IMPAK pandemik menyebabkan banyak pusat rawatan kecantikan dan spa di negara ini terpaksa gulung tikar.
Namun, Tini’s Spa Beauty Slimming masih berdiri kukuh dalam industri dengan pelbagai pencapaian yang diraih sejak 2005 hingga kini.
Pengasasnya, Hartini Halim, 45, berkata, mempertahankan perniagaan dalam tempoh hampir dua dekad itu bukan tugasan mudah apatah lagi pernah berdepan cabaran kuat ketika Covid-19.
Namun, semangat tidak putus asa dan motivasi tinggi membolehkan wanita ini terus menerajui Tini’s Spa di samping memiliki hampir 20,000 pelanggan di keempat-empat cawangan.
Cawangan tersebut ialah di Shah Alam (Seksyen 7), Ampang (Dagang Avenue), Bangi (Seri Bangi, Seksyen 8) dan di Taman Tun Dr. Ismail (TTDI).
Katanya, kejayaan itu turut didorong oleh tiga elemen penting yang menjadi amalannya selama ini.
“Kami amat menghargai pelanggan termasuk meraikan mereka dalam acara ulang tahun penubuhan kita, saban tahun.
“Selain itu, kami di Tini’s Spa sentiasa memperkenalkan rawatan baharu dan moden agar golongan sasar tidak bosan sekali gus dapat menarik mereka untuk datang ke Tini’s Spa,” katanya kepada Seri ketika Sambutan Ulang Tahun Ke-19 di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Hadir sama, suaminya, Shah Rizan Ahmad, 45, dan lebih 150 pelanggan di seluruh cawangan.
Tini’s Spa bukan sekadar memberikan perkhidmatan wajah, urutan dan pelangsingan semata-mata, sebaliknya turut menyelesaikan setiap masalah pelanggan.
Kelebihan itu membolehkan spa miliknya menjadi pilihan ramai tanpa mengira usia dan latar belakang.Ujar Hartini, misinya adalah untuk memberi nilai tambah kepada kehidupan para pelanggan agar dapat menikmati gaya hidup yang berkualiti di sisi keluarga di samping menambah keyakinan diri seseorang.
“Contohnya, ada pelanggan yang bertahun-tahun berdepan kesulitan untuk solat kerana sakit kaki yang dialami di samping sukar hamil akibat berat badan berlebihan.
“Tetapi, selepas menjalani rawatan menguruskan badan Indiba, kini mereka dapat beribadah dengan sempurna dan dikurniakan rezeki mengandung.
“Ini merupakan antara kisah-kisah inspirasi pelanggan yang menyuntik motivasi saya dan seluruh pasukan untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik,” katanya yang merupakan bekas eksekutif akademik di sebuah kolej.
TAMBAH CAWANGAN
Dalam usaha membentuk pelapis, Hartini melatih kakitangannya dengan nilai-nilai kepimpinan.
Katanya, strategi itu penting selaras usaha untuk mengembangkan perniagaan ke skala lebih besar.
“Kejayaan saya adalah hasil kerja sepasukan dan berazam untuk menghasilkan lebih ramai ‘Hartini’ sebagai pelapis di Tini’s Spa.
“Ketika ini 70 peratus daripada keseluruhan 30 kakitangan sudah bergelar pengurus dan juruterapi senior berpengalaman,” katanya.
Hartini turut komited untuk melebarkan sayap perniagaannya dengan menambah enam lagi cawangan baharu di sekitar Lembah Klang.
Katanya, jumlah itu disasarkan untuk dicapai dalam tempoh tiga tahun akan datang, menjelang 2027.
“Dalam masa terdekat, satu cawangan baharu bakal dibuka.
“Ketika ini beberapa lokasi sudah dikenal pasti antaranya di Cyberjaya, Rawang, Puncak Alam, Cheras dan Wangsa Maju,” katanya.
RAWATAN BAHARU
Dalam majlis itu, Hartini melancarkan dua rawatan terbaharu iaitu S Line Slimming dan S Line Double Chin Treatment.
Harga percubaan pertama untuk rawatan itu bermula daripada RM699.
Turut dilancarkan produk krim mata, Phyto Nature Lifting Cream keluaran jenama Dermalogica.
“Kebanyakan kaum hawa berdepan masalah perut menggelebeh dan dagu berlapis.
“Rawatan baharu ini dijangka dapat merealisasikan impian pelanggan kami untuk tampil sihat, muda dan lebih berkeyakinan,” katanya.
Rawatan pembakaran lemak itu kini ditawarkan di semua cawangan Tini’s Spa.











