BAGHDAD: Badan kehakiman Iraq pada Isnin merampas lebih AS$14 juta (RM56.9 juta) daripada seorang timbalan menteri yang ditahan pada Ahad bersama beberapa individu lain dalam operasi besar-besaran antirasuah yang dijalankan kerajaan.
Majlis Kehakiman Tertinggi Iraq berkata, siasatan awal terhadap Timbalan Menteri Minyak bagi Hal Ehwal Pengedaran Ali al-Bahadli, membawa kepada rampasan AS$11 juta (RM44.7 juta) selain empat bilion dinar Iraq dianggarkan lebih AS$3 juta (RM12 juta).
Pihak berkuasa turut merampas beberapa hartanah, manakala siasatan lanjut masih diteruskan.
Tindakan itu merupakan sebahagian daripada kempen antirasuah Perdana Menteri, Ali al-Zaidi. Operasi itu dimulakan pada Ahad apabila pasukan keselamatan menyerbu Zon Hijau Baghdad dan beberapa kawasan lain selain menahan pegawai-pegawai.
Agensi berita Iraq, INA, melaporkan 47 individu termasuk ahli Parlimen ditahan. Namun, jurucakap kerajaan, Haidar al-Aboudi kemudian mengesahkan jumlah itu kepada 21 orang.
Seperti pentadbiran terdahulu, Zaidi berikrar untuk membanteras rasuah dan salah urus yang sekian lama membelenggu Iraq.
Rasuah dilaporkan sangat berleluasa dalam institusi awam negara itu. Bagaimanapun, sabitan biasanya hanya melibatkan pegawai peringkat pertengahan atau individu kecil dan jarang sekali menyentuh golongan atasan dalam hierarki kuasa.
Awal bulan ini, pihak berkuasa merampas lebih AS$85 juta (RM345.9 juta) dalam satu kes rasuah membabitkan pegawai Kementerian Minyak, Adnan al-Jumaili,yang ditahan pada Mei.
Menurut INA, suspek baharu ditahan pada Ahad berdasarkan pengakuan yang dibuat oleh Jumaili.
Ali al-Zaidi, yang baru sahaja memegang jawatan dengan sokongan Amerika Syarikat (AS), dijadualkan melawat Washington pada akhir bulan lalu. – AFP










