Kumpul duit belanja sekolah beli 900 komik

Kumpul duit belanja sekolah beli 900 komik

Nur Fikriyah menunjukkan koleksi komiknya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJAK usianya 11 tahun, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kinarut di Papar, Sabah ini sudah mula menabung secara kecil-kecilan untuk merealisasikan hobinya.

Setiap hari, sebanyak RM6 disimpan daripada duit belanja sekolahnya bagi membeli barangan kegemaran iaitu komik. Nur Fikriyah Mohd. Nizam, 14, memilih pendekatan itu kerana tidak mahu membebankan kedua ibu bapanya 100 peratus.

Kegigihan berjimat-cermat membolehkan anak kedua daripada empat beradik ini memiliki sejumlah 871 buah komik dalam tempoh singkat.

Kesemua komik keluaran Gempak Starz itu dikumpul dari 2021 hingga kini. Katanya, minat membaca dipupuk ketika berumur sembilan tahun setelah membeli lima bahan bacaan di kedai buku.

“Komik pertama saya adalah tentang kucing dan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2021, ayah menghadiahkan saya tiga lagi komik iaitu daripada siri Barisan Hadapan.

“Siri itu sangat menyeronokkan dan membuatkan saya nekad untuk mengumpul komik sebagai hobi,” katanya kepada Seri baru-baru ini.

Siri Barisan Hadapan sebanyak 12 jilid itu merupakan komik kegemaran remaja ulat buku dari Kampung Gusi ini.

Istimewanya, Nur Fikriyah turut membeli versi bahasa Inggeris dan Mandarin, selain bahasa Melayu. Ia sekali gus menjadikan jumlah koleksinya dalam siri tersebut berjumlah 36 jilid.

“Walaupun tidak memahami bahasa Mandarin tetapi saya tetap membelinya sebagai kenangkenangan,” katanya.

Antara komik lain yang diminatinya ialah Aku Dengar Kat…, X-Venture, Doraemon, Black Rose, Jujutsu Kaise, Le.Gardeníe Love Note, Benda Pelik, Lawak Raja Miau dan Juara Dunia.

Nur Fikriyah berkata, pelaburannya dalam hobi mengumpul komik itu dianggarkan mencecah RM10,000.

Kebiasaannya, dia membeli lima komik baharu pada setiap bulan. Purata harga bagi sebuah komik adalah antara RM13 hingga RM17, berkuatkuasa pada 2021 berbanding sebelumnya kira-kira RM9.

Tiada istilah membazir kerana hobi itu membawa 1,001 keseronokan dan motivasi padanya.

“Sebelum ini saya tidak pernah ada apa-apa hobi tetapi komik mengubah kehidupan saya dan cara berfikiran,” katanya.

SETIAP hari remaja ini akan meluangkan masa membaca komik kegemaran

ULANG BACA LEBIH 50 KALI

Remaja ini tidak pernah jemu atau bosan membaca koleksi komiknya, setiap hari. Percaya atau tidak, sudah lebih 50 kali dia mengulangi pembacaan terutama bagi siri Barisan Hadapan.

Katanya, komik tentang dunia kepolisan yang penuh aksi dan mendebarkan itu mendidik pembaca mengenai usaha pasukan keselamatan dalam membanteras kegiatan jenayah.

“Mungkin ada yang menganggap komik sekadar bahan hiburan dan lawak semata-mata tetapi sangkaan itu tidak tepat.

“Ia sebenarnya sarat dengan ilmu akademik dan kerjaya di samping nilai-nilai murni seperti persahabatan, bertanggungjawab serta keyakinan dan keselamatan diri,” katanya.

Nur Fikriyah berkata, komik yang baharu dibeli lazimnya akan terus dibaca dan diselesaikan dalam tempoh sesingkat 30 minit.

Bagaimanapun, bagi halaman  yang tebal, dia mengambil masa kira-kira sejam untuk menamatkan pembacaan.

Kebanyakan koleksinya adalah keluaran penulis tempatan, manakala kakak yang berusia 16 tahun pula cenderung membaca komik dari Jepun.

Antara koleksi paling lama yang dimiliki ialah keluaran 2003 iaitu kira-kira 21 tahun lalu.

“Biasanya siri-siri popular sentiasa dicetak semula, sebab itulah saya dapat mengumpul jilid terawal, walaupun ia terbit sebelum saya lahir,” katanya.

PERPUSTAKAAN MINI

KOLEKSI siri Barisan Hadapan dalam tiga bahasa iaitu Melayu, Inggeris dan Mandarin

Tidak pernah terlintas di fikirannya untuk memiliki perpustakaan peribadi di rumah, namun impian itu berjaya dicapai awal tahun ini.

Nur Fikriyah mendapat inspirasi tersebut daripada pengumpulpengumpul buku di luar negara.

Lantas dia memanfaatkan ruangan kosong di tingkat atas rumah bagi menyimpan koleksi komik dimiliki.

Menariknya, segala proses menyusun atur dan menghias perpustakaan mini itu dilakukan sendiri secara berperingkatperingkat.

Kini, dia boleh menarik nafas lega kerana kewujudan ruangan tersebut menceriakan lagi suasana kediaman dua tingkat keluarganya.

Selain dipuji ibu bapa, perpustakaan mininya turut mencuri perhatian warga TikTok selepas video mengenainya tular di platform berkenaan.

Video yang dimuat naik pada 18 Jun lalu berjaya meraih lebih 25,000 tontonan, 3,000 tanda suka, 197 komen dan 128 perkongsian.

“Paling terkejut dan terharu apabila admin Gempak Starz meninggalkan komen pada video saya,” katanya.

Bagi mencantikkan lagi ruangan itu, Nur Fikriyah menampal beberapa poster siri komik yang diperolehi secara percuma di samping meletakkan koleksi pin dan figura kegemarannya.

Katanya, perpustakaan mini itu turut menjadi tempatnya menyiapkan kerja sekolah di samping membaca buku.

Impi jadi penulis, pelukis

MINAT mendalam pada komik mendorong Nur Fikriyah menanam impian untuk bergelar penulis dan pelukis di masa depan.

Antara idolanya ialah Oga yang merupakan penulis siri Barisan Hadapan.

“Sebelum ini saya pernah pergi ke sesi meet & greet bersama barisan penulis komik di Kuala Lumpur tetapi disebabkan lewat sampai, tidak berkesempatan untuk berjumpanya.

“Saya memang suka melukis manakala penulisan pula saya baharu nak berjinak-jinak cuba dengan menggunakan aplikasi kecerdasan buatan (AI),” katanya.

Antara cita-cita lainnya ialah guru bahasa dan peguam.

Dalam pada itu, Nur Fikriyah mengakui tidak berhasrat untuk menjual koleksi komiknya, buat masa ini.

Namun, dia tidak menolak kemungkinan akan berbuat demikian seandainya minat itu mula hilang apabila menginjak dewasa kelak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN