PETALING JAYA: Tindakan seorang lelaki warga asing membuang air kecil di khalayak umum mengundang kecaman orang ramai selepas video kejadian itu tular di media sosial pagi ini.
Rakaman berdurasi 17 saat yang dikongsi melalui aplikasi Threads itu memaparkan lelaki berkenaan dipercayai membuang air kecil di bahagian tepi eskalator stesen Transit Aliran Massa (MRT) Titiwangsa.
Pemilik akaun @its.danishafiq yang memuat naik video berkenaan mendakwa terserempak dengan kejadian itu ketika dalam perjalanan ke tempat kerja.
“Baru nak pergi kerja, ternampak warga asing kencing berdiri dan bersepah dalam MRT Titiwangsa,” tulisnya.
Perkongsian video berkenaan mengundang pelbagai reaksi netizen yang menyifatkan perbuatan itu sebagai menjijikkan, tidak bertanggungjawab dan mencemarkan kebersihan kemudahan awam.
“MRT punya toilet punyalah bersih, pun susah ke? Pengotor dan menyusahkan orang,” komen Ashraf Suhaimi.
“Kurang ajar betul. Duduk merata-rata, lepas itu kita pun duduk tempat bekas dia kencing. Kita pula tak tahu, pakai baju untuk solat,” tulis Ayu Yusof.
“Tak sangka ada juga orang macam ini. Patutlah kita pelik kadang-kadang kenapa ada bau hancing,” jelas Ain Teha.
Rata-rata pengguna media sosial turut menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap individu terbabit selain meningkatkan pemantauan di kawasan stesen pengangkutan awam bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
Video berkenaan telah meraih ratusan ribu tontonan, hampir 16,000 tanda suka dan 3,000 komen. – UTUSAN










