‘Saya tidak teragak-agak halau Yang Berhormat’ - Utusan Malaysia

‘Saya tidak teragak-agak halau Yang Berhormat’

RAMLI MOHD NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Dr. Ramli Mohd Nor memberi amaran kepada Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) supaya menjaga adab ketika di dalam Dewan Rakyat.

Tegasnya, beliau tidak teragak-agak mengambil tindakan kepada Mohd Sany supaya keluar dewan jika terus mengganggu perjalanan mesyuarat.

“Yang Berhormat, majlis (Dewan Rakyat) ada adab. Sekali lagi Yang Berhormat buat, langgar, saya akan halau keluar dewan, saya serius,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Ketika Onn Abu Bakar (PH-Batu Pahat) bertanyakan soalan tambahan kepada Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd Halim, Mohd Sany bangun mencelah dan berseloroh memaklumkan bahawa Ahli Parlimen Batu Pahat sebagai calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

“Speaker, calon ini speaker,” seloroh Mohd Sany secara ringkas.

Tindakan itu membuatkan Ramli tidak selesa memandangkan sesi Pertanyaan-Pertanyaan bagi Jawab Lisan sedang berlangsung.

Onn merupakan calon Pakatan Harapan (PH) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Senggarang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor,
yang mempunyai 38,576 pemilih berdaftar.

Ia menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Mohd Rashid Hasnon dan Mohd Yusla Ismail daripada Barisan Nasional (BN) yang juga penyandang kerusi berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN