Wirawati sains botani yang tidak didendang - Utusan Malaysia

Wirawati sains botani yang tidak didendang

Wanita pertama dianugerahkan ijazah kedoktoran dalam bidang sains botani.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bunga magnolia Janaki Ammal merupakan antara bunga kegemaran yang mekar harum dan banyak ditemui di sekitar England.

Namun ramai tidak mengetahui bunga itu pertama kali ditemui dan ditanam oleh E.K. Janaki Ammal, seorang saintis yang dilahirkan di Kerala di Selatan India pada Abad ke-19.

Dalam kerjaya yang menjangkau hampir 60 tahun, Ammal mempelajari pelbagai jenis tumbuhan berbunga dan mengolah semula klasifikasi saintifik beberapa keluarga tumbuhan.

“Ammal bukan sekadar ahli sitogenetik tetapi beliau adalah ahli biologi lapangan, ahli geografi tumbuhan, paleobotani, pembiak baka eksperimen dan ahli etno-botani.

Pakar Sejarah, Dr. Savithri Preetha Nair berkata, sukar untuk menamakan seorang ahli genetik lelaki India waktu itu yang menggunakan metodologi rentas disiplin dalam penyelidikan mereka.

Ammal menjalani kehidupan yang memberi inspirasi, tetapi selama beberapa dekad, kerjanya tidak dihargai dan sumbangannya kepada sains hampir tidak diakui.

WANITA PERTAMA TERIMA IJAZAH SAINS BOTANI

Ammal dilahirkan di Tellichery atau kini Thalassery di Kerala pada tahun 1897 dan bapanya, E.K. Krishnan merupakan seorang hakim mahkamah tinggi di Madras Presidency, sebuah bahagian pentadbiran di British India.

Ammal tergolong dalam komuniti Thiyya Kerala, yang dianggap sebagai mundur dari segi sosial di bawah sistem kasta Hindu tetapi kehidupan Ammal jauh lebih baik kerana keluarganya tidak pernah membenarkan kasta menghalang kejayaan mereka.

Selepas tamat persekolahan, Ammal berpindah ke Madras yang kini Chennai untuk menyambung pengajian dan pada tahun 1924, beliau mengajar di kolej wanita apabila menerima biasiswa berprestij dari Universiti Michigan di Amerika Syarikat (AS).

Lapan tahun kemudian, beliau menjadi wanita pertama dianugerahkan ijazah kedoktoran dalam sains botani.

Beliau kembali ke India tidak lama kemudian dan mengajar botani di negeri asalnya sebelum menyertai Stesen Pembiakan Tebu di Coimbatore.

Di sinilah Ammal mengusahakan pembiakan kacukan tebu dan dengan tumbuhan lain untuk mencipta pelbagai hasil tinggi tanaman yang boleh berkembang di India.

SUMBANGAN BESAR YANG DIPANDANG SEPI

Jelas Nair, Ammal adalah orang pertama yang berjaya mengkacuk tebu dan jagung dan membantu para saintis dalam memahami asal usul serta evolusi tebu yang kini digunakan sebagai pemanis dalam makanan.

Hibrid tertentu yang berjaya dicipta beliau terus menghasilkan banyak kacukan komersial untuk institut itu tetapi beliau tidak menerima sebarang penghargaan terhadap hasil usahanya itu.

Pada tahun 1940 sejurus selepas Perang Dunia Kedua bermula, Ammal berpindah ke London, lalu menyertai Institusi Hortikultur John Innes untuk meneruskan penyelidikannya.

Lima tahun kemudian, beliau menjadi saintis wanita pertama bekerja di Royal Horticultural Society (RHS) Garden di Wisley.

“Walaupun berdepan saat sukar apabila Britain berdepan bebanan perang dan bekalan makanan yang dicatu, Ammal tetap dengan semangatnya.

“Apabila bom digugurkan, beliau hanya akan bersembunyi di bawah meja atau tidur di bawah katil sebelum meneruskan kerja sehariannya,” ujar Nair.

Pada tahun 1951, Perdana Menteri India ketika itu, Jawaharlal Nehru meminta Ammal kembali ke negaranya dan membantu menyusun semula Kajian Botani India (BSI).

“Ammal, yang sangat menginspirasikan ajaran Mahatma Gandhi serta-merta menerima arahan itu.

“Tetapi rakan sekerja lelakinya enggan menerima arahan daripada seorang wanita dan percubaannya untuk mengatur semula BSI telah ditolak apabila Ammal tidak pernah diterima sepenuhnya di institut itu,” tambah Nair.

Ammal kemudian berhijrah ke negara lain dan meneruskan kajian tumbuhan baharu bagi mengubati kelukaan serta kekecewaannya ketika berkhidmat di BSI.

Pada 1948, Ammal menjadi wanita pertama menyertai ekspedisi memburu tumbuhan ke Nepal yang disifatkannya sebagai antara lokasi paling unik di Asia dari segi botani.

KISAH HIDUP DIBUKUKAN

Ketika beliau berumur 80 tahun, kerajaan India menganugerahkan Padma Shri kepadanya, salah satu penghormatan awam tertinggi negara itu. Beliau meninggal dunia tujuh tahun kemudian, iaitu pada tahun 1984.

Tahun ini menandakan ulang tahun ke-125 kelahiran Ammal dan Nair berharap untuk mengubahnya dengan menghasilkan biografi lengkap mengenai wanita hebat ini.

Buku bertajuk Chromosome Woman, Nomad Scientist: E.K. Janaki Ammal, A Life 1897-1984, dilancarkan awal bulan ini yang merupakan hasil penyelidikan selama 16 tahun di tiga benua.

Nair berkata, buku itu merupakan permulaan kepada projek besarnya untuk melengkapkan tulisan tentang sumbangan wanita India dalam bidang sains.

“Sehingga kini, sumber yang diterbitkan mengenai saintis wanita memberi tumpuan kepada Eropah dan Amerika Utara, tetapi kisah saintis wanita dari Asia dan kawasan lain agak kurang,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN