Uniknya miniatur busana klasik

Uniknya miniatur busana klasik

SITI Syazwani bersama hasil Baju Kebaya Songket Miniatur dihasilkannya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMERIAHAN Syawal sudah mula terasa tatkala berkunjung ke pusat membeli-belah ketika ini.

Berbaki lebih kurang dua minggu sahaja lagi Ramadan, orang ramai sudah mula sibuk membuat persiapan menyambut hari lebaran.

Namun, salah satu pusat membeli belah mewah di negara ini menarik perhatian dengan mempamerkan pelbagai miniatur busana tradisi.

Koleksi miniatur itu memperagakan aneka pakaian tradisi hari raya antaranya kebaya, kaftan dan baju kurung kedah.

Uniknya, koleksi-koleksi ini bukan sahaja menarik perhatian dengan saiznya yang kecil dan comel, malah perincian pada rekaan dan jenis fabrik juga memukau mata yang memandang.

Koleksi-koleksi itu merupakan hasil seni pelajar membabitkan 15 institusi pendidikan di seluruh Malaysia termasuk Politeknik dan Kolej Komuniti.

Antaranya, pelajar Fesyen dan Pakaian Kolej Komuniti Selayang (KKSY).

Ketua Program Fesyen dan Pakaian KKSY, Siti Fatimah Dzulkifli berkata, pelajarnya dengan bantuan lima pensyarah sebagai pembimbing berjaya menghasilkan 20 rekaan miniatur raya dalam tempoh sebulan.

Mereka mempamerkan busana tradisi seperti kebaya dan baju kurung kedah yang mempunyai kelainan tersendiri melalui sentuhan para pelajar.

“Antaranya kalau boleh dilihat pada rekaan kebaya kita yang diolah dengan rekaan pada bahagian tangan yang menggelembung.

“Bagi kain lipat batik juga kita ada sentuhan kelainan dengan menjadikan bahagian hadapan lebih beralun,” katanya kepada Seri.

Projek itu merupakan hasil kerjasama bersama Yayasan Tunku Zahirah dan Pereka Fesyen Terkenal Malaysia, Datuk Radzuan Radziwill, sempenaKempen Raya 2024 di Centre Court, Pavilion, Kuala Lumpur.

Pereka fesyen itu menyumbang fabrik berasaskan batik, songket dan pelikat kepada pelajar.

Biarpun ada sesetengah rekaan yang telah difusionkan untuk kelihatan lebih moden, namun masih mengekalkan ciri tradisi dengan penggunaan fabrik berkenaan.


PENGALAMAN BERHARGA

Tempoh sebulan diberikan untuk menghasilkan koleksi miniatur itu memberi pengalaman luas buat pelajar.

“Produk dihasilkan ini bukanlah seperti baju-baju biasa yang selalu diperagakan oleh model, namun hasil yang dikeluarkan ini perlu
mengikut patung saiz mini yangm memerlukan ketepatan dalam mengukur serta penggunaan teknik jahitannya.

“Pelajar komited dan teruja untuk menghasilkan rekaan\ pakaian ini walaupun mempunyai tugasan dan tanggungjawab yang lain kerana peluang yang datang merupakan peluang keemasan dalam menyerlahkan bakat dalam industri serta bukti bahawa minat dalam bidang fesyen mampu memupuk sikap positif dalam diri pelajar,” ujarnya lagi.

Salah seorang pelajar, Siti Syazwani Mohd Yusof,20, tidak menyangka hasil tangan dan kemahiran kreativiti beliau dapat diperagakan pusat membeli-belah berprestij itu.

Tambahan pula, ia merupakan lokasi tumpuan pelancong yang datang daripada pelbagai pelosok dunia di samping dapat memperkenalkan budaya Malaysia kepada orang luar.

“Saya teruja untuk mempamerkan Baju Kebaya Songket versi miniatur yang saya hasilkan kerana projek ini adalah kali pertama untuk saya menghasilkan baju sekecil ini.

“Selama ini, potongan kain, penyediaan pola, dan cara jahitan adalah seperti saiz standard namun cabaran menyediakan rekaan miniatur ini memerlukan kesabaran dan kemahiran yang tinggi kerana ukuran melalui patung miniatur agak berbeza dengan produk akhir,” kongsinya.

Sebanyak 500 rekaan pakaian dipamerkan sepanjang kempen itu berlangsung sempena Ramadan dan Syawal ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN