan anak sulung daripada dua orang adik-beradik.
Sejak kedua ibu bapa meninggal, dia mengambil alih peranan sebagai pelindung dan penjaga utama kepada adiknya Jue (bukan nama sebenar) ketika itu berusia 16 tahun yang sedang menuntut di sekolah menengah.
Pada masa yang sama, dia telah berkahwin dengan Zainal (bukan nama sebenar) selama dua tahun.
Pada awalnya, rumah tangga mereka baik-baik sahaja. Namun segalanya berubah selepas beberapa bulan Jue melanjutkan pengajian di universiti.
Jue yang dahulunya seorang yang ceria dan penuh semangat bertukar 360 darjah. Dia sering murung dan lebih banyak meluangkan masa sendirian. Setiap kali pulang bercuti, Jue suka mengurungkan diri di bilik.
“Pada awalnya saya fikir itu hanyalah fasa biasa bagi seorang penuntut. Namun hari semakin hari tingkah lakunya semakin pelik.
“Ditanya sepatah, dijawab sepatah. Perubahan dirinya membuatkan saya benarbenar risau,” cerita Raihana.
Berkongsi kisah, kata Raihana, adiknya itu semakin menunjukkan tanda-tanda kemurungan yang lebih serius.
Tidak mahu makan, susah tidur dan lebih suka meluahkan perasaan putus asa dan kebimbangan.
Raihana cuba untuk mengajak Jue meluahkan perasaan apa yang terpendam dan cuba menghiburkannya namun sia-sia.
Raihana akhirnya memutuskan untuk mencari bantuan profesional. Proses itu bukan mudah. Jue pada awalnya menolak terapi. Dia mengakui berasa malu dan takut dengan penilaian orang.
Namun kata Raihana, dia berjaya memujuk adiknya itu untuk menjalani rawatan psikologi.
Selama berbulan-bulan Raihana belajar lebih banyak tentang penyakit mental, kemurungan dan cara untuk membantu adiknya itu.
“Saya sedar ini bukanlah sesuatu yang boleh diselesaikan dengan masa sehari dua.
“Saya berjanji kepada diri sendiri untuk menjaga adik dengan sebaik mungkin dan sentiasa ada untuknya,” ujar Raihana.
Dalam melalui ujian itu, Raihana mengakui turut menghadapi cabaran peribadi, Rumahtangganya hampir goyah disebabkan dia terlalu memberi tumpuan kepada adiknya itu.
Pada mulanya, suami memahami tanggungjawabnya terhadap Jue. Namun seiring berjalannya waktu, perhatian dan masa diberikan Raihana terhadap adik kandungnya itu semakin mengganggu keharmonian rumah tangga mereka.
Setiap kali Jue ada masalah, Raihana akan segera membantu, tanpa mengira siang malam. Itu belum lagi temujanji rawatan susulan, Raihana akan sentiasa menemani.
Dia juga sering membatalkan rancangan bersama suami demi memastikan adiknya selesa dan menerima rawatan yang diperlukan.
Di pihak Zainal mula berasa tidak puas hati. Dia merasakan perkahwinan mereka mula renggang dan berasakan Raihana lebih mementingkan adik daripada keluarga mereka sendiri.
“Kami sering bergaduh mengenai hal itu. Ada ketika saya sangat putus asa dan marah pada situasi itu,” ujar Raihana.
Sejujurnya kata Raihana dia sendiri berasa tertekan. Dia sayangkan perkahwinan mereka, tetapi pada masa sama Jue memerlukannya.
“Saya sering berasa serba salah kerana tidak mampu memberi sepenuh perhatian kepada kedua-dua orang yang saya cintai,” katanya lagi.
Sehinggalah pada suatu hari, Raihana mengambil keputusan untuk duduk bersama suaminya untuk berbincang dari hati ke hati.
Kata Raihana dia cuba menjelaskan kepada suami betapa pentingnya Jue dalam hidupnya dan mengapa dia berasa bertanggungjawab terhadap adiknya itu.
Ketika itu juga dia menyatakan betapa menghargai suami dan keinginannya untuk memenuhi peranan tersebut, walaupun terasa berat.
“Alhamdulilah, sejak mendengar penjelasan tersebut, suami mulai menyedari betapa besar bebanan yang ditanggung saya. Dia sudah sedar saya memerlukan lebih daripada sekadar pengertian. Sebaliknya, memerlukan sokongan termasuk membantu saya mengimbangi tanggungjawab tanpa merasakan saya harus memilih suami dan adik,” katanya.
Sambung Raihana, akhirnya mereka memutuskan untuk sama-sama membantu Jue. Kini kata Raihana, suaminya lebih memahami dan menyokongnya dalam situasi apapun.
Dengan komunikasi lebih terbuka, dia dan suami mula membina kembali hubungan mereka tanpa mengabaikan Jue.
Mereka mula mencari sokongan dan menyertai kumpulan bagi keluarga yang menghadapi situasi sama. Di situ dia menemukan ramai lagi orang yang berjuang seperti dirinya.
Selepas menjalani terapi berterusan, sokongan keluarga, adiknya semakin sembuh. Raihana mulai nampak kegembiraan pada wajah adiknya itu.
Kisah Raihana boleh dijadikan pengajaran bahawa sokongan keluarga dapat memberi cahaya di tengah kegelapan yang disebabkan penyakit mental.
Raihana tidak hanya membantu adiknya untuk sembuh, tetapi menemukan kekuatan baru dalam dirinya.
Ia juga menggambarkan pentingnya pengertian dan kesabaran dalam menghadapi ujian kesihatan mental dalam keluarga.
Bagi mereka yang menghadapi situasi serupa kata Raihana, penting untuk mencari bantuan dan tidak menghadapinya sendirian.
“Komuniksi sangat penting bagi wanita yang sudah berkahwin terutama ketika berhadapan dengan tanggungjawab keluarga yang berat.
“Meskipun cabaran boleh menguji hubungan, dengan pemahaman dan kerjasama, Insya-Allah setiap pasangan boleh mengatasi apa sahaja yang datang dalam perjalanan rumahtangga,” ujarnya.
Kisah Raihana ini boleh dijadikan pengajaran bahawa kita sendiri perlu memahami erti dan tujuan perkahwinan itu sendiri.
Sebagaimana firman Allah SWT bermaksud: Dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (Hawa) dan daripada kedua-duanya Allah mengembang biakkan lelaki dan perempuan yang ramai. (AnNisa:5).









