Hanya 54 peratus anggota penguatkuasaan sertai skim AKPS

Hanya 54 peratus anggota penguatkuasaan sertai skim AKPS

MOHD. SUHAILY MOHD. ZAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Hanya 54 peratus daripada 6,341 anggota penguat kuasa daripada enam agensi teras bersetuju menyertai skim perkhidmatan di bawah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS).

Jumlah yang menerima skim perkhidmatan itu kini seramai 3,419 anggota membabitkan pegawai daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM); Jabatan Imigresen Malaysia (JIM); Jabatan

Pengangkutan Jalan (JPJ); Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN); Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS).

Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd. Suhaily Mohd. Zain berkata, beliau tidak pasti punca tidak ramai bersetuju me­nerima tawaran itu meskipun ia tawaran terbaik.

“Tawaran itu merangkumi kenaikan dua tangga gaji, Bayaran Insentif Perkhidmatan (BIP) sebanyak RM200 serta kadar elaun kerja lebih masa yang lebih tinggi berbanding skim sedia ada.

“Tawaran menarik itu me­nunjukkan komitmen tinggi bagi memastikan agensi tunggal sempadan itu dapat beroperasi sepenuhnya melalui pakej perpindahan yang belum pernah ditawarkan sebelum ini.

“Namun, jika tawaran kerajaan itu dijadikan kayu pengu­kur, saya tidak nampak sebab ia tidak diterima kerana jauh lebih baik daripada yang mereka kecapi hari ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Amanat Ketua Pengarah AKPS di sini semalam.

Mohd. Suhaily enggan membuat sebarang andaian terma­suk mengaitkan dengan faktor disiplin atau integriti. Bagaimanapun, tidak menolak kemungkinan terdapat pegawai yang mempunyai nilai sentimental terhadap agensi asal masing-masing.

“Jadi, saya sendiri tidak tahu mengapa mereka menolak sesuatu yang lebih baik daripada apa yang mereka nikmati sekarang,” katanya.

Pihaknya mencadangkan agar AKPS memperoleh senjata api jenis Glock bagi kegunaan pasukan itu berikutan spesifikasinya yang tahan lasak serta kos selenggara yang rendah.

Beliau berkata, secara dasar­nya, kerajaan bersetuju untuk membekalkan AKPS dengan senjata api bagi memudahkan urusan serta memastikan aspek keselamatan semasa bertugas.

“Senjata tersebut adalah yang mana kita pakai selalunya ialah Glock, kurang penyelenggaran dan lasak. Itu yang kita minta,” katanya ketika ditemui selepas majlis perhimpunan bulanan AKPS di sini semalam.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN