Mexico tamatkan kemarau 40 tahun, benam Ecuador 2-0

Mexico tamatkan kemarau 40 tahun, benam Ecuador 2-0

PEMAIN Mexico meraikan kejayaan mara ke peringkat 16 terbaik selepas membenam Ecuador 2-0 di Mexico City sebentar tadi-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEXICO CITY: Mexico akhirnya menamatkan penantian selama 40 tahun untuk mencatat kemenangan aksi kalah mati Piala Dunia apabila menewaskan Ecuador 2-0 di Stadium Azteca, dalam perlawanan yang tertangguh sejam akibat ribut, sebentar tadi.

Skuad tuan rumah bersama tampil meyakinkan sebaik perlawanan bermula, dengan sokongan padu ribuan penyokong yang membanjiri stadium bersejarah itu.

Julian Quinones menjadi wira awal apabila meledak gol pembukaan pada minit ke-22 hasil rembatan deras selepas menerima hantaran Roberto Alvarado, sebelum menambah bantuan jaringan untuk gol kedua yang disempurnakan oleh penyerang Raúl Jiménez lapan minit kemudian.

Ecuador yang cuba bangkit selepas rehat tetap buntu menembusi benteng tuan rumah, meskipun beberapa kali mengancam menerusi John Yeboah dan Kevin Rodriguez.

Kemenangan itu sekali gus menamatkan kemarau Mexico dalam aksi kalah mati Piala Dunia sejak kali terakhir melakukannya pada edisi 1986 ketika mereka juga menjadi tuan rumah.

Skuad bimbingan Javier Aguirre turut mengekalkan rekod cemerlang tanpa bolos sepanjang kempen kumpulan, sebaris dengan Perancis dan Argentina.

Sementara itu, Ecuador yang dikendalikan Sebastián Beccacece terpaksa akur apabila perjalanan mereka terhenti di pusingan 32 terakhir.

Mexico kini menanti cabaran seterusnya di pusingan 16 terakhir menentang sama ada England atau Republik Demokratik Congo, dengan keyakinan semakin memuncak untuk melangkah lebih jauh di bumi sendiri.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN