Tunjukkan bahagia di media sosial, perlu kah?

Tunjukkan bahagia di media sosial, perlu kah?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA zaman serba teknologi ini, manusia memang tidak dapat lari daripada penggunaannya.

Kewujudannya juga dilihat sentiasa mengukuh sehingga menjadi kemudahan yang tidak dapat ditinggalkan dalam aktiviti seharian.

Sama ada penggunaan secara peribadi seperti di rumah sehingga ke tempat kerja.

Sebagai contoh medium yang menjadi keperluan untuk berkomunikasi adalah pelbagai aplikasi media sosial seperti Instagram, Facebook, X dan juga WhatsApp.

Penggunaan aplikasi tersebut pada masa kini pula sudah menjadi sinonim dalam kehidupan masyarakat.

Ia menjadi platform untuk berkongsi sama ada dalam bentuk gambar, video mahupun penulisan.

Ada yang menggunakannya dengan batasan tertentu dan ada yang sering kali dilihat berkongsi secara berlebihan.

Antaranya seperti menceritakan kisah peribadi melibatkan kebahagiaan diri.Persoalannya, perlukah kita berbuat sedemikian dan apa yang diperoleh?

Pensyarah Kanan Pengajian Gender, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Dr. Ruhana Padzil berkata, ia sebagai sumber validasi dan
penerimaan orang ramai terhadap
seseorang itu.

Katanya, interaksi tersebut mengesahkan pengikut di media sosial memberikan perhatian kepada individu itu.

“Bagi sesetengah individu apabila mereka menerima ‘like’, komen atau saranan untuk paparan perkongsian di media sosial, ia dianggap sebagai pengesahan bahawa mereka diberikan perhatian.

“Ia juga sebagai cara menonjolkan identiti dan personaliti seseorang,” katanya kepada Seri.

KECENDERUNGAN WANITA

Melihat kepada penerimaan media sosial secara menyeluruh, kedua-dua jantina mempunyai cara penggunaan yang sama.

Secara umum, semua lapisan masyarakat boleh terjebak dalam perangkap manipulatif media sosial ini.

Bagaimanapun, kata Ruhana, mengikut kajian, wanita lebih cenderung untuk menggunakan platform itu dalam menunjukkan kebahagiaan.

Katanya, ia disebabkan oleh faktor budaya dan pengaruh gender stereotaip yang berkaitrapat dengan keluarga dan hubungan personal.

“Daripada perspektif gender, saya lihat disebabkan oleh faktor budaya dan pengaruh gender stereotaip.

“Wanita juga suka kepada Pinterest, Instagram dan Facebook sebagai medium mereka. Manakala lelaki suka mengetengahkan isu berkaitan
politik, sukan dan sesuatu yang abstrak.

Menjelaskan kepada penglibatan wanita, Ruhana berkata, ia dipengaruhi peranan tradisional gender di mana wanita lebih cenderung menjaga dan penyimpan memori keluarga.

Katanya, berdasarkan kajian akademik, wanita merupakan pengguna media sosial yang paling ramai memuatnaik gambar swafoto di media sosial berbanding lelaki.

“Saya mengambil pendekatan gender yang melihat kecenderungan ini amat dipengaruhi oleh peranan tradisional gender yang di mana wanita lebih cenderung sebagai ‘penjaga’ keluarga.

“Kajian daripada sebuah universiti luar ada menyatakan lelaki yang mengambil gambar swafoto lebih kepada menonjolkan sifat narsistik,” katanya.

ASPEK PSIKOLOGI

Kerap menunjukkan kebahagiaan di media sosial mungkin dilihat sebagai perkara biasa bagi kebanyakan orang.

Namun, ramai yang tidak tahu perkara ini berkait rapat dengan permasalahan psikologi.

Menurut Pakar Psikologi dan Kaunseling, Profesor Madya Dr. Fauziah Mohd. Saad, antaranya kerana takut ketinggalan trend atau dikenali sebagai Fear Of Missing Out (FOMO).

Katanya, ia adalah ketakutan untuk terlepas sesuatu yang penting atau menarik sehingga mendorong individu untuk berkongsi pengalaman.

“Ia boleh menjadi cara positif untuk berkongsi kebahagiaan dan momen penting dengan rakan dan keluarga.

“Namun, ia juga boleh mencetuskan tekanan untuk sentiasa menunjukkan kehidupan yang sempurna,” katanya lagi.

Kesan kepada permasalahan ini juga berbeza berdasarkan jangka masa panjang dan pendek.

Bagi jangka masa pendek, ia melibatkan tekanan dan kebimbangan untuk mengekalkan imej positif dan menyebabkan perbandingan antara kehidupan sendiri dan orang lain.

“Penggunaan media sosial yang berlebihan dan kebergantungan pada pengiktirafan boleh dikaitkan dengan masalah mental seperti kemurungan dan kebimbangan.

“Perasaan yang timbul daripada perbandingan sosial negatif dan tekanan untuk mengekalkan imej yang positif boleh memburukkan masalah mental sedia ada atau mencetuskan masalah baharu,” jelasnya.

Kesan dalam jangka masa panjang pula dapat dilihat pada masalah identiti dan ketidakstabilan emosi.

“Terlalu fokus kepada persepsi orang lain boleh menyebabkan individu kehilangan rasa diri yang sebenar.

“Bergantung pada pengesahan sosial untuk kebahagiaan pula boleh menyebabkan ketidakstabilan emosi dan pergantungan emosi,” katanya.

LANGKAH MENGATASI

Dalam setiap permasalahan yang timbul, sudah pasti ada jalan penyelesaiannya tersendiri.

Apa yang penting adalah komitmen dan usaha individu itu untuk menjamin kehidupan yang lebih stabil.

Terdapat beberapa langkah yang boleh dilakukan untuk mengurangkan ketagihan pada penggunaan media sosial.

Menurut Fauziah, antaranya seperti pelaksanaan digital detox iaitu mengambil rehat dari media sosial secara berkala.

Katanya, individu juga boleh cuba mencari aktiviti alternatif lain bagi mengelakkan penglibatan secara berterusan.

“Melibatkan diri dalam aktiviti lain yang tidak melibatkan skrin seperti hobi, sukan atau membaca.

“Tetapkan juga tujuan jelas dalam penggunaan media sosial dan elak gunakan tanpa tujuan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN