KUALA LUMPUR: Dunia seni tanah air kehilangan seorang lagi anak seni apabila pelakon veteran, Aziz Abdullah, dilaporkan meninggal dunia akibat komplikasi pelbagai penyakit serta jangkitan kuman pada paru-paru dan dalam darah, semalam.
Allahyarham yang berusia 70 tahun menghembuskan nafas terakhir pada pukul 7.21 pagi di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang.
Anak tunggalnya, Nadia Hanim, 35, berkata, bapanya sebelum ini turut mengalami masalah buah pinggang, selain mempunyai sejarah penyakit tiga serangkai dan pernah diserang strok beberapa tahun lalu.
Menurutnya, keadaan kesihatan Allahyarham semakin merosot berikutan jangkitan kuman yang dipercayai berpunca daripada luka tekanan atau bed sore, sekali gus menyebabkan komplikasi terhadap beberapa organ dalaman.
“Jangkitan itu turut menjejaskan organ seperti hati, jantung dan paru-paru, selain masalah buah pinggang yang dihidapinya.
“Doktor juga memaklumkan terdapat jangkitan pada paru-paru selepas susu yang diminumnya masuk ke saluran pernafasan ketika dia muntah,” katanya.
Nadia berkata, Allahyarham mula menerima rawatan di Hospital Putrajaya selepas dimasukkan ke hospital pada 12 Ogos lalu sebelum dibenarkan pulang pada 20 Ogos.
Bagaimanapun, seminggu kemudian, kesihatannya kembali merosot apabila mengalami muntah ketika diberikan susu di rumah.
Keadaan itu menyebabkan Allahyarham dikejarkan ke Jabatan Kecemasan Hospital Sultan Idris Shah pada 26 Ogos lalu untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Menurut Nadia, bapanya juga dilaporkan mengalami perubahan ketara dalam keupayaan berkomunikasi sejak pertengahan Ogos lalu.
“Secara tiba-tiba, ayah tidak lagi mampu berkomunikasi seperti biasa. Percakapannya menjadi sangat perlahan dan kebanyakan masa dia hanya memberi tindak balas melalui anggukan atau pergerakan mata,” katanya.
Mengimbas kembali perjalanan seni bapanya, Nadia berkata, Allahyarham sudah lama tidak aktif dalam bidang lakonan selepas mereka berpindah ke Bangi.
Katanya, selain sesekali menerima tawaran untuk terlibat dalam persembahan teater bangsawan, Allahyarham lebih selesa menjalani kehidupan sebagai pemandu teksi.
Selepas pemergian isterinya pada 2016, Allahyarham banyak meluangkan masa bersama enam orang cucunya selain menguruskan kebun.
Jenazah Allahyarham telah disolatkan di Masjid Al-Hasanah, Bandar Baru Bangi sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Tangkas kira-kira pukul 2.15 petang semalam.









